Ikuti Blog Ini

Tuesday, August 15, 2017

Antara Guru kepada Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfūrī rah

Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfūrī rah merupakan seorang ulamā hadīth hebat yang juga faqih dalam mazhab Hanafī kelahiran benua kecil India. Semangat dan kecekalan beliau dalam menuntut ‘ilmu tidak dapat disangkal lagi. Rehlah ‘ilmu beliau bermula sejak dari usia 5 tahun lagi apabila beliau mendaftarkan diri untuk memasuki pengajian al-Qur‘ān bersama Maulānā Mamlūk ‘Alī al-Nānautwī rah. Seterusnya, rehlah ‘ilmu beliau mulai bertapak di institusi pengajian terkenal di benua kecil India iaitu Dār al-‘Ulūm, Deoband dan Mazahīr al-‘Ulūm, Sahāranfūr dan di sanalah, beliau telah berjumpa dengan Maulānā Ya‘qūb al-Nānautwī rah dan Maulānā Mazhār ‘Alī al-Nānautwī rah dan telah berguru dengan beliau.

Maulānā Khalīl rah telah beberapa kali menziarahi Haramain dan bertemu dengan beberapa orang tokoh ulamā hebat yang mempunyai halaqah pengajian di sekitar masjid al-Haram dan Masjid Nabi. Antara yang diziarahi oleh Maulānā al-Sahāranfūrī rah juga ialah Hājī Imdād Allāh rah seorang tokoh sufi terkenal di benua kecil India yang juga merupakan Syaikh kepada guru beliau iaitu Maulānā al-Gangohī rah. Hājī Imdād Allāh rah telah menetap di Mekkah setelah menjadi buruan kerajaan Inggeris di negaranya setelah beliau mengetuai penentangan terhadap kezaliman kerajaan Inggeris. Beliau menziarahi Hājī Imdād Allāh rah kerana berpegang dengan pesanan guru beliau iaitu Maulānā al-Gangohī rah supaya apabila berada di Mekkah, segeralah menziarahi Hājī Imdād Allāh rah, peluang berada di Mekkah ini telah digunakan oleh Maulānā al-Sahāranfūrī untuk menziarahi beliau. 

Setelah menziarahi Hājī Imdād Allāh rah. Maulānā al-Sahāranfūrī rah juga mengambil kesempatan untuk menziarahi para ‘ulamā yang menetap di Mekkah seperti Muftī Mazhab al-Shafi’ī di Mekkah iaitu Syaikh al-Islām Syaikh Sayyid Ahmad Zainī al-Dahlan rah, Syaikh al-Islām Maulānā Rahmat Allāh al-Kairānawī rah dan beberapa ‘ulamā lain lagi di Mekkah. Apabila beliau mengunjungi kota Madīnah, Maulānā al-Sahāranfūrī rah telah menziarahi Syaikh al-Masyaikh Maulānā Shāh ‘Abd Ghanī al-Mujaddidī rah yang merupakan bukan sahaja guru kepada guru beliau bahkan guru kepada hampir kebanyakan para ‘ulamā yang berkhidmat di Dār al-‘Ulūm, Deoband dan Mazahīr al-‘Ulūm, Sahāranfūr. Maulānā Shāh ‘Abd Ghanī al-Mujaddidī rah telah menetap di Madīnah setelah berhijrah dari Benua Kecil India. Maulānā al-Sahāranfūrī rah juga turut menziarahi sejumlah besar ‘ulamā lain sepanjang keberadaan beliau di kota Madīnah.



Apabila menyebut nama tokoh-tokoh besar yang terkenal di kota Mekkah seperti Muftī Mazhab Shafi'ī di Mekkah iaitu Syaikh Sayyid Ahmad al-Barzanjī rah dan Syaikh Ahmad Zaini Dahlan rah yang dinyatakan juga sebagai guru kepada Maulānā al-Sahāranfūrī rah. Terus terbayang di benak saya kisah bagaimana usaha Maulānā Reda Khan al-Brelwī rah untuk membawa segala kenyataan para ‘ulamā Deoband yang telah pun pada awalnya diubah oleh beliau (kenyataan ini berbahasa Urdu) kepada para ‘ulamā di Mekkah dan Madīnah untuk mendapat tanda tangan daripada para ulamā di sana bagi tujuan mengisytiharkan kesesatan yang telah dilakukan oleh para ‘ulamā Deoband.

Tidak terkecuali daripada ditemui oleh Maulānā Reda Khan rah ialah Syaikh Sayyid Ahmad al-Barzanjī rah, namun usaha Maulānā Reda Khan rah telah menemui kegagalan apabila Muftī Mazhab al-Shafi‘ī itu tidak menurunkan tandatangan perisytiharan kesesatan tersebut sebaliknya beliau bertindak menyiasat kesahīhan kandungan risalah tersebut. Maulānā al-Sahāranfūrī rah dan saudaranya segurunya yang telah menetap di kota Madīnah iaitu Syaikh al-Islām Maulānā Sayyid Husain Ahmad al-Madanī rah telah menemui para ‘ulamā di sekitar Masjid al-Haram dan Masjid Nabi untuk memberikan penerangan dan penjelasan terhadap fitnah dan tuduhan yang telah ditimbulkan oleh Maulānā Reda Khan rah. Akhirnya Allāh ta'ala mengagalkan usaha jahat ini melalui dua permata Deoband pada ketika itu iaitu Mauānā al-Sahāranfūrī rah dan Maulānā al-Madanī rah. Setelah mendengar penjelasan daripada dua orang permata Deoband ini, maka para ‘ulamā yang berada di sekitar Masjid al-Haram dan Masjid Nabi telah mengesahkan bahawasanya para ‘ulamā Deoband masih berpegang kepada kefahaman akidah ASWJ.

Rujukan
Muhammad Tsanī al-Nadwī al-Mazaharī, Al-syaikh Muhammad Khalīl Ahmad Ansarī al-Sahāranfūrī, terbitan Maktabah Nadwa al-Ulamā, Lucknow, India, (1976), hlm 40-41.

Wednesday, August 9, 2017

Pelajar-Pelajar awal di Dār al-ʿUlūm, Deoband

Sebelum ini kita telah mengetahui bagaimana institusi pengajian Dār al-ʿUlūm, Deoband diasaskan iaitu bermula dengan seorang guru dan seorang pelajar di mana pengajian awal hanya bermula di bawah sebatang pokok Delima. Institusi pengajian terulung di Benua Kecil India ini lama kelamaan telah berkembang dan berjaya menarik perhatian daripada ramai masyarakat Islām. Antara pelajar awal yang telah mendaftar masuk untuk mengikuti pengajian di Dār al-ʿUlūm,Deoband ini selain datang dari sekitar pekan Sahāranfūr sendiri, ianya juga datang dari kampung di sekitar Varanasi (masih lagi dalam negeri UP tetapi berjarak 926 KM dari Deoband). Ada juga pelajar yang mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian di institusi ini datang dari negeri Punjab (304KM dari Deoband). Ada beberapa pelajar yang paling jauh telah berjaya mendaftarkan diri untuk mengikut pengajian di Dār al-ʿUlūm, Deoband di mana pelajar ini datang dari Afghanistan. Pada bulan Julai 1866M (Dār al-ʿUlūm, Deoband telah diasaskan pada 31 Mei 1866M), jumlah pelajar di Dār al-ʿUlūm telah berjaya direkodkan sebanyak 21orang manakala pada penghujung April 1867, jumlah pelajar direkodkan sebanyak 78 orang. Daripada jumlah itu, seramai 58 orang adalah terdiri daripada pelajar yang datang dari luar Sahāranfūr.
Gambar sekitar Dār al-‘Ulūm, Deoband pada tahun 1950
Dār al-ʿUlūm, Deoband juga telah menjalankan satu polisi di mana tiada sebarang yuran dikenakan terhadap para pelajar ini. Para pelajar ini juga diberikan tempat tinggal dan makanan. Ada juga para pelajar telah diberikan makanan oleh masyarakat Islām di sekitar Dār al-ʿUlūm, Deoband. Segala kelengkapan para pelajar ditanggung oleh Dār al-ʿUlūm, Deoband sendiri hasil dana sumbangan dari masyarakat Islām tempatan. Dana-dana hasil sumbangan masyarakat Islām tempatan ini telah berjaya dikumpul dan pada setiap tahun telah diaudit untuk memastikan ketelusan pengurusan dana tersebut. Pada tahun 1867M iaitu tahun pertama selepas penubuhan Dār al-ʿUlūm, Deoband, dana hasil sumbangan masyarakat Islām tempatan telah berjaya dikumpulkan sebanyak 649 rupee. Para pentadbir Dār al-ʿUlūm, Deoband telah telah menggunakan dana ini dengan sebaik yang mungkin iaitu mereka telah membelanjakan untuk kegunaan kelengkapan para pelajar, bayaran gaji guru, bayaran gaji para pekerjanya. Walau bagaimanapun, dana tersebut tidak habis digunakan sehingga perhujung tahun 1867M, dana masih lagi berbaki 255 rupee. Hal ini adalah kerana perbelajaan Dār al-ʿUlūm,Deoband pada ketika itu adalah kecil, iaitu hanya seorang guru, dan dua orang pekerja awam. Namun begitu, selepas, berlaku penambahan pelajar, maka perbelajaan Dār al-ʿUlūm, Deoband telah meningkat hasil daripada penambahan bilangan pelajar, guru dan pekerja tetapi perbelanjaan pengurusan institusi ini tidak melebihi 700 rupee setahun.
Pada tahun 1873M, telah diadakan satu majlis ihtifal buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan Dār al-ʿUlūm, Deoband ini. Seramai 9 orang pelajar telah berjaya menamatkan pengajian mereka, di antaranya ialah Maulānā Ahmad Hasan al-Amruhī rah, Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfūrī rah, Maulānā Fakhrul Hasan al-Ganguhī rah, Maulānā ʿAbd Allāh Ansarī al-Ambathewī rah, Maulānā Fateh Muhammad al-Thānwī rah,Maulānā Fadhil al-Futhī rah, Maulānā Ahmad Hasan al-Deobandī rah, Qārī Jamal al-Dīn rah dan Maulānā ʿAbd Allāh al-Jalalabadī rah. Masyallāh, kesemua nama-nama di atas ini telah membesar menjadi ʿulamā hebat dan terkenal dalam bidang masing-masing. [1]

Nota Kaki 

[1]. Sayyid Mahbood al-Rizvī, Tarikh Dar al-Ulum Deoband, Idara-E Ihtemam, Dār al-‘Ulūm, Deoband, U.P, India, 1980, jilid 1, hlm 121-127

Tuesday, August 1, 2017

Kekhilafan Itu Fitrah, Menguruskannya Itu Sunnah

1. Sebenarnya saya malas hendak menulis di ruang ini kerana ingin menjaga nama baik dan reputasi Jemaah Tablīgh (JT), tapi disebabkan ada sebahagian pihak yang telah menceritakan perkara-perkara yang tidak benar mengenai polemik ini, maka saya gagahkan diri juga untuk menulis tentang perkara ini.
2. Jelas, khilaf ini khilaf berkaitan "imarat" sahaja bukan sahsiah peribadi. Mereka bukan menafikan kredibiliti Maulānā Sa'ād sebagai 'Amir kerana isu fatāwā yang dikenakan terhadap beliau tetapi mereka merasakan JT ini perlu kepada jemaah Syura untuk keberkesanan perlaksanaan gerak kerja JT diseluruh dunia.
3. Tapi sayangnya ada juga sebahagian karkun yang mempermainkan isu kredibiliti dengan mempersoalkan ruju' dan taubat Maulānā Sa'ād. Seolah-olah mereka tidak boleh menerima ruju' dan taubat Maulānā Sa'ād. Pelik bin ajaib, karkun kita sudah pandai mengambil alih tugas Allāh ta'ala untuk menerima atau menolak ruju' dan taubat seseorang.
4. Bahkan ada yang mengatakan, jika benar Maulānā Sa'ād telah ruju' dan bertaubat, maka keluarkanlah satu surat rasmi tentang ruju' dan taubat beliau itu? Persoalannya sejak bila syarat ruju' dan taubat kena ada surat rasmi ini?
5. Pihak Ifta Deoband menyuruh Maulānā Sa'ād mengisytiharkan ruju' dan taubat di hadapan majma' sebagai syarat utama ruju' dan taubat dan Maulānā Sa'ād telah berbuat sedemikian (ada bukti audio pada Maulānā Hazim al-Mazahīrī tentang perkara ini), lagi pula sebagai orang Islām dan yang telah berkecimpung dalam usaha JT, sepatutnya kita katakan, jika sudah ruju' dan bertaubat, maka telah selesai semuanya alhamdulillah, terima atau tidak ruju' dan taubat itu terserah kepada Allāh. Kenapa masih ada sebahagian orang menyebarkan lagi isu tentang fatāwā Deoband itu. Orang yang telah bertaubat, sepatutnya kita doakan kebaikannya bukan dijaja akan keburukannya.
6. Kita sepatutnya berlapang dada, fulan bin fulan hendak mengikuti jemaah A silakan, jika fulan bin fulan hendak mengikuti jemaah B, ala kulli hal, silakan. Kenapa perlu dilakukan pembunuhan karakter "musuh kita" untuk mengikat pendokong masing-masing? Pendokong Nizamuddin mengatakan pendokong gagasan syura alami sebagai "tidak taat" manakala pendokong gagasan syura alami mengatakan pendokong Nizamuddin sebagai "gila kuasa". Bahkan ada juga yang tidak bertegur sapa kerana berbeza dokongan. Wallāhi, perbuatan ini ialah dosa dan diancam azab oleh Allāh ta'ala. Banyak ayat-ayat al-Qur'ān dan ahadīth Nabi صلى الله عليه وسلم yang menceritakan tentang perkara ini. Takutilah Allāh dalam urusan berkaitan saudaramu.
7. Ingatlah bahawasanya mereka yang "selamat" ialah mereka yang menjaga lisan dan perbuatan mereka dari menyakiti hati saudaranya. Akhir sekali, marilah kita semua berdoa supaya Allāh ta'ala menyatukan kembali Para masyaikh kita dengan cara apa yang diinginkan oleh Allāh ta'ala sekalipun. Ya Allāh, terimalah doa kami ini, آمــــــين يا رب العالمينِ

P/s : Catatan ini ditulis ketika saya berkesempatan menghadiri majlis bersama Maulānā Fahem Raiwind di Bukit Changgang, Dengkil.

Maulānā Āqil al-Saharānfurī Dilantik Menjadi Syaikh al-Hadith

Alhamdulillāh mendapat khabar bahawa Maulānā Āqil al-Saharānfurī telah dilantik menjadi Syaikh al-Hadīth (guru yang mengajar Sahīh al-Bukhārī) di Madrasah Mazahīr al-'Ulūm bagi menggantikan Maulānā Yunus al-Junfurī rah telah meninggal dunia pada minggu lepas.

Maulānā Āqil yang juga merupakan menantu, pelajar dan khalifah kepada Maulānā Zakarīyya rah sebelum ini merupakan Ustaz yang mengajar Sunan Abī Da'ūd dan Sahīh Muslim selama berpuluh-puluh tahun di madrasah yang sama.

Antara karya-karya Maulānā Āqil dalam 'ilmu hadīth ialah:

1. al-Dūrr al-Mandūd 'ala Sunan Abī Da'ūd. Kitab ini merupakan hasil pengajaran Maulānā Āqil dalam kelas Sunan Abī Da'ūd yang telah direkod dan dicatatkan oleh para pelajarnya kemudian Maulānā Āqil menyelia dan menerbitkannya.
2. Al-Faid al-Sama'ī 'ala Sunan al-Nasa'ī. Kitab ini merupakan koleksi himpunan pengajaran dan kajian oleh Syaikh al-Masyaikh Maulānā Rashīd al-Gangohī rah terhadap Sunan Nasa'ī. Kemudian ianya diteliti dan diperhalusi oleh Maulānā Yahya al-Kandhālawī rah. Seterusnya Maulānā Āqil bertindak menyelia dan menerbitkannya.

Saya juga melihat sendiri di atas meja Maulānā Hazim al-Mazahīrī beberapa kitab 'Ulūm al-Hadīth yang dikarang oleh Maulānā Āqil yang masih lagi dalam bentuk manuskrip tulisan tangan beliau.

Dengan perlantikan ini, serta kelayakan dan kewibawaan beliau, Insyallāh akan dapat meneruskan lagi legasi kecemerlangan peninggalan milik Maulānā Khalīl al-Saharānfurī rah , Maulānā Zakarīyyā rah dan Maulānā Yunus al-Junfurī rah di Madrasah Mazahīr al-'Ulūm, Saharānfur, UP, India.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini