Ikuti Blog Ini

Saturday, March 26, 2016

Maulānā‬ al-Madanī dan Syaikh Tasawwufnya

Kepentingan Tasawwuf kepada Ummat Islam

Menyedari akan kepentingan tasawuf penting kepada anaknya, Sayyid Habib Allāh rah telah menyarankan kepada Maulānā al-Madanī rah supaya mencari Syaikh yang boleh dijadikan rujukan dalam kesufian. Maulānā al-Madanī rah telah menyatakan keinginan beliau untuk mengambil bai'ah ditangan guru beliau iaitu Syaikh al-Hind Maulānā Mahmud Hasan rah tetapi keinginan beliau ini telah ditolak oleh Syaikh al-Hind rah dengan baik, kemudiannya Syaikh al-Hind rah telah mencadangkan bahawa Maulānā al-Madanī rah mengambil bai'ah daripada Maulānā al-Gangohī rah. Oleh kerana mentaati arahan gurunya itu, maka Maulānā al-Madanī rah pun bersetuju atas arahan daripada gurunya itu.

Pada tahun 1899M, Maulānā al-Madanī rah telah mengambil bai'ah daripada Maulānā al-Gangohī rah setelah melalui latihan kesufian bersama Maulānā al-Gangohī rah dan akhirnya Maulānā al-Gangohī rah telah menganugerahkan 4 salasilah tarīkat utama seperti Chistīy, Naqshabandīy, Qadarīy dan Suhrawardīy kepada beliau.


Rujukan 
Hifz al-Rahman as-Seoharwī, Naqsh-e-Hayat, cetakan Maktabah-e-Diniya, Deoband, 1955, Jilid 1, hlm 78.

Friday, March 25, 2016

Seribu Satu Kegembiraan

Hati saya menjadi sayu tatkala melihat lembaran foto-foto ini, barangkali satu manifestasi berjaya diterjemahkan melalui lembaran foto-foto ini. Ramai yang berkongsi kegembiraan atas perkara ini, mungkin sebagai satu isyarat bahawasanya prinsip keterbukaan dan toleransi bernuansa akhlak dan adab semakin diterima dalam kalangan masyarakat kita.




Alhamdulillah ala kullihal, ketika saya menulis bicara ini, beberapa kali saya berhenti mengenang kembali beberapa peristiwa lalu, peristiwa yang menjadi titik tolak kepada kebencian yang pernah terpahat di sanubari saya. Namun disebalik peristiwa ini, saya dan rakan-rakan yang terlibat dalam Usaha Dakwah & Tabligh telah diajar oleh para masyaikh kami supaya memaafkan kesalahan umat, kami juga diajar agar selalu menyalahkan diri sendiri. Inilah maqasid/objektif dari usaha dakwah iaitu " menginginkan kebaikan untuk umat ".




Semoga ziarah mahabbah ini menjadi titik pertemuan bagi kedua-kedua gerakan Islam ini untuk terus melangkah ke hadapan dengan memacu umat kepada syariat Ilahi. Masing-masing dengan metodologi dakwah masing-masing. Masing-masing berjalan di atas ijtihad dari ulama masing-masing. Parti PAS dengan gerakan politik demokrasinya manakala Jemaah Usaha Dakwah & Tabligh (JT) dengan usaha memakmurkan masjid dan mengubah kondisi umat Islam secara tuntasnya.

Sebagai menutup bicara picisan ini, saya menyeru kepada semua penggiat bagi kedua-dua gerakan ini supaya memegang paksi keterbukaan dan toleransi ini agar ianya dapat meroboh segala api permusuhan yang telah terpahat buat sekian lama. Berhentilah dari menyalahkan gerakan lain, berhentilah dari mengkritik gerakan lain,sebaliknya bawa dan tenggelamkan umat Islam dalam keluasan kerahmatan Ilahi.

Wednesday, March 23, 2016

Pengaruh‬ usaha Dakwah dan Tabligh di Malaysia dalam mengasaskan PINTA kebangsaan.

Setelah puluhan foto majlis himpunan 20 ribu para huffaz semalam viral di dada-dada media sosial dan media bercetak, ianya telah membuka satu lembaran baru bagi institusi pengajian tahfiz di negara kita di sisi masyarakat kita. Ketika berucap di hadapan 20 ribu para huffaz PM DS Najib Razak telah berjanji untuk memperkasakan institusi pengajian tahfiz di negara ini.



Sebenarnya ini merupakan satu berita gembira kepada seluruh warga institusi tahfiz di seluruh negara setelah mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan perkara ini. Selepas ini institusi tahfiz di seluruh negara terutamanya madrasah dan maahad tahfiz yang selama ini bergerak secara bersendirian, boleh bergerak secara jama'ie di bawah Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (PINTA) yang telah didaftar dibawah ROS. PINTA telah berjaya menarik perhatian pemimpin negara untuk memberikan perhatian serius kepada pemerkasaan bidang tahfiz al-Quran ini.

Kejayaan menubuhkan PINTA peringkat kebangsaan adalah kejayaan yang bersejarah kerana ianya secara tidak langsung telah mengangkat warga institusi tahfiz untuk lebih dihargai di sisi masyarakat.

Sebenarnya, tunjang disebalik kejayaan ini ialah beberapa individu yang berlatarbelakangkan tarbiah usaha Dakwah dan Tabligh. Mereka inilah orang yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan usaha ini. Antaranya sekadar menyebut beberapa nama seperti Ust Hamzah, Ust Zahid, Ust Roslan, Ust Gunawan, Ust Dailami adalah individu terpenting dalam merealisasikan penubuhan PINTA ini.



Saya mempunyai pengalaman melibatkan diri dalam program usaha antara PINTA ketika menganjurkan program " Majlis Ikatan Cinta & Ittiba' Rasul " peringkat kebangsaan pada tahun 2015. Saya telah melihat komitmen mereka (PINTA) dalam bekerja keras untuk menubuhkan PINTA peringkat kebangsaan. Antara "role model" bagi PINTA ini ialah persatuan "Wefaq al-Madaris " di Pakistan yang telah diasaskan bertujuan untuk menyelaraskan semua institusi pengajian Deobandi di bawah satu persatuan.

Kewujudan entiti seperti "Wefaq al-Madaris" di Pakistan begitu signifikasi kerana ianya telah berjaya memainkan peranan penting dalam memartabatkan institusi pengajian agama di sana. Ketika beberapa institusi pengajian agama mereka terpalit dengan isu pengganas, maka dengan serta-merta pihak "Wefaq al-Madaris" mengeluarkan kenyataan menafikan keterlibatan institusi pengajian yang bernaung di bawah mereka dengan keganasan.



Ust Hamzah pernah menceritakan pengalaman beliau sendiri menziarahi beberapa masyaikh Usaha Tabligh di Pakistan, kebanyakan masyaikh di Pakistan telah bertanya kepada beliau, adakah di negara kamu sudah wujud "Wefaq al-Madaris" seperti di negara kami (Pakistan). Jika belum wujud, baik kamu berusaha untuk wujudkan kerana ianya adalah benteng kepada institusi pengajian agama kamu. Jadi mengambil sempena dengan roh semangat dan saranan itu, maka Ust Hamzah bersama beberapa orang rakan-rakan beliau telah melibatkan diri secara serius dalam merealisasikan kewujudan "Wefaq al-Madaris" di Malaysia. Bermula dengan mewujudkan PINTA peringkat negeri-negeri dan dan akhirnya alhamdulillah, berkat perjuangan mereka selama ini, pihak ROS telah meluluskan penubuhan PINTA peringkat kebangsaan. Alhamdulillah thumma alhamdulillah.


Monday, March 21, 2016

Kisah‬ Maulānā Ahmad Shāh al-Muradabadī dan Solat Tahajūdnya.

Dalam satu safar, Maulānā Ahmad Shah telah bersama dengan Maulānā Ihtisham al-Hasan al-Kāndhalawī untuk ke satu kawasan. Maulānā Ahmad Shāh telah melantik Maulana Ihtisham sebagai amir perjalanan mereka kerana Maulānā Ahmad Shāh telah pun tua dan tidak berdaya untuk memikul tugasan sebagai amir.


Ketika dalam perjalanan tersebut, Maulānā Ahmad Shāh terkena serangan cirit-birit. Penyakit tersebut telah menganggu tumpuan Maulānā Ahmad Shāh dalam safar tersebut. Adalah menjadi amalan beliau iaitu untuk mengekalkan wudhu harian beliau. Disebabkan cirit - birit tersebut, beliau terpaksa memperbaharui wudhu beliau.

Maulānā Ahmad Shāh selalu mengerjakan solat tahajud. Walaupun keadaan kesihatan beliau kian merosot tetapi beliau tetap istiqomah bangun di waktu malam untuk mengerjakan solat tahajūd.

Melihat keadaan beliau yang kian uzur tetapi masih lagi dalam keadaan berkeinginan untuk mengerjakan solat tahajūd telah mengusar dan merisaukan Maulānā Ihtisham. Beliau berfikir jika keadaan Maulānā Ahmad Shāh dibiarkan berterusan sebegini pastinya akan membinasakan diri beliau lagi.

Lalu Maulānā Ihtisham berkata, " wahai Maulānā Ahmad Shāh, " saya ini amir perjalanan tuan sekarang, sekarang dengan perintah amir, saya memerintahkan tuan supaya tidak bangun lagi untuk bersolat tahajūd sepanjang safar kita ini kerana hal ini akan membinasakan lagi keadaan kesihatan tuan ". Maulānā Ahmad Shāh hanya mendiamkan sahaja perintah amir perjalanannya itu.

Berlalu suku daripada malam dalam keadaan sunyi sepi, dalam keadaan tidur, Maulānā Ihtisham dikejutkan dengan satu pegangan tangan di kaki beliau. Apabila beliau melihat perkara tersebut, beliau mendapati bahawasanya yang memegang kaki beliau ialah Maulānā Ahmad Shāh. Dalam keadaan menangis, Maulānā Ahmad Shāh memegang erat kaki beliau sambil menangis lalu berkata, wahai Amir perjalanan saya," saya ingin memohon kepada tuan satu permintaan sahaja iaitu izinkan saya untuk mengerjakan solat tahajūd" Maulānā Ahmad Shāh berkata lagi " sejak 57 tahun yang lalu ketika saya mula mengambil bai'ah dari Maulana Rashīd Ahmad al-Gangohī, saya tidak pernah meninggalkan solat tahajūd, tetapi tuan telah melarang saya untuk mengerjakannya, oleh itu saya memohon atas nama Maulānā Rashīd Ahmad al-Gangohī supaya tuan membenarkan saya mengerjakannya". " Apakah nilainya kehidupan ini apabila berlalu waktu tahajūd tetapi saya tidak mengambil faedah daripadanya ".

Mendengar rayuan ini, lalu Maulānā Ihtisam menangis dengan teresak-esak dan membenarkannya mengerjakan solat tahajūd.

Rujukan
(Maulānā) Muhammad Rahmatullah al-Kashmiri, Maslak Ulamā Deoband aur Hubb' Rasulullah صلى الله عليه وسلم . terbitan Ta’limi Board, (2013), hlm 7-8.

P/s: kisah ini bukan terjadi di zaman 1000 atau 500 tahun yang lalu tapi ianya berlaku lebih kurang 90 tahun yang lalu ja, tetapi masyallah kecintaan mereka, mujahadah mereka dahsyat untuk agama. Semoga Allah سبحانه و تعالى memberikan hidayah untuk mengikuti kehidupan mereka.

Monday, March 14, 2016

Perbezaan‬ antara majlis Imām al-Madanī dan Imām al-Tāhanwī

Pernah ditanya kepada Muftī Mahmūd Hasan al-Gangohī, apakah perbezaan antara majlis yang dikendalikan oleh Imām al-Madanī dan majlis yang dikendalikan oleh Imām al-Thanwī?

Maka Muftī Mahmūd menjawab, “ Majlis yang dikendalikan oleh Imām al-Thanwī sangat menekan pengislahan hati masyarakat manakala majlis yang dikendalikan oleh Imām al-Madanī sangat menekan keselesaan hati masyarakat.


Muftī Mahmūd mencerikan satu kisah mengenai usaha Imām al-Madanī dalam menyantuni tetamu yang datang untuk duduk dalam majlis beliau. Selepas Imām al-Madanī selesai pengajaran (kelas Hadīth sahīh al-Bukhārī), beliau telah melawat Mehmān Khānā (rumah duduk tetamu) dan beliau telah mendapati bahawasanya seorang lelaki sedang berada di dalam rumah tetamu tersebut. Maka Imām al-Madanī telah bertanya kepada lelaki tersebut ? adakah tuan sedang berehat ? maka lelaki itu menjawab , bagaimana saya mahu berehat sedangkan saya tidak ada alas tidur, yang saya ada hanya tikar kayu (tikar biasa-biasa ja).


Apabila melihat keadaan lelaki tersebut, maka Imām al-Madanī telah pergi ke rumahnya untuk membawa alas tidur beliau sendiri untuk diberikan kepada lelaki tersebut demi untuk keselesaian lelaki tersebut. Sementara itu Imām al-Madanī telah menghabiskan malamnya dengan beribadat sepanjang-panjang malam.


Rujukan 

Muftī Muhammad Farooq al-Meerutī, Malfūzat Muftī Mahmūd Hasan al-Gangohī, terbitan Madrasah Taleemuddeen Publishing, (2012), Jilid 2, m/s 415.

Monday, March 7, 2016

Mujaddīd Dalam Kalangan Ummat

Setiap seratus tahun untuk Ummat


Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda 

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا

Sesungguhnya Allāh سبحانه و تعالى akan mengutus untuk ummat ini, pada setiap akhir seratus tahun,  (Mujaddīd) orang yang memperbaharui untuk umat agama mereka (HR Imām Abū Dawūd no. 4291)

Dalam taqrīr Maulānā Hasnul Hizam Hamzah dalam kitab Midraj ul-Fawatih fi Syarh Misykat il-Masobih. Kata beliau tugas Mujaddīd ini akan mengeluarkan kesilapan dalam agama pada umat dan memperbetulkannya. Mengeluarkan bid’ah dalam agama dan kembali kepada asal agama sepertimana yang ditinggalkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم .

Antara contoh Mujaddīd yang dinuqilkan oleh beliau ialah :

1.Khalifah Umar Abd al-Azīz
2.Syaikh Ahmad Farūq al-Sirhindī yang juga dikenali sebagai Mujadid Alf Thanī
3.Hakim al-Ummah Maulānā Asyraf Alī al-Tāhanwī
4.Tok Kenalī Kelatan 
5.Tok Janggut Kelantan
6.Syāikh Ahmad al-Tijanī
7.Habīb Abdullāh Alwi al-Hadad

Rujukan 
(Maulānā) Hasnul Hizam Hamzah, Midrajul Fawateh Fi Syarh Misykatul Masobih, terbitan  Hasnul Hizam Hamzah & S19 Publishing, (2014), hlm 533-534.

Tuesday, March 1, 2016

Kisah yang diceritakan oleh Maulana Sayyid Syahid al-Saharanfurī

Maulana Sayyid Syahid al-Saharanfurī menceritakan:

Suatu hari Syeikh Abdul Qadir al Jailani lalu di sebuah hutan. Dalam perjalanan di hutan tersebut, syeikh abdul Qadir memandang ke atas melihat ada sehelai cadar di atas pokok dan ada cahaya yang terang di cadar tersebut. Kemudian telah keluar dari cadar tersebut seolah olah Tajalli Rababniyyah ( cahaya atau seruan ketuhanan ).

Tiba tiba keluar suara dari cadar cahaya tersebut berbunyi " wahai syeikh sesungguhnya kamu sudah sampai kedudukan yang sangat tinggi, maka sekarang kamu diwajibkan solat hanya tiga waktu sahaja dan dua waktu lagi kamu diuzurkan untuk meninggalkannya".

Maka syeikh Abdul Qadir al Jailani menjawab kepada cadar cahaya tersebut " sesungguhnya syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  ini ialah syariat yang sempurna, tidak makhluk lain yang lebih sempurna dari Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  . Nyah KAU!! dari sini, sesungguhnya engkau adalah syaitan yang terkutuk ".

Makan cadar cahaya itu pun terbang sambil berkata " sesungguhnya sungguh hebat ilmu kamu wahai Syeikh, sehingga dapat menyelamatkan kamu dari kesesatan, ketahuilah bahawa seramai 70 orang alim yang telah aku sesatkan di tempat ini wahai Syeikh ".
Telah berkata Syeikh abdul Qadir " sesungguhnya engkau syaitan ingin menyesatkan aku lagi dengan mengatakan ilmu aku yang menyelamatkan dari kesesatan, bukan ilmu aku tetapi Allah ta'ala yang selamatkan aku dari kesesatan ini. "

Kata Maulana Sayyid Syahid al-Saharanfurī "inilah hakikat kebenaran ilmu yang dapat menjauhkan seseorang daripada kesesatan seperti Syeikh Abdul Qadir al Jailani rh.m.).

-Catatan oleh Ust Dzulfadzli-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini