Ikuti Blog Ini

Wednesday, March 23, 2016

Pengaruh‬ usaha Dakwah dan Tabligh di Malaysia dalam mengasaskan PINTA kebangsaan.

Setelah puluhan foto majlis himpunan 20 ribu para huffaz semalam viral di dada-dada media sosial dan media bercetak, ianya telah membuka satu lembaran baru bagi institusi pengajian tahfiz di negara kita di sisi masyarakat kita. Ketika berucap di hadapan 20 ribu para huffaz PM DS Najib Razak telah berjanji untuk memperkasakan institusi pengajian tahfiz di negara ini.



Sebenarnya ini merupakan satu berita gembira kepada seluruh warga institusi tahfiz di seluruh negara setelah mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan perkara ini. Selepas ini institusi tahfiz di seluruh negara terutamanya madrasah dan maahad tahfiz yang selama ini bergerak secara bersendirian, boleh bergerak secara jama'ie di bawah Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (PINTA) yang telah didaftar dibawah ROS. PINTA telah berjaya menarik perhatian pemimpin negara untuk memberikan perhatian serius kepada pemerkasaan bidang tahfiz al-Quran ini.

Kejayaan menubuhkan PINTA peringkat kebangsaan adalah kejayaan yang bersejarah kerana ianya secara tidak langsung telah mengangkat warga institusi tahfiz untuk lebih dihargai di sisi masyarakat.

Sebenarnya, tunjang disebalik kejayaan ini ialah beberapa individu yang berlatarbelakangkan tarbiah usaha Dakwah dan Tabligh. Mereka inilah orang yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan usaha ini. Antaranya sekadar menyebut beberapa nama seperti Ust Hamzah, Ust Zahid, Ust Roslan, Ust Gunawan, Ust Dailami adalah individu terpenting dalam merealisasikan penubuhan PINTA ini.



Saya mempunyai pengalaman melibatkan diri dalam program usaha antara PINTA ketika menganjurkan program " Majlis Ikatan Cinta & Ittiba' Rasul " peringkat kebangsaan pada tahun 2015. Saya telah melihat komitmen mereka (PINTA) dalam bekerja keras untuk menubuhkan PINTA peringkat kebangsaan. Antara "role model" bagi PINTA ini ialah persatuan "Wefaq al-Madaris " di Pakistan yang telah diasaskan bertujuan untuk menyelaraskan semua institusi pengajian Deobandi di bawah satu persatuan.

Kewujudan entiti seperti "Wefaq al-Madaris" di Pakistan begitu signifikasi kerana ianya telah berjaya memainkan peranan penting dalam memartabatkan institusi pengajian agama di sana. Ketika beberapa institusi pengajian agama mereka terpalit dengan isu pengganas, maka dengan serta-merta pihak "Wefaq al-Madaris" mengeluarkan kenyataan menafikan keterlibatan institusi pengajian yang bernaung di bawah mereka dengan keganasan.



Ust Hamzah pernah menceritakan pengalaman beliau sendiri menziarahi beberapa masyaikh Usaha Tabligh di Pakistan, kebanyakan masyaikh di Pakistan telah bertanya kepada beliau, adakah di negara kamu sudah wujud "Wefaq al-Madaris" seperti di negara kami (Pakistan). Jika belum wujud, baik kamu berusaha untuk wujudkan kerana ianya adalah benteng kepada institusi pengajian agama kamu. Jadi mengambil sempena dengan roh semangat dan saranan itu, maka Ust Hamzah bersama beberapa orang rakan-rakan beliau telah melibatkan diri secara serius dalam merealisasikan kewujudan "Wefaq al-Madaris" di Malaysia. Bermula dengan mewujudkan PINTA peringkat negeri-negeri dan dan akhirnya alhamdulillah, berkat perjuangan mereka selama ini, pihak ROS telah meluluskan penubuhan PINTA peringkat kebangsaan. Alhamdulillah thumma alhamdulillah.


0 Komen kat sini:

Post a Comment

Jika mahu memberikan komentar, silakan, berilah komentar dengan menggunakan laras bahasa yang sopan dan penuh beradab. Segala komentar yang menyelisihi laras bahasa sopan dan adab, insyallāh akan dipadam oleh team admin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini