Ikuti Blog Ini

Tuesday, September 27, 2016

Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī menamatkan pengajiannya

Selepas kematian Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī, Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī banyak menghabiskan masanya bersendirian. Beliau selalu mengerjakan solat-solat sunat sebanyak-banyaknya. Dari waktu maghrib sehingga Isya’, ketika itu beliau baru berusia 25 tahun.

Maulānā Muhammad Ilyās al-kāndhalawī meneruskan pengajiannya dengan berjaya menamatkan pengajian Sahīh Sittah di institusi pengajian Dār al-Ulūm, Deoband dibawah bimbingan Syaikh al-Hind. Kemudiannya untuk menyempurnakan pendidikan kesufiannya, Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī meneruskan dengan mempelajarinya daripada Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfurī sehingga selesai. Hal ini adalah kerana nasihat daripada guru beliau di Dār al-Ulūm, Deoband iaitu Syaikh al-Hind. [1]

Rujukan 

[1] (Maulānā) Sayyid Abu Hasan Alī an-Nadwī, Ḥaẓrat Maulānā Muḥammad Ilyās aur un kī dīnī dakwat , terbitan Maktabah Mahmūdiyah, Raiwind , (1967), hlm 15.

Monday, September 19, 2016

Maulana Yunus Junfuri dan sifat tidak berputus-asa.

Maulana Yunus Junfuri menceritakan pengalaman beliau belajar dengan Maulana Zakariya Kandahlawi rah.
Ada sekali tu, aku telah dimarahi oleh guruku (Maulana Zakariya Kandahlawi) kerana tersalah membaca ibarat dihadapan guruku, lalu guruku begitu marah dan berkata " kenapa bodoh sangat kamu ni ". Selepas dimarahi oleh guruku, lalu aku seolah-olah berputus - asa.

Tiba-tiba, ada satu suara datang membisik di telingaku memberitahu bahawa " teruskan mempelajarinya, kebodohan kamu tidak akan hilang selagi mana kamu berputus -asa ". Maulana yunus Junfuri berkata ketika mendengar suara itu, aku merasakan seperti baru mendapat satu kekuatan baru. Sejak dari itu, aku telah " talakkan " sifat berputus asa dari hidup aku.

Maulana Yunus Junfuri berkata bahawa aku mulai mengajar Sahih Al-Bukhari pada usia 33 tahun iaitu sekitar tahun 1967 M. Dan " sekarang alhamdulillah, tidak ada satu kitab hadith yang aku tidak membaca melainkan kesemuanya aku telah membacanya " .

Rujukan
Dars Bukhari Maulana Yunus Junfuri حفظه الله.

Sunday, September 11, 2016

Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī di waktu kecil

Masa kanak-kanak Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī dihabiskan bersama abangnya Maulānā Yahya Muhammad Yahya al-Kāndhalawī di Kāndhala tetapi masa pengajian awalnya banyak dihabiskan di Nizamuddīn. Selepas kematian bapanya , masa Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī banyak dihabiskan bersama abangnya di Gangoh.

Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī telah datang untuk tinggal di Gangoh ketika berumur 10 tahun. Sepanjang beliau berada di Gangoh, beliau telah dijaga oleh abangnya iaitu Maulānā Muhammad Yāhya al-Kāndhalawī. Maulānā Rashīd Ahmad Gangohī telah melayan Maulānā Muhammad Ilyās al-kāndhalawī tidak seperti kanak-kanak yang lain. Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī telah diberikan keistimewaan apabila berpeluang mengambil bai’ah daripada Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī. Adalah tidak menjadi kebiasaan bagi Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī untuk tidak mengambil bai’ah daripada mana-mana orang yang tidak menamatkan pengajian atau kanak-kanak tetapi tidak bagi Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī. Beliau telah menerima bai’ah daripada Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī.
Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī telah menunjukan perasaan kasih sayang yang luar biasa kepada Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī apabila merasai tidak tenang tatkala tidak bersama dengan Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī. Seringkali beliau bangun ditengah malam semata-mata mahu melihat Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī.
Rujukan
[1] (Maulānā) Sayyid Abu Hasan Alī an-Nadwī, Ḥaẓrat Maulānā Muḥammad Ilyās aur un kī dīnī dakwat , terbitan Maktabah Mahmūdiyah, Raiwind , (1967), hlm 11.

Saturday, September 3, 2016

Kehilangan Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī

Kematian Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī telah menyebabkan satu kehilangan besar buat diri Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī. Ianya sama seperti kematian bapanya. Bagi Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī, Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī lebih daripada seorang guru kepada beliau. Kematian Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī menyebabkan Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī kehilangan tempat untuk bergantung, hilang teman untuk mengadu, hilang teman untuk memberikan motivasi kepada beliau.
Pernah satu kali, Maulānā Muhammad Ilyās al-Kāndhalawī mengadu kepada Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī mengenai keresahan hatinya seolah-olah ada sesuatu bebanan di hatinya. Perkara ini telah diadukan kepada Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī lalu Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī memberitahu bahawasanya Allāh ta’ala akan mengambil sesuatu kerja daripada kamu. [1]

Rujukan
[1] (Maulānā) Sayyid Abu Hasan Alī an-Nadwī, Ḥaẓrat Maulānā Muḥammad Ilyās aur un kī dīnī dakwat , terbitan Maktabah Mahmūdiyah, Raiwind , (1967), hlm 12.

Saturday, August 27, 2016

Amalan Menghidupkan Malam Maulānā Ismail al-Jinjahanwī

Maulānā Ismail al-Jingjahanwī sangat menekan amalan menghidupkan malam dengan ibadah. Beliau akan bergantian dengan anak-anak beliau dalam menghidupkan malam dengan ibadah.
Anaknya yang pertama dari isterinya yang kedua, iaitu Maulānā Muhammad Yahya, sering mempelajari kitab hingga larut malam, kemudian diganti oleh Maulānā Ismail yang akan bangun sementara Maulānā Yahya akan pergi tidur. Pada akhir malam, Maulānā Ismail membangunkan anaknya yang sulungnya dari isteri pertama iaitu Maulānā Muhammad. Begitulah kehidupan agama yang ada di wujud dalam keluarga Maulānā Ilyas.
Kerana suasana agama hidup dalam keluarga Maulānā Ismail, maka ketiga anak beliau iaitu Maulānā Muhammad, Maulānā Yahya dan Maulānā Ilyas menghafal al-quran semasa kecil lagi. Bahkan jemaah masjid dekat rumah mereka , iaitu masjid Bangle Wali, Nizamuddīn setengahnya hafiz al-quran melainkan muazin sahaja yang tidak hafiz al-quran. [1]
Rujukan
[1] (Maulānā) Sayyid Abu Hasan Alī an-Nadwī, Ḥaẓrat Maulānā Muḥammad Ilyās aur un kī dīnī dakwat , terbitan Maktabah Mahmūdiyah, Raiwind , (1967), hlm 8-9.

Friday, August 19, 2016

Kesederhanaan Markaz (Masjid) dakwah Jema'ah Dakwah & Tablīgh di Nizam ad-Dīn, Delhī.

Image may contain: indoor

Binaan asal masjid sejak dari zaman Maulānā Muhammad Ismail al-Jinhjahawī رحمه الله (saya dah tanda dengan garisan biru). --- setiap gambar ada penerangan. Tikar yang diperbuat daripada buluh/rotan menjadi hamparan di dewan solat utama.

Masjid ini menjadi tempat laluan utama orang Mewat melakukan aktiviti perniagaan mereka di Delhi.Ketika mereka melalui masjid ini,maka Maulānā Ismail رحمه الله akan menahan mereka dan akan berkata, "sediakah kamu untuk belajar agamā dengan saya dan saya akan berikan upah kepada kamu semua sepertimana kamu memperolehi keuntungan hasil daripada aktiviti perniagaan kamu semua". Maka disitulah bermulanya kisah bagaimana Usaha Dakwah dilakukan di sini.

Kemudian masjid ini telah dijaga oleh anak sulungnya iaitu Maulānā Muhammad al-Jinhjahawī رحمه الله dan seterusnya oleh anak beliau yang paling bongsu iaitu Maulānā Muhammad Ilyās al-Kandhālawī رحمه الله . Seterusnya Markaz ini telah diamanahkan kepada dua keluarga iaitu Maulānā Yusuf al-Kandhālawī رحمه الله dan Maulānā Inam al-Hasan al-Kandhālawī رحمه الله .

Image may contain: indoor
Bilik-bilik di level 1 & 2 menempatkan para masyaikh yang telah memberikan masa mereka di Markaz ini. 

Antara para masyaikh yang menginap di sini ialah seperti Maulānā Ahmad La'āt an-Nadwī حفظه الله ,Maulānā Ibrahim ad-Dewlā حفظه الله ,Maulānā Mustaqīm al-Qasmī حفظه الله, Maulānā Shamīm al-Kashfurī حفظه الله ، Maulānā Shaukat al-Qasmī حفظه الله ، Maulānā Jamīl al-Sahāranfūrī حفظه الله ، Maulānā Ismail al-Godhrī حفظه الله ، Maulānā Ya'qūb al-Sahāranfūrī حفظه الله dan lain-lain lagi. Para masyaikh ini juga mengajar hadīth di Madrasah milik Markaz iaitu Kashf al-Ulūm.

Masjid ini telah beberapa kali melakukan proses pembesarannya bagi menampung kapasiti jemaah -jemaah yang datang untuk mempelajari usaha dakwah dari para masyaikh di sini. Binaan selepas pembesaran adalah seperti dalam gambar.

Image may contain: indoor
Kawasan ini menunjukan bahagian tempat tinggal jemaah dari Nusantara, Asia Tengah, Arab dan tempat solat utama bagi jemaah luar. Di sini juga akan di buat terjemahan syarahan secara langsung daripada dewan solat utama yang selalunya di syarahkan oleh para masyaikh disini.

Jemaah-jemaah dakwah yang datang ke sini dibenarkan beriktikaf di masjid selama 3 hari sahaja selepas itu mereka akan dihantar ke kawasan-kawasan yang telah dimesyuaratkan.

No automatic alt text available.
Permandangan masjid (markaz) dari luar. Dahulunya disekitar masjid ini dipenuhi dengan hutan belukar.

Thursday, August 11, 2016

Empat Orang Yang Mempunyai Kekuatan Rohani

Kata Maulānā Syed Abul Hasan Alī an-Nadwī,

Seumur hidup aku, aku pernah mendengar 4 orang individu yang mempunyai kekuatan rohani yang luar biasa. 4 orang tersebut ialah :

1. Maulānā Muhammad Ilyās al-Kandhālawī (pengasas Jemaah Tablīgh )
2. Muftī Muzaffar Husain al-Kandhālawī 
3. Imām Shāh Abd Ghani al-Mujadiddī
4. Qutb al-Irsyad Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī

Rujukan
الشيخ محمد يوسف الكاندهلوري حيا ته ومنهجه في الدعوة m/s ٣٧

Wednesday, July 27, 2016

Suhbāh Maulānā ‘Abd Hafīz al-Makkī bersama Hadrat Jī Maulānā Inām al-Hasan رحمه الله

Maulānā ‘Abd Hafīz al-Makkī telah menceritakan bahawasanya beliau merupakan sahabat rapat kepada Hadrat Jī رحمه الله meskipun usia beliau lebih kurang sebaya tetapi beliau begitu menghormati Hadrat Jī رحمه الله. Pada ketika itu, seorang doktor telah menasihati Hadrat Jī رحمه الله supaya banyakan berjalan kaki kerana penyakit jantung yang dihadapi oleh beliau. 

Hadrat Jī رحمه الله telah mengajak Maulānā Makkī untuk menemani beliau berjalan.
Hadrat Jī رحمه الله telah berjalan kaki dari markaz Nizamuddīn sampai ke Makam Humayun. Apabila mereka memasuki makam tersebut, Hadrat Jī رحمه الله telah menunjuk sebuah bilik di mana bilik tersebut hanya memuatkan seorang sahaja untuk memasukinya. Hadrat Jī رحمه الله telah memberitahu Maulānā Makkī bahawa di dalam bilik itulah selepas beliau mengambil bai'ah dari Maulānā Ilyās rah beliau telah disuruh oleh Maulānā Ilyās رحمه الله untuk menyempurnakan zikir beliau di bilik kecil tersebut. Antara permulaan zikir Hadrat Jī رحمه الله ialah perlu menyempurnakan 120 ribu kali lafaz الله ". Saya (Hadrat Jī رحمه الله) selalu datang ke sini untuk menyempurnakan zikir saya.

Kebiasaannya pada musim panas, saya akan menyempurnakan segala zikir saya ( selepas fajar ) sehingga jam 11 pagi manakala di musim sejuk saya akan menyempurnakan segala zikir saya (selepas fajar) sehingga zohor. Pada ketika Hadrat Jī رحمه الله belum menjadi Hadrat Jī (Amir bagi Jemaah Tablīgh lagi).

Rujukan
Maulānā 'Abd Hamīd Ishaq, Haqiqat -e zikr, Khanqāh Akhtari, Azaadville, hlm 29-30

Thursday, July 14, 2016

Antara‬ guru kepada Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfūrī رحمه الله (guru kepada Maulānā Zakariyyā al-Kandhālawī رحمه الله )


Saya lebih tertarik kepada nama Muftī Mazhab Shafi'ī di Mekkah iaitu Syaikh Sayyid Ahmad al-Barzanjī رحمه الله dan Syaikh Ahmad Zaini Dahlan رحمه الله . Syaikh Reza Khan al-Brelwī غفر الله melalui usaha beliau telah membawa segala ibarat (kenyataan) para ulamā Deoband yang telah diubah oleh beliau (kenyataan ini berbahasa Urdu) kepada ulamā di Mekkah dan Madīnah untuk mendapat tanda tangan daripada ulamā di sana bagi tujuan mengisytiharkan kesesatan yang telah dilakukan oleh para ulamā Deoband. Syaikh Sayyid Ahmad al-Barzanjī رحمه الله tidak menandatangi perisytiharan kesesatan tersebut sebaliknya beliau bertindak menyiasat kesahihan kandungan ibarat tersebut.

Akhirnya Allāh ta'ala mengagalkan usaha beliau melalui dua permata Deoband pada ketika itu iaitu Mauānā Sayyid Husain Ahmad al-Madanī رحمه الله dan Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfūrī رحمه الله . Mereka berdua telah memainkan peranan penting dalam memberikan penerangan kepada para ulamā yang berada di Mekkah dan Madīnah. Setelah mendengar penjelasan daripada dua orang permata Deoband ini, maka para ulamā di Mekkah dan Madīnah telah mengesahkan bahawasanya para ulamā Deoband berpegang kepada akidah ASWJ. Selepas daripada itu juga Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfūrī رحمه الله telah menjadi murid kepada Syaikh Sayyid Ahmad al-Barzanjí رحمه الله .

P/s : Insyallah, di lain status , saya akan berkongsi pujian-pujian Syaikh Sayyid Ahmad al-Barzanjī رحمه الله kepada Maulānā Khalīl Ahmad Sahāranfūrī رحمه الله .

Rujukan

Muhammad Tsanī al-Nadwī al-Mazaharī, Al-syaikh Muhammad Khalīl Ahmad Ansarī al-Sahāranfūrī, terbitan Maktabah Nadwa al-Ulamā, Lucknow, India, (1976), hlm 40-41.

Sunday, June 26, 2016

Respon daripada surat yang dikirimkan kepada Maulānā Ilyās رحمه الله

Maulānā Ilyās رحمه الله telah berkata, "Tuan telah salah dalam menerangkan kepada kami mengenai jumlah zikir yang tuan telah amalkan. Seperti jumlah kalimah لاإله إلا الله sepatutnya diulang 200 kali, kemudian zikir (nafi isbat) إلا الله 400 kali. Seterusnya zikir الله الله 600 kali. Setiap lafaz zikir ini perlu diulang beserta semangat, penuh kemuliaan dan merasai kelazatannya.

Adalah tersangat penting untuk menghadirkan hati ketika mengulang-ulang akan setiap kalimah ini. Semoga Allāh ta'ala memberikan istiqomah kepada kita semua, dan ingatlah jangan tinggalkan pesanan saya ini.

Rujukan

[1]. Irsyādāt wa Maktobāt Bānī Jamā'at Tablīgh Hazrat Maulānā Shāh Muhammad Ilyās,hal 135.

Thursday, June 16, 2016

Pemantauan terhadap latihan zikir

Maulānā Ilyās رحمه الله sangat memberikan perhatian khusus kepada mereka yang mahu mengambil zikir daripadanya lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlibat dalam usaha dakwah JT. Beliau tidak akan sesekali membenarkan mereka yang telah mengambil zikir daripada terlepas daripada pemantauan beliau. 

Perkara ini dapat dilihat menerusi nasihat beliau tentang penekanan perkara ini menerusi surat yang beliau telah hantar kepada beberapa orang Mewat.

Kata Maulānā Ilyās رحمه الله " saya begitu gembira sekali apabila mendapat tahu tuan telah berada di Jalan Allāh. Surat saya ini tidak ada apa-apa nilai melainkan apa yang telah tuan perolehi (berada di Jalan Allāh) sekarang. Semoga Allāh mengekalkan hidayah dan taufiq kepada tuan. Walaubagaimana pun, di sini ada beberapa perkara yang berhajat kepada perhatian daripada tuan.

1. Kumpul dan senaraikan siapa yang telah tuan dekati. Tuliskan kepada saya dan Syaikh al-Hadith ( Maulānā Zakariyya رحمه الله ) mengenai amalan zikir yang telah dimula, yang bersambungan dan yang telah di hentikan.

2. Ada sesiapa (dalam kalangan jemaah tuan) yang telah diberikan pemantauan setelah berjaya memperolehi bai'ah?

3. Penyeliaan (pantauan zikir) ini sepatutnya dikekalkan kepada mereka yang tinggal di maktab (pengajjan agamā kecil-kecilan) atau di markaz JT. Perkara ini juga perlu diberikan perhatian kepada mereka yang tinggal di madrasah (pengajian 'alim).

4. Adakah tuan sendiri sedang mengajar kaedah zikir ini? Jika tidak, bertaubatlah atas kelalaian ini dan segeralah melibatkan diri dalam perkara ini.

5. Secara asasnya, adakah mereka yang telah diberikan arahan untuk "bara tasbih" ? Jika ada, adakah mereka telah mendapat keizinan daripada kami ( Maulānā Ilyās رحمه الله dan Maulānā Zakariyya رحمه الله ). Tolong rekodkan perincian atas perkara daripada mereka.
6. Setiap sesuatu ada keutamaannya. Untuk perkara ini sila berikan laporan perinciannya kepada kami (Maulānā Ilyās رحمه الله dan Maulānā Zakariyya رحمه الله ).

7. Bagi mereka-mereka yang telah mengamalkan "bara tasbih", mereka digalakan memberikan masa selama 40 hari di Ra'ifūr.

8. Ketahuilah saudaraku, setiap apa yang kamu perbuatkan ini adalah besar iaitu dakwah, ta'lim dan zikir. Oleh itu, saya katakan kepada kamu semua supaya terus istiqomah atas jalan dakwah ini serta berterusan di dalam ilmu dan zikir.

Rujukan

1. (Maulānā) Syed Abūl Hasan 'Alī al-Nadwī, Makātīb Hazrat Maulānā Shāh Muhammad Ilyās رحمه الله , Kutub Khāna-e Anjuman-i Taraqqī-e-Urdū, Delhi, (1952), hal 136-138.
2. Bara tasbih (zikir jihri / zikir dengan suara yang kuat)

Wednesday, June 1, 2016

Yang mana lebih baik antara Tablīgh atau Khanqāh ?

Maulānā Ahmad Batla adalah seorang mukimin markaz Raiwind telah bertanya (melalui surat) kepada Maulānā Zakariyya al-Kāndhalawī rah. Kata Maulānā Zakariyya rah, “ saya akan menekan akan kepentingan Tablīgh ke atas para ahbab Tablīgh dan apabila saya datang kepada Khanqāh, saya akan menekan akan kepentingan Khanqāh ke atas para sālīkīn.

Apabila seseorang bertanya kepada saya, antara Tablīgh dan Khanqāh, yang mana lebih baik ? saya akan menjawab, “ antara makan dan minum yang mana satu lebih penting ?". Hanya kebodohan akan mendorong akal untuk merendahkan antara satu sama yang lain. Kamu (Maulānā Batla) tunjuk surat ini kepada Maulānā Ehsan (mukimin di markaz Raiwind) dan tunjuk pada yang lain sama. Mereka mesti memberikan penekanan kepada dua aspek ini. Hendaklah mereka tidak meninggalkan salah satu daripadanya hanya kerana memberikan penekanan kepada salah satu daripada dua aspek ini. Kamu (Maulānā Batla) mesti memberikan peringatan atas perkara ini kepada orang lain. [1]

Rujukan

[1]. Tarbīyyatus Sālīkīn, m/s 463-464

Saturday, May 21, 2016

Bantuan daripada Masyarakat Hindu Terhadap Dār al-‘Ulūm, Deoband

Dulu di awal-awal penubuhan Dār al-‘Ulūm, Deoband dulu, anak-anak masyarakat Hindu akan mempelajari ilmu kesusasteraan Parsi, Matematik dan sebagainya di Dār al-‘Ulūm, Deoband, Tetapi selepas penjajah British mulai melaksanakan sistem sijil kelayakan bagi sesiapa yang ingin bekerja dengan kerajaan, maka masyarakat tempatan yang ingin bekerja dengan kerajaan ini perlu mempunyai sijil kelayakan dari institusi pengajian yang diiktiraf oleh penjajah British. Maka disebabkan itu, ramailah anak masyarakat Hindu yang telah berhijrah ke instutusi pengajian yang diiktiraf oleh penjajah British dan tidak kurang juga yang bertindak sedemikian ialah anak-anak masyarakat orang Islām. Walau bagaimanapun masyarakat Hindu masih lagi membantu dari segi perkembangan Dār al-Ulūm, Deoband walaupun mereka tidak lagi menghantar anak-anak mereka ke institusi pengajian tersebut.

Di Lucknow ada sebuah syarikat pencetakan Nawal Kishore Press yang telah menyediakan perkhidmatan cetakan untuk kegunaan Dār al-‘Ulūm, Deoband, walaupun pemilik syarikat pencetakan tersebut beragama Hindu, namun menurut Maulānā Sayyid Mahbub Rizwī sejak dari awal penubuhan Dār  al-‘Ulūm, Deoband iaitu sekitar tahun 1867M sehingga sekarang iaitu sekitar tahun 1980M, syarikat percetakan tersebut masih lagi kekal membantu menyediakan cetakan kepada Dār al-‘Ulūm, Deoband. 

Pada tahun 1881M telah menyaksikan seorang staf bernama Dr. G.W Lieter dari Universiti Punjab telah menderma lebih 2 dozen buku yang mengandungi pelbagai jenis disiplin ilmu kepada perpustakaan Dār al-‘Ulūm, Deoband.

Rujukan
Sayyid Mahbood al-Rizvī, History of The Dar al-Ulum Deoband, terjemahan daripada Urdu oleh Murtaz Husain F. Quraishi, Deoband : Idara-E Ihtemam, 1980, jilid 1, hlm 150-151.

Saturday, May 14, 2016

Antara‬ jasa dan sumbangan besar Maulana Zakariyya al-Kandhalawi terhadap Umat Islam di India.

Ketika Pakistan berpisah dari India, masyarakat Islam di India telah berpandangan adalah lebih baik jika kita berpindah ke Pakistan kerana di sana umat Islam adalah majoriti. Tetapi tidak bagi Maulana Zakariyya la-Kandhalawi , Maulana Sayyid Husain Ahmad al-Madani dan Maulana Abd Qadir al-Raifuri.

Ketiga-tiga ulama ini telah berbincang mengenai permasalahan ini, mereka khuatir bahawa jika mereka tidak menyelesaikan masalah ini, umat Islam di India akan lenyap. Jadi setelah berbincang lama, maka Maulana Zakariyya al-Kandhalawi telah mencadangkan kepada Maulana Sayyid Husain Ahmad al-Madani supaya umat Islam tidak perlu keluar dari India. Maka Maulana Sayyid Husain Ahmad la-Madani selaku Syaikh al-Islam di India pada ketika itu telah membuat keputusan bahawasanya mereka akan tetap tinggal di India, hidup mati mereka tetap di India.

Keputusan yang telah dibuat oleh ketiga-ketiga ulama ini telah menyelamatkan lebih daripada 60 ribu keluarga Islam yang ketika itu sedang menunggu kereta api di Saharanfur untuk berhijrah ke Pakistan.

Nota Penting

[1]. Kisah ini diceritakan oleh Maulana Sayyid Shahid al-Saharanfurī ketika mengadakan majlis bersama beliau di Masjid  Di Raja Sultan Ismail Petra Kubang Kerian,Kelantan pada 3/2/2016.

Saturday, May 7, 2016

Usaha Ulamā Deoband Dalam Memahami Firqah Syiah


Lihatlah Ulamā Deoband dalam menghadapi serangan daripada firqah Syiah. Demi untuk lebih mengetahui dan memahami ajaran Syiah dari orang Syiah sendiri, Maulānā Husain Ahmad al-Madani telah menghantar anak murid beliau yang bernama Maulānā Abd Sattar al-Tunsawi untuk tinggal di bersama Syiah Selama 6 tahun.

Ketika menghantar anak murid beliau ini, Maulānā Husain Ahmad al-Madani telah menangis lalu berdoa kepada Allah supaya anak murid beliau ini dijaga oleh Allah. Antara ancaman terbesar di sana nanti ialah maut (jika orang-orang syiah) mengetahui misi sebenar Maulānā Abd Sattar ini.

Beliau telah dihantar ke Qoms, Iran untuk mendalami ajaran syiah dari orang syiah sendiri. Di sana, beliau telah menyamar menjadi penganut syiah. Beliau telah beramal dengan ajaran Islam secara sembunyi-sembunyi Selama 6 tahun. Sehingalah beliau telah selesai mempelajari kesemua kitab-kitab ajaran syiah, beliau pulang ke India.

Selepas pemisahan India & Pakistan, beliau telah dihantar ke Pakistan untuk membanteras ajaran Syiah di sana. Misi beliau ini telah direstukan oleh gurunya. Di sana juga beliau telah mengarang puluhan jilid kitab-kitab yang menerangkan kebathilan ajaran syiah berdasarkan kitab-kitab ajaran syiah sendiri. Kitab karang beliau ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, bahkan juga telah diterjemahkan kepada bahasa Melayu oleh Jabatan Mufti Johor.

Begitulah ulamā - ulamā kita di India, mereka sangat teliti dalam melakukan kajian terhadap sesuatu isu. Begitu jugalah keadaan mereka ketika berhadapan dengan pelbagai firqah yang muncul di India seperti Qadiani, Brelwi, Ghair Muqallid, Baha'i dan sebagainya.

Mereka sama sekali tidak mudah-mudah menghukum sesuatu perkara sehingga mereka benar-benar yakin akan penyelewengan sesuatu perkara. Inilah harga disebalik sebuah kebenaran. Maulānā Abd Sattar telah banyak mengarang kitab-kitab menerang kebathilan ajaran syiah. Kitab-kitab karangan beliau telah disebar dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuklah ke dalam bahasa Melayu.

Dibawah ini ada link terjemahan kitab karangan Maulānā Abd Sattar al-Tunsawī رحمه الله yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Jabatan Mufti Johor.


Sila muat turun pdf terjemahan kitab ini.

https://drive.google.com/file/d/0BwoZvKcFm8hgY3d4a0dxODFvbjg/view?usp=sharing

Saya dapat tahu bahawa Jabatan Mufti Johor telah mengedarkan terjemah kitab ini ke seluruh masjid-masjid di negeri Johor.

Thursday, April 28, 2016

Tangisan Hadrat Ji di Medan Ijtima Raiwind

Ust kami pernah cerita mengenai satu kejadian di Ijtima Raiwind, Pakistan saat Hadrat Ji Maulana Inam al-Hasan al-Kandhalawi رحمه الله ingin menyampaikan ucapan tetapi Hadrat Ji رحمه الله tidak dapat menyampaikan ucapan beliau. Apabila Hadrat Ji رحمه الله ingin memulakan ucapan, beliau telah tersedu-sedu kelihatan seperti hendak menangis. Selang beberapa minit kemudian, Hadrat Ji رحمه الله telah menangis dihadapan sekalian majma di Ijtima Raiwind.

Hadrat Ji رحمه الله tidak berupaya meneruskan ucapannya kerana terlalu bersedih, maka Maulana Umar Palanpuri رحمه الله telah mengantikan tempat beliau untuk menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut. Hadrat Ji رحمه الله dibawa masuk ke dalam bilik istirehat beliau, setibanya Hadrat Ji رحمه الله di bilik tersebut, beliau masih lagi menangis, setelah di tanya beberapa kali oleh khadim khasnya kerana ingin mengetahui punca sebenar disebalik tangisan Hadrat Ji رحمه الله ini.

Maka Hadrat Ji رحمه الله berkata, " aku telah mendapat tahu bahawasanya orang tanggungjawab jawab seluruh UK tidak datang pada Ijtima Raiwind pada kali ini, kerana dalam kalangan mereka telah berlaku perselisihan faham dan ada antara mereka yang berkecil hati antara satu sama yang lain. Di sebabkan perkara ini kesemua mereka tidak dapat hadir Ijtima pada kali ini. " dan aku tersangat sedih akan perselisihan antara mereka ini."

Lalu datang Syaikh Hafiz Patel رحمه الله (orang tanggungjawab seluruh UK) menemui Hadrat Ji رحمه الله sambil menangis. Beliau berkata " kami datang wahai Hadrat Ji رحمه الله ، tetapi kami tidak menemui Tuan kerana kami khuatir jika kami datang dan Tuan telah mengetahui perihal yang telah berlaku antara kami, sudah pasti Tuan akan menangis lebih teruk daripada sekarang ini". Jadi untuk mengelakan perkara ini, kami telah datang ke Ijtima Raiwind tanpa memberitahu akan kedatangan kami". Mendengar akan perkara ini, semua yang ada disekeliling hadrat Ji وحمه الله dan Syaikh Hafiz Patel رحمه الله telah menangis.

Lanjutan daripada kisah tangisan Hadrat Ji رحمه الله di Medan Ijtima Raiwind.
Sebenarnya apa yang menjadi kesedihan HadratJi وحمه الله ialah orang-orang tanggungjawab UK telah berkecil hati antara satu sama lain. Dalam melakukan kerja dan usaha Dakwah, kesatuan hati dan fikir diperlukan, tetapi bagaimana kesatuan hati dan fikir disatukan sedangkan orang-orang tanggungjawab pun berselisih pandangan.

Begitu juga fikir dan tumpuan diperlukan untuk usaha dakwah. Bagaimana Maulana Ilyas al-Kandhalawi رحمه الله yang selalu berkata mengenai kepentingan menjaga fikir dan tumpuan.
Kata-kata beliau " jika orang yang melakukan usaha dakwah memikirkan keduniaan, maka keduniaanlah yang tersebar ke seluruh dunia, apabila orang yang melakukan usaha dakwah memikirkan pepecahan umat, maka pepecahan umat yang akan tersebar di seluruh dunia " maka oleh itu seorang dai'i harus senantiasa menjaga fikir dan tumpuan mereka. Fikir seorang dai'i boleh memberikan kesan kepada keadaan penghuni dunia.

Saturday, April 23, 2016

Seribu Satu Kekalutan bagi Pendakwah


Melihat kepada kemelut yang dihadapi oleh Dr Zakir Naik, Mufti Menk dan beberapa pendakwah lain ketika berdakwah di sesebuah negara dek kerana mereka cuba menyentuh beberapa isu yang boleh mengundang kontroversi masyarakat ketika berdakwah.

Secara insafnya, saya merenung jauh ke dasar hati saya ini, lantas saya teringat akan hikmah besar apabila para Masyaikh Jemaah Usaha Dakwah & Tabligh (JT) menggariskan usul (tertib) ketika sedang berdakwah (khuruj fi sabilillah) kepada ahli mereka sebagaimana berikut :

1. Jangan bercakap isu semasa dan politik
2. Jangan bercakap isu khilafiah / mazhab
3. Jangan sentuh perbezaan pangkat, keturunan dan darjat
4. Jangan meminta derma

Berapa ramai dalam kalangan kami (yang mengikuti dakwah metodologi/kaedah JT) yang telah dikritik, ditohmah, difitnah, dikeji dan sebagainya lagi kerana berpegang dengan usul ini ketika berdakwah. Itu belum lagi (JT) dituduh sebagai jemaah yang jumud/ primatif, tidak mengikuti keadaan semasa ketika menyampaikan dakwah. Dituduh tidak prihatin akan keadaan umat Islam dek kerana tidak cakna dengan isu semasa yang melanda umat Islam itu biasa. Begitu juga dituduh sebagai jemaah yang tidak syumul dek kerana tidak menyantuni politik demokrasi itu rasanya banyak kali dah.

Tapi alhamdulillah ala kullihal, rupanya inilah hikmah besar. Sekadar pemerhatian saya, dakwah (JT) begitu subur dan telah sampai ke seluruh pelosok dunia tanpa menyentuh langsung 4 empat perkara tersebut. Berapa ramai manusia yang kembali sujud kepada Allah asbab pergerakan usaha dakwah (JT) ini. Semoga Allah menjaga usaha dakwah ini daripada fitnah dan gemerlapan dunia, semoga Allah istiqomahkan kita semua dan semoga Allah amkan hidayah bagi setiap umat manusia.

P/s : Usul dalam (JT) ialah benteng daripada pandangan mata orang zalim.

Tuesday, April 12, 2016

Bagaimana‬ Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī dilantik menjadi amir Jemaah Usaha Dakwah & Tabligh (JT).

Guru kita yang mulia, TG Syaikh Nuruddīn Marbu al-Banjarī telah menceritakan satu kisah bagaimana satu keadaan perbincangan diadakan bertujuan untuk melantik Amir bagi (JT) peringkat dunia. Perbincangan itu diadakan di sebuah bilik di dalam Masjid Bangla-Walī (Markaz Nizamuddīn, Delhi). Antara kibar ulamā yang menghadiri perbincangan ini sebagai panel pemilih bagi memilih calon untuk mengisi jawatan Amir tersebut ialah :

1. Maulānā Abd Qadīr al-Raifurī ( Syaikh kepada Maulānā Abul Hasan Alī an-Nadwī, Hajī Abd Wahab Markaz Raiwind)
2. Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī
3. Maulānā Fakr al-Dīn Hasan al-Muradabadī (Syaikh al-Hadīth Dār al-Ulūm, Deoband pada waktu itu (guru Sahīh al- Bukhārī kepada Maulānā Shaukat Alī )
4. Maulānā Ihtisham Hasan al-Kandhālawī

Keempat-empat ini kibar ulamā ini diberikan keutamaan sebagai panel pemilih di mana Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī bertindak sebagai faisala (pembuat keputusan) untuk perbincangan ini.

Dalam buku yang saya, pengarang tidak menamakan calon-calon bagi mengisi jawatan Amir (JT) ini. Namun hasil maklumat perkongsian daripada rakan-rakan Fb , mereka memberitahu saya bahawasanya ada 4 orang calon yang telah dicadangkan untuk mengisi jawatan tersebut. Antara 4 calon tersebut ialah:

1. Maulānā Daūd al-Mewatī
2. Maulānā Syed Abul Hasan Alī an-Nadwī
3. Maulānā Ubaid Allāh al-Balyawī
4. Maulānā Inam al-Hasan al-Kandhālawī

Ketika berlangsungnya perbincangan tersebut, keempat-empat panel pemilih telah mencadangkan 4 nama tersebut. Maka selepas berselawat kepada Nabi صلى الله عليه وسلم . Maka Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī selaku faisala telah memutuskan untuk membuat keputusan.

Sebelum beliau membuat keputusan, beliau telah membuat satu bentuk iklan iaitu beliau telah berkata, " saya minta kepada semua yang berada dalam majlis (perbincangan) ini untuk bangun meninggalkan majlis ini kecuali bagi mereka yang pernah melihat malaikat". Maka bangun kesemua orang hadir dalam perbincangan ini meninggalkan majlis ini kecuali tinggal dua orang sahaja iaitu Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī sendiri dan menantunya Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī.

Lalu menangislah Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī seraya berkata, "rupa-rupanya rahsia saya selama ini (yakni beliau pernah melihat malaikat) telah diketahui oleh seseorang dan seseorang itu ialah Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī".

Maka selepas itu, Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī terus mengisytiharkan bahawasanya amir bagi (JT) ialah Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī. Beliau telah menjadi amir bagi (JT) sehingga pada tahun 1995. Di bawah seliaan beliau usaha (JT) terus berkembang sehingga ke dunia arab, eropah, latin telah menerima dakwah dari (JT). Semoga Allāh ta'ala merahmati beliau dan seluruh para masyaikh. Amin thumma amin.

‪#‎tanbih‬

1.Kisah di atas memaparkan satu bentuk karomah yang Allāh ta'ala telah berikan kepada Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī dan Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī. Sebagai seorang yang beriman kepada Allāh, perkara mengenai karomah tersebut bukan sesuatu yang mustahil bagi Allāh. Bagi manusia yang sejahtera akal dan hatinya apabila melihat sesuatu bentuk karomah, maka keimanan dan keyakinannya kepada Allāh terus bertambah meningkat.

2. Imām as-Sayutī juga telah menulis satu risalah menerangkan bolehnya manusia melihat Nabi dan para Malaikat secara jaga/ yaqaza. Boleh baca risalah beliau bertajuk "Tanwir al-Halak fi Imkan Ru’yah an-Nabi wa al-Malak".

P/s: Maulānā Sayyid Shahīd al-Sahāranfurī berkata, " Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī dipilih menjadi amir bagi (JT) adalah kerana beliau telah mencapai tahap kerohanian yang tinggi dalam jalan kesufiannya dan dalam masa yang sama beliau ialah Syaikh al-Hadīth di Madrasah Kashf al-Ulūm, Nizamuddīn. Beliau juga telah disediakan oleh Maulānā Ilyās al-Kandhālawī untuk membantu Maulānā Yusuf al-Kandhālawī dalam urusan pergerakan dakwah (JT).

Sumber rujukan

1. Kemungkin TG Syaikh Nuruddīn Marbu al-Banjarī mendengar kisah ini daripada para masyaikh kita sendiri. Untuk pendetilan, kena bertanya pada beliau sendiri.
2. Kisah ini juga boleh dirujuk dalam Manaqib Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī, oleh Maulānā Sayyid Shahīd al-Sahāranfurī.

Friday, April 8, 2016

Senarai Jumlah Pelajar Dar al-Ulum, Deoband dari tahun (1866-1994)


Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Dr Dietrich Reetz mengenai jumlah penuntut ilmu yang pernah mendapat pengajian di Dārul 'Ulūm Deoband (India) yang datang dari seluruh dunia ialah seperti berikut.

Senarai penuh jumlah penuntut ilmu mengikut negara masing-masing.

1. India (20379 orang)
2. Bangladesh (2154 orang)
3. Pakistan (1524 orang)
4. Malaysia (518 orang)
5. Afrika (237 orang)
6. Burma (160 orang)
7. Nepal (119 orang)
8. Afghanistan (118 orang)
9. Russia/ Soviet Union (70 orang)
10. China (44 orang)
11. Britian (21 orang)
12. Turkestan (20 orang)
13. Sri Langka (19 orang)
14. USA (16 orang)
15. Iran (11 orang)

Jumlah penuntut ilmu mengikut negara-negara Asia Tenggara.

1. Malaysia (518 orang)
2. Burma (160 orang)
3. Thailand (8 orang)
4. Kamboja ( 1 orang)
5. Indonesia (1 orang)

Dalam himpunan keseluruhan senarai pelajar mengikut negara yang pernah melanjutkan pengajian di Dārul 'Ulūm Deoband, penuntut ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia menduduki tangga keempat (dari seluruh dunia) iaitu seramai 518 orang yang pernah mendapat pengajian di India (Darūl 'Ulūm Deoband).

Masyallah, ramainya orang Malaysia yang menuntut ilmu di India (Darūl 'Ulum Deoband). Jika ada mana-mana pihak yang boleh melakukan kajian ilmiah menjejaki saki-baki bekas-bekas pelajar penuntut ilmu dari Malaysia yang pernah belajar di India (Darūl 'Ulum Deoband) pasti ianya sangat menarik sekali. Rekod ini diambil sejak dari tahun penubuhan Dārul 'Ulūm Deoband iaitu pada tahun 1866M sehingga pada tahun 1994M (1283H-1414H).

Rujukan
1. Travelling Islam-Madrasa Graduates From India and Pakistan in the Malay Archipelago, Journal No.8, terbitan tahun 2013.
2. Data Perangkaan rasmi dari Majalah Dārul 'Ulūm Deoband, terbitan tahun 2001, bilangan no 11, hlm 43.

Thursday, April 7, 2016

Semua‬ ulama hadīth adalah Sufi

Saya tidak tahu kenapa saya boleh sebak tatkala saya mendengar syarahan daripada Maulana Salman Nadwi pada malam tadi. Hati ini begitu terkesan apabila Maulana menyebut satu persatu nama para ulama yang telah menghimpunkan dua ilmu iaitu hadith dan Sufi dalam kehidupan mereka.

Kemudiannya Maulana menyebut nama para Imam seperti Imam Junaid Baghdadi, Imam Qadi Iyadh, Imam Iraqi, Imam Nawawi, Imam Zahabi, Imam Sayuti, Imam Ibnu Tamiyyah, Imam Ibnu Qayyim , Imam Shah Wali Allah, Imam Shah Abd Aziz , Imam Shah Muhammad Ishaq dan sebagainya lagi contoh bagi memberitahu bahawasanya para ulama ini semuanya adalah muhaddith dan pengamal Sufi.

Maulana Salman Nadwi juga membuat pendedahan pada malam tadi dengan memberitahu bahawasanya pelopor kepada gerakan Ahli Hadith (Ghair Muqallid) di benua Hindustan iaitu Maulana Nazir Husain dan Maulana Nawab Siddiq Hasan Kannauji juga merupakan Sufi di mana Maulana Nazir Husain telah berbai'ah kepada guru beliau iaitu Imam Shah Muhammad Ishaq manakala Maulana Nawab Siddiq Hasan Kannauji telah mengambil bai'ah ditangan Maulana Fazlur Rahman Ganjmuradabadi. Hal ini merupakan satu tamparan hebat buat seorang "Maulana" yang beraliran Ahli Hadith (Ghair Muqallid) di Malaysia yang telah mendakwa bahawa Sufi mempunyai pengaruh dari Syiah.



Juga Maulana Salman menyebut semalam tokoh seperti Maulana Anwar Shah Kashmiri, Maulana Yusuf Binnouri, Maulana Ashraf Ali Thanwi, Maulana Yusuf kandhalawi, Maulana Ilyas Kandhalawi dan Maulana Zakariyya kandhalawi. Kesemua mereka ini merupakan ulama hadith hebat dan juga merupakan pengamal Sufi.

Kata Maulana Salman Nadwi lagi, kesemua ulama yang berada di atas muka bumi ialah mereka-mereka yang menjadi imam @ jagoan dalam ilmu hadith dan mereka menjadi imam @ jagoan dalam sufi.

Friday, April 1, 2016

Maulana Zakariyyā al-Kandhalawi dan Para Muridin

Saya teringat cerita Maulana Sayyid Shahid al-Saharanfurī tempoh hari mengenai kehidupan harian datuknya iaitu Maulana Zakariyyā al-Kandhalawi رحمه الله .
Menurut Maulana Shahid, Maulana Zakariyyā رحمه الله akan memperuntukan masa beliau untuk bersama dengan para muridnya yang datang untuk berzikir ijtima'i bersama dengan beliau. Kebanyakan para muridnya ini datang dari kawasan yang jauh-jauh yang menyebabkan mereka terpaksa menjadi tetamu Maulana Zakariyyā رحمه الله .

Sepanjang mereka menjadi tetamu Maulana Zakariyyā رحمه الله، mereka telah diberikan makan & minum oleh maulana Zakariyyā رحمه الله . Jumlah mereka tidak kurang dari 50-100 orang. Semua makan-minum mereka ditanggung oleh maulana Zakariyyā رحمه الله .
Maulana Zakariyyā رحمه الله langsung tidak pernah meminta duit perbelanjaan harian mereka. Bahkan ada di antara mereka berkata, sepanjang kami menjadi tetamu kepada maulana Zakariyyā رحمه الله ، kami tidak pernah lapar.

Kata Maulana Shahīd, sebenarnya apa yang telah dibuat oleh maulana Zakariyyā رحمه الله itu ialah sifat Ikram maulana Zakariyyā رحمه الله dalam melayani tetamu dan sikap Maulana Zakariyyā رحمه الله dalam mendidik para muridnya dalam menghargai para salik.

Lihatlah,Para mursyid yang berjalan atas Tarīqat Sufi yang haq mereka sanggup berhabisan harta dalam membentuk peribadi para muridnya. Tarbiah tidak terbentuk dengan sendiri melainkan tunjuk ajar daripada mursyid yang kamil.

Mursyid yang kamil tidak akan menyusahkan para muridnya apatah lagi bertindak mengumpulkan kekayaan atas jalan kesufian. Mursyid yang bertindak mengumpulkan kekayaan melalui para muridnya atas nama kesufian adalah seorang yang khianat terhadap disiplin kesufian itu sendiri. Dirinya langsung tidak layak digelar sebagai mursyid apatah lagi untuk dinisbahkan dengan kesufian.

Nota Penting

[1]. Kisah ini diceritakan oleh Maulana Sayyid Shahid al-Saharanfurī ketika mengadakan majlis bersama beliau di Masjid  Di Raja Sultan Ismail Petra Kubang Kerian,Kelantan pada 3/2/2016.

Saturday, March 26, 2016

Maulānā‬ al-Madanī dan Syaikh Tasawwufnya

Kepentingan Tasawwuf kepada Ummat Islam

Menyedari akan kepentingan tasawuf penting kepada anaknya, Sayyid Habib Allāh rah telah menyarankan kepada Maulānā al-Madanī rah supaya mencari Syaikh yang boleh dijadikan rujukan dalam kesufian. Maulānā al-Madanī rah telah menyatakan keinginan beliau untuk mengambil bai'ah ditangan guru beliau iaitu Syaikh al-Hind Maulānā Mahmud Hasan rah tetapi keinginan beliau ini telah ditolak oleh Syaikh al-Hind rah dengan baik, kemudiannya Syaikh al-Hind rah telah mencadangkan bahawa Maulānā al-Madanī rah mengambil bai'ah daripada Maulānā al-Gangohī rah. Oleh kerana mentaati arahan gurunya itu, maka Maulānā al-Madanī rah pun bersetuju atas arahan daripada gurunya itu.

Pada tahun 1899M, Maulānā al-Madanī rah telah mengambil bai'ah daripada Maulānā al-Gangohī rah setelah melalui latihan kesufian bersama Maulānā al-Gangohī rah dan akhirnya Maulānā al-Gangohī rah telah menganugerahkan 4 salasilah tarīkat utama seperti Chistīy, Naqshabandīy, Qadarīy dan Suhrawardīy kepada beliau.


Rujukan 
Hifz al-Rahman as-Seoharwī, Naqsh-e-Hayat, cetakan Maktabah-e-Diniya, Deoband, 1955, Jilid 1, hlm 78.

Friday, March 25, 2016

Seribu Satu Kegembiraan

Hati saya menjadi sayu tatkala melihat lembaran foto-foto ini, barangkali satu manifestasi berjaya diterjemahkan melalui lembaran foto-foto ini. Ramai yang berkongsi kegembiraan atas perkara ini, mungkin sebagai satu isyarat bahawasanya prinsip keterbukaan dan toleransi bernuansa akhlak dan adab semakin diterima dalam kalangan masyarakat kita.




Alhamdulillah ala kullihal, ketika saya menulis bicara ini, beberapa kali saya berhenti mengenang kembali beberapa peristiwa lalu, peristiwa yang menjadi titik tolak kepada kebencian yang pernah terpahat di sanubari saya. Namun disebalik peristiwa ini, saya dan rakan-rakan yang terlibat dalam Usaha Dakwah & Tabligh telah diajar oleh para masyaikh kami supaya memaafkan kesalahan umat, kami juga diajar agar selalu menyalahkan diri sendiri. Inilah maqasid/objektif dari usaha dakwah iaitu " menginginkan kebaikan untuk umat ".




Semoga ziarah mahabbah ini menjadi titik pertemuan bagi kedua-kedua gerakan Islam ini untuk terus melangkah ke hadapan dengan memacu umat kepada syariat Ilahi. Masing-masing dengan metodologi dakwah masing-masing. Masing-masing berjalan di atas ijtihad dari ulama masing-masing. Parti PAS dengan gerakan politik demokrasinya manakala Jemaah Usaha Dakwah & Tabligh (JT) dengan usaha memakmurkan masjid dan mengubah kondisi umat Islam secara tuntasnya.

Sebagai menutup bicara picisan ini, saya menyeru kepada semua penggiat bagi kedua-dua gerakan ini supaya memegang paksi keterbukaan dan toleransi ini agar ianya dapat meroboh segala api permusuhan yang telah terpahat buat sekian lama. Berhentilah dari menyalahkan gerakan lain, berhentilah dari mengkritik gerakan lain,sebaliknya bawa dan tenggelamkan umat Islam dalam keluasan kerahmatan Ilahi.

Wednesday, March 23, 2016

Pengaruh‬ usaha Dakwah dan Tabligh di Malaysia dalam mengasaskan PINTA kebangsaan.

Setelah puluhan foto majlis himpunan 20 ribu para huffaz semalam viral di dada-dada media sosial dan media bercetak, ianya telah membuka satu lembaran baru bagi institusi pengajian tahfiz di negara kita di sisi masyarakat kita. Ketika berucap di hadapan 20 ribu para huffaz PM DS Najib Razak telah berjanji untuk memperkasakan institusi pengajian tahfiz di negara ini.



Sebenarnya ini merupakan satu berita gembira kepada seluruh warga institusi tahfiz di seluruh negara setelah mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan perkara ini. Selepas ini institusi tahfiz di seluruh negara terutamanya madrasah dan maahad tahfiz yang selama ini bergerak secara bersendirian, boleh bergerak secara jama'ie di bawah Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (PINTA) yang telah didaftar dibawah ROS. PINTA telah berjaya menarik perhatian pemimpin negara untuk memberikan perhatian serius kepada pemerkasaan bidang tahfiz al-Quran ini.

Kejayaan menubuhkan PINTA peringkat kebangsaan adalah kejayaan yang bersejarah kerana ianya secara tidak langsung telah mengangkat warga institusi tahfiz untuk lebih dihargai di sisi masyarakat.

Sebenarnya, tunjang disebalik kejayaan ini ialah beberapa individu yang berlatarbelakangkan tarbiah usaha Dakwah dan Tabligh. Mereka inilah orang yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan usaha ini. Antaranya sekadar menyebut beberapa nama seperti Ust Hamzah, Ust Zahid, Ust Roslan, Ust Gunawan, Ust Dailami adalah individu terpenting dalam merealisasikan penubuhan PINTA ini.



Saya mempunyai pengalaman melibatkan diri dalam program usaha antara PINTA ketika menganjurkan program " Majlis Ikatan Cinta & Ittiba' Rasul " peringkat kebangsaan pada tahun 2015. Saya telah melihat komitmen mereka (PINTA) dalam bekerja keras untuk menubuhkan PINTA peringkat kebangsaan. Antara "role model" bagi PINTA ini ialah persatuan "Wefaq al-Madaris " di Pakistan yang telah diasaskan bertujuan untuk menyelaraskan semua institusi pengajian Deobandi di bawah satu persatuan.

Kewujudan entiti seperti "Wefaq al-Madaris" di Pakistan begitu signifikasi kerana ianya telah berjaya memainkan peranan penting dalam memartabatkan institusi pengajian agama di sana. Ketika beberapa institusi pengajian agama mereka terpalit dengan isu pengganas, maka dengan serta-merta pihak "Wefaq al-Madaris" mengeluarkan kenyataan menafikan keterlibatan institusi pengajian yang bernaung di bawah mereka dengan keganasan.



Ust Hamzah pernah menceritakan pengalaman beliau sendiri menziarahi beberapa masyaikh Usaha Tabligh di Pakistan, kebanyakan masyaikh di Pakistan telah bertanya kepada beliau, adakah di negara kamu sudah wujud "Wefaq al-Madaris" seperti di negara kami (Pakistan). Jika belum wujud, baik kamu berusaha untuk wujudkan kerana ianya adalah benteng kepada institusi pengajian agama kamu. Jadi mengambil sempena dengan roh semangat dan saranan itu, maka Ust Hamzah bersama beberapa orang rakan-rakan beliau telah melibatkan diri secara serius dalam merealisasikan kewujudan "Wefaq al-Madaris" di Malaysia. Bermula dengan mewujudkan PINTA peringkat negeri-negeri dan dan akhirnya alhamdulillah, berkat perjuangan mereka selama ini, pihak ROS telah meluluskan penubuhan PINTA peringkat kebangsaan. Alhamdulillah thumma alhamdulillah.


Monday, March 21, 2016

Kisah‬ Maulānā Ahmad Shāh al-Muradabadī dan Solat Tahajūdnya.

Dalam satu safar, Maulānā Ahmad Shah telah bersama dengan Maulānā Ihtisham al-Hasan al-Kāndhalawī untuk ke satu kawasan. Maulānā Ahmad Shāh telah melantik Maulana Ihtisham sebagai amir perjalanan mereka kerana Maulānā Ahmad Shāh telah pun tua dan tidak berdaya untuk memikul tugasan sebagai amir.


Ketika dalam perjalanan tersebut, Maulānā Ahmad Shāh terkena serangan cirit-birit. Penyakit tersebut telah menganggu tumpuan Maulānā Ahmad Shāh dalam safar tersebut. Adalah menjadi amalan beliau iaitu untuk mengekalkan wudhu harian beliau. Disebabkan cirit - birit tersebut, beliau terpaksa memperbaharui wudhu beliau.

Maulānā Ahmad Shāh selalu mengerjakan solat tahajud. Walaupun keadaan kesihatan beliau kian merosot tetapi beliau tetap istiqomah bangun di waktu malam untuk mengerjakan solat tahajūd.

Melihat keadaan beliau yang kian uzur tetapi masih lagi dalam keadaan berkeinginan untuk mengerjakan solat tahajūd telah mengusar dan merisaukan Maulānā Ihtisham. Beliau berfikir jika keadaan Maulānā Ahmad Shāh dibiarkan berterusan sebegini pastinya akan membinasakan diri beliau lagi.

Lalu Maulānā Ihtisham berkata, " wahai Maulānā Ahmad Shāh, " saya ini amir perjalanan tuan sekarang, sekarang dengan perintah amir, saya memerintahkan tuan supaya tidak bangun lagi untuk bersolat tahajūd sepanjang safar kita ini kerana hal ini akan membinasakan lagi keadaan kesihatan tuan ". Maulānā Ahmad Shāh hanya mendiamkan sahaja perintah amir perjalanannya itu.

Berlalu suku daripada malam dalam keadaan sunyi sepi, dalam keadaan tidur, Maulānā Ihtisham dikejutkan dengan satu pegangan tangan di kaki beliau. Apabila beliau melihat perkara tersebut, beliau mendapati bahawasanya yang memegang kaki beliau ialah Maulānā Ahmad Shāh. Dalam keadaan menangis, Maulānā Ahmad Shāh memegang erat kaki beliau sambil menangis lalu berkata, wahai Amir perjalanan saya," saya ingin memohon kepada tuan satu permintaan sahaja iaitu izinkan saya untuk mengerjakan solat tahajūd" Maulānā Ahmad Shāh berkata lagi " sejak 57 tahun yang lalu ketika saya mula mengambil bai'ah dari Maulana Rashīd Ahmad al-Gangohī, saya tidak pernah meninggalkan solat tahajūd, tetapi tuan telah melarang saya untuk mengerjakannya, oleh itu saya memohon atas nama Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī supaya tuan membenarkan saya mengerjakannya". " Apakah nilainya kehidupan ini apabila berlalu waktu tahajūd tetapi saya tidak mengambil faedah daripadanya ".

Mendengar rayuan ini, lalu Maulānā Ihtisam menangis dengan teresak-esak dan membenarkannya mengerjakan solat tahajūd.

Rujukan
(Maulānā) Muhammad Rahmatullah al-Kashmiri, Maslak Ulamā Deoband aur Hubb' Rasulullah صلى الله عليه وسلم . terbitan Ta’limi Board, (2013), hlm 7-8.

P/s: kisah ini bukan terjadi di zaman 1000 atau 500 tahun yang lalu tapi ianya berlaku lebih kurang 90 tahun yang lalu ja, tetapi masyallah kecintaan mereka, mujahadah mereka dahsyat untuk agama. Semoga Allah سبحانه و تعالى memberikan hidayah untuk mengikuti kehidupan mereka.

Monday, March 14, 2016

Perbezaan‬ antara majlis Imām al-Madanī dan Imām al-Tāhanwī

Pernah ditanya kepada Muftī Mahmūd Hasan al-Gangohī, apakah perbezaan antara majlis yang dikendalikan oleh Imām al-Madanī dan majlis yang dikendalikan oleh Imām al-Thanwī?

Maka Muftī Mahmūd menjawab, “ Majlis yang dikendalikan oleh Imām al-Thanwī sangat menekan pengislahan hati masyarakat manakala majlis yang dikendalikan oleh Imām al-Madanī sangat menekan keselesaan hati masyarakat.


Muftī Mahmūd mencerikan satu kisah mengenai usaha Imām al-Madanī dalam menyantuni tetamu yang datang untuk duduk dalam majlis beliau. Selepas Imām al-Madanī selesai pengajaran (kelas Hadīth sahīh al-Bukhārī), beliau telah melawat Mehmān Khānā (rumah duduk tetamu) dan beliau telah mendapati bahawasanya seorang lelaki sedang berada di dalam rumah tetamu tersebut. Maka Imām al-Madanī telah bertanya kepada lelaki tersebut ? adakah tuan sedang berehat ? maka lelaki itu menjawab , bagaimana saya mahu berehat sedangkan saya tidak ada alas tidur, yang saya ada hanya tikar kayu (tikar biasa-biasa ja).


Apabila melihat keadaan lelaki tersebut, maka Imām al-Madanī telah pergi ke rumahnya untuk membawa alas tidur beliau sendiri untuk diberikan kepada lelaki tersebut demi untuk keselesaian lelaki tersebut. Sementara itu Imām al-Madanī telah menghabiskan malamnya dengan beribadat sepanjang-panjang malam.


Rujukan 

Muftī Muhammad Farooq al-Meerutī, Malfūzat Muftī Mahmūd Hasan al-Gangohī, terbitan Madrasah Taleemuddeen Publishing, (2012), Jilid 2, m/s 415.

Monday, March 7, 2016

Mujaddīd Dalam Kalangan Ummat

Setiap seratus tahun untuk Ummat


Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda 

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا

Sesungguhnya Allāh سبحانه و تعالى akan mengutus untuk ummat ini, pada setiap akhir seratus tahun,  (Mujaddīd) orang yang memperbaharui untuk umat agama mereka (HR Imām Abū Dawūd no. 4291)

Dalam taqrīr Maulānā Hasnul Hizam Hamzah dalam kitab Midraj ul-Fawatih fi Syarh Misykat il-Masobih. Kata beliau tugas Mujaddīd ini akan mengeluarkan kesilapan dalam agama pada umat dan memperbetulkannya. Mengeluarkan bid’ah dalam agama dan kembali kepada asal agama sepertimana yang ditinggalkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم .

Antara contoh Mujaddīd yang dinuqilkan oleh beliau ialah :

1.Khalifah Umar Abd al-Azīz
2.Syaikh Ahmad Farūq al-Sirhindī yang juga dikenali sebagai Mujadid Alf Thanī
3.Hakim al-Ummah Maulānā Asyraf Alī al-Tāhanwī
4.Tok Kenalī Kelatan 
5.Tok Janggut Kelantan
6.Syāikh Ahmad al-Tijanī
7.Habīb Abdullāh Alwi al-Hadad

Rujukan 
(Maulānā) Hasnul Hizam Hamzah, Midrajul Fawateh Fi Syarh Misykatul Masobih, terbitan  Hasnul Hizam Hamzah & S19 Publishing, (2014), hlm 533-534.

Tuesday, March 1, 2016

Kisah yang diceritakan oleh Maulana Sayyid Syahid al-Saharanfurī

Maulana Sayyid Syahid al-Saharanfurī menceritakan:

Suatu hari Syeikh Abdul Qadir al Jailani lalu di sebuah hutan. Dalam perjalanan di hutan tersebut, syeikh abdul Qadir memandang ke atas melihat ada sehelai cadar di atas pokok dan ada cahaya yang terang di cadar tersebut. Kemudian telah keluar dari cadar tersebut seolah olah Tajalli Rababniyyah ( cahaya atau seruan ketuhanan ).

Tiba tiba keluar suara dari cadar cahaya tersebut berbunyi " wahai syeikh sesungguhnya kamu sudah sampai kedudukan yang sangat tinggi, maka sekarang kamu diwajibkan solat hanya tiga waktu sahaja dan dua waktu lagi kamu diuzurkan untuk meninggalkannya".

Maka syeikh Abdul Qadir al Jailani menjawab kepada cadar cahaya tersebut " sesungguhnya syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  ini ialah syariat yang sempurna, tidak makhluk lain yang lebih sempurna dari Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  . Nyah KAU!! dari sini, sesungguhnya engkau adalah syaitan yang terkutuk ".

Makan cadar cahaya itu pun terbang sambil berkata " sesungguhnya sungguh hebat ilmu kamu wahai Syeikh, sehingga dapat menyelamatkan kamu dari kesesatan, ketahuilah bahawa seramai 70 orang alim yang telah aku sesatkan di tempat ini wahai Syeikh ".
Telah berkata Syeikh abdul Qadir " sesungguhnya engkau syaitan ingin menyesatkan aku lagi dengan mengatakan ilmu aku yang menyelamatkan dari kesesatan, bukan ilmu aku tetapi Allah ta'ala yang selamatkan aku dari kesesatan ini. "

Kata Maulana Sayyid Syahid al-Saharanfurī "inilah hakikat kebenaran ilmu yang dapat menjauhkan seseorang daripada kesesatan seperti Syeikh Abdul Qadir al Jailani rh.m.).

-Catatan oleh Ust Dzulfadzli-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini