Ikuti Blog Ini

Friday, November 10, 2017

Maulānā Rahmatullāh al-Kairānawī dan Debatnya Bersama Paderi Besar Kristian

Apabila British berjaya menakluki Benua Kecil India, mereka masih menghadapi tentangan daripada masyarakat tempatan dek kerana kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan oleh pemerintah British. Umat Islām juga tidak terkecuali daripada melakukan penentangan ini kerana penjajahan British di Benua Kecil India bukan sahaja menzalimi masyarakat tempatan dengan bertindak menguasai politik dan ekonomi tetapi matlamat mereka juga ialah menyebarkan ajaran Kristian di seluruh Benua Kecil India.

British telah mendatangkan paderi-paderi yang telah dilatih khas dalam misi ini yang diketuai oleh seorang paderi hebat bernama Karl Gottlieb Pfander yang dikenali sebagai seorang pakar dalam memurtadkan umat Islām. Beliau merupakan ahli kepada satu pertubuhan Basel Mission iaitu satu pertubuhan pendakyah Kristian dunia. Pertubuhan inilah yang bertanggungjawab membantu misi kemurtadan umat Islām di seluruh dunia dan tidak terkecuali berada dalam sasaran mereka ialah Umat Islām di Benua Kecil India. Pfander juga telah mengarang sebuah buku bertajuk Mizan al-Haq iaitu sebuah buku yang sarat dengan propaganda terhadap Islām.

Paderi-paderi ini telah dilatih untuk menguasai bahasa Urdu,ʿArab dan Parsi. British juga telah memberikan dana supaya projek terjemahan Bible dilakukan dalam 3 bahasa utama pertuturan masyarakat Islām di Benua Kecil India kerana mereka beranggapan adalah lebih mudah untuk usaha memurtadkan Umat Islām dapat dilakukan. Orang Islām yang miskin telah menjadi sasaran paderi-paderi ini, mereka telah mendatangi golongan miskin ini dengan menawarkan bantuan kewangan dengan syarat mesti menjadi seorang Kristian. Usaha-usaha paderi ini telah berjaya, sedikit sebanyak ada dalam kalangan Umat Islām yang telah terumpan dengan tawaran paderi-paderi ini. Ada juga Umat Islām yang telah ditawarkan bekerja dengan British dan dijanjikan jawatan tinggi dalam kerajaan British sekiranya mereka menjadi seorang Kristian.

Masyarakat Islām telah melihat situasi ini dengan perasan sedih dan marah, sudahlah kedatangan British telah merampas kekuasaan politik mereka, sekarang British telah mencampuri urusan keagamaan mereka. Perbuatan British ini telah menaikan kemarahan Umat Islām. ʿUlamā-ʿulamā Islām telah berkumpul dan berbincang bagaimanakah cara untuk mengatasi ancaman ini. Maka hasil daripada perbincangan itu telah menatijahkan kepada dua usaha penentangan. Satu golongan telah bangun dan meniupkan semangat jīhād dalam kalangan Umāt Islām manakala satu golongan lagi telah memilih pendekatan diplomasi iaitu dengan cara melawan dakyah dan doktrin paderi-paderi Kristian dengan hujah-hujah ʿilmiah.

Antara yang memilih pendekatan diplomasi ini ialah seorang ʿulamā yang hebat iaitu Maulānā Rahmatullāh al-Kairānawī rah yang berasal dari perkampungan Kairāna, dalam daerah Muzaffarnagar,UP, India. Beliau juga telah dibantu oleh seorang pemuda bernama Muhammad Wazīr Khān rah. Muhammad Wazīr Khān rah merupakan seorang pemuda yang mendapat pendidikan di London dalam bidang perubatan. Ketika berada di London, beliau telah berpeluang untuk untuk memasuki kelas pengajian Bible dan Taurat yang telah diajar oleh beberapa tokoh orientalis terkenal Barat.

Satu hari, mereka berdua (Maulānā Rahmatullāh rah dan Muhammad Wazīr rah) telah mendapat berita bahawa paderi-paderi Kristian telah mula menjalankan aktiviti penyebaran ajaran Kristian dalam kalangan masyarakat Islām di Agra, UP yang diketuai sendiri oleh Karl Gottlieb Pfander. Pfander telah membuat cabaran di hadapan khalayak umum di Agra supaya diadakan satu perdebatan mengenai perbandingan ajaran Krisitian dan Islām. Beliau telah mencabar ʿulamā-ʿulamā Islām untuk berdebatnya. Tujuannya hanya satu, jika kemenangan hujah diperolehinya, maka dengan mudah beliau untuk memurtadkan Umat Islām yang menyaksikan perdebatan tersebut. Maulānā Rahmatullāh rah telah mengambil tanggungjawab untuk berdebat dengan beliau sambil dibantu oleh Muhammad Wazīr rah manakala Pfander pula telah dibantu oleh seorang paderi yang diutuskan oleh British ke kawasan Asia Tengah bernama Thomas Valpy French.

Buku “The Mohammedan Controversy” ini telah dikarang oleh seorang orientalis Barat terkenal iaitu Sir William Muir. Dalam buku ini beliau telah memasukan peristiwa perdebatan antara Maulānā Rahmatullāh dan Pfander kerana beliau sendiri telah hadir menyaksikan perdebatan tersebut.

Perdebatan telah berlangsung pada 10 dan 11 April tahun 1854M di dewan Gereja di Agra dan dengan disaksikan oleh ramai orang. Turut menyaksikan perdebatan ini ialah pegawai-pegawai tertinggi British di Benua Kecil India yang beranggapan bahawa Pfander akan memenangi hujah ke atas Maulānā Rahmatullāh rah. Ketika berlangsungnya perdebatan dengan masing-masing telah menghujahi antara satu sama yang lain. Akhirnya perdebatan ini telah mendapat kemenangan di pihak Umat Islām di mana Maulānā Rahmatullāh rah telah berjaya mematahkan segala hujah-hujah yang telah dikemukakan oleh Pfander. Pfander telah mendapat malu dan sebaik sahaja selesai perdebatan, beliau telah membuat persiapan untuk melarikan diri.

Dengan kemenangan ini, Maulānā Rahmatullāh rah telah berjaya menyelamatkan Umat Islām dari pintu kemurtadan. Rahsia kemenangan Maulānā Rahmatullāh rah ini ialah kerana usaha yang gigih iaitu beliau sendiri telah melakukan kajian terhadap kitab-kitab Bible. Jumlah kitab Bible yang dirujuk oleh beliau ialah sebanyak 32 jilid besar iaitu 18 jilid dalam Bahasa ʿArab, 8 jilid dalam Bahasa Parsi dan 6 jilid dalam Bahasa Urdu. Kajian beliau ini telah mengagumkan penganut Kristian sendiri kerana versi-versi kitab Bible yang diguna dan dirujuk oleh Maulānā Rahmatullāh rah telah digunakan oleh mereka sendiri.

Maulānā Rahmatullāh rah telah menyaksikan kemuncakan kezaliman yang telah dilakukan oleh penjajah British terhadap sesiapa yang menentang mereka. Antara yang menjadi sasaran British ialah para ʿulamā dan para pemimpin Umat Islām. Maulānā Rahmatullāh rah telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kota Mekkah melalui pelabuhan di Mumbai, seterusnya mendarat di Mukhā,Yaman dan dari Mukhā, Yaman, beliau berjalan kaki ke Kota Mekkah. Perjalanan beliau ini mengambil masa dua tahun.

Ketika berada di Kota Mekkah, beliau telah dilantik oleh sebagai pengajar di Masjid al-Haram oleh Syaikh Ahmad Zaini al-Dahlān rah yang juga merupakan seorang ʿulamā yang begitu disegani di Kota Mekkah. Kecintaan dan kerinduan Maulānā Rahmatullāh rah terhadap tanah airnya begitu mendalam, jika bukan kerana kezaliman British, beliau tidak akan meninggalkan tanah airnya. Kecintaan dan kerinduan beliau sedikit terubat apabila berjumpa dengan kumpulan minoriti Umat Islām dari Benua Kecil India di Kota Mekkah. Beliau telah mengumpulkan kumpulan minoriti ini dan mencadangkan untuk diasaskan sebuah pusat pengajian agama khusus untuk mereka. Pusat pengajian ini telah diasaskan pada tahun 1874M berkat hasil cetusan idea oleh Maulānā Rahmatullāh rah dan beberapa sumbangan kecil oleh kumpulan minoriti tersebut.

Madrasah Saulātīyah, di Kota Mekkah

Penyumbang terbesar kepada pusat pengajian ini ialah seorang wanita yang berasal dari Calcutta bernama Saulā al-Nisaʿ. Pusat pengajian ini kemudian telah dinamakan dengan nama wanita ini demi mengenangkan jasa dan sumbangan beliau ketika diawal pengasasanya. Alhamdulillāh, pusat pengajian Saulā al-Nisaʿ atau lebih dikenali sebagai Madrasah al-Saulātīyah kekal berdiri walaupun tempatnya sering berpindah ekoran menerima tempias projek pembesaran Masjid al-Haram. Institusi pengajian ini telah berjaya melahirkan ʿalim ʿulamā dari seluruh dunia dan telah berjasa besar kepada sistem pengajian Islām. Antara alumni madrasah ini ialah al-Muhaddīth Syaikh Hasan al-Masyath rah, Musnid al-Dunya Syaikh Muhammad Yasin al-Fadanī rah dan ramai lagi. Semoga Allāh merahmati Maulānā Rahmatullāh rah atas jasa dan sumbangan beliau terhadap Umat Islām.

Nota Kaki

[1]. Ms.Neelam Rani, Muslim Attitudes Towards British Raj (1820-1920 A.D) : A Study Of Long-Term Trends In Muslim Politics, Maharshi Dayanand University Publishing, Rohtak, Haryana, 2014, hlm 76-78
[2]. Muhammad Ahmad Muhammad Abd al-Qadir Khalil Malkawi, Izhar al-Haq, Dar al-Hadis, Mesir, jilid 1-4, hlm 31-48
[3]. Ann Avril Powell, Maulana Rahmat Allah Kairanawi and Muslim-Christian Controversy in India in the Mid-19th Century, Journal of the Royal Asiatic Society of Great Britain & Ireland, 1976, hlm 42-63

Monday, October 16, 2017

Wilayah Sind dan Islām

Wilayah Sind antara wilayah terawal yang menerima kedatangan Islām
Menurut beberapa ahli sejarawan, wilayah Sind di Benua Kecil India telah menerima rombongan dari Para Sahabat r.humBahkan menurut tokoh sejarawan terkenal Pākistān Maulānā Ishaq Bhattī رحمه الله , paling kurang 25 Orang Para sahabat r.hum yang telah sampai ke Wilayah Sind dan beberapa Wilayah lain. Mereka lah yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan agama Islām kepada penduduk tempatan.

Rujukan 
Ishaq Bhattī, Fuqahā-yi Hind, cetakan Idārah-yi Saqāfat-i Islāmiyah, 1974, jilid 1, hlm 11

Monday, October 9, 2017

Maulānā Nurul Hasan Rashīd dan Koleksi Manuskrip Nadirnya

Maulānā Nurul Hasan Rashīd al-Kāndhalāwī pemilik manuskrip yang nadir di India

Maulānā Nurul Hasan Rashīd al-Kāndhalawī antara 'ulama yang sangat jarang didengari akan ceritanya. Beliau merupakan anak lelaki kepada 'ulama kelahiran perkampungan Kāndhala terkenal iaitu Maulānā Iftikarul Hasan al-Kāndhalawī. [1]

Berguru di Mazahīr al-'Ulūm, Sahāranfūr dan berpeluang berdamping dengan ramai para 'ulamā termasuklah bapa saudaranya iaitu Syaikh al-Hadīth Maulānā Zakariyyā al-Kāndhalawī rah , Maulānā 'Abd Qadīr Raifurī rah, al-Muhaddīth al-'Asr Maulānā Yunus al-Jaunfurī rah, Maulānā Yusuf al-Kāndhalawī rah, bapa beliau sendiri Maulānā Iftikarul Hasan dan beberapa 'ulamā lagi.

Aktif mengajar dan menulis kitab, beliau telah menghasilkan 100 kitab sama ada dalam bahasa Urdu dan arab antaranya: 

1. Ahwal 'ulamā Hanafīah 
2. Ahwal riwayat Sahīh al-Bukhārī dan lain-lain lagi.
3. Biografi Maulānā Mamlūk 'Alī al-Nānautwī

Telah berbai'ah tarīqat sufi dan dilantik menjadi khalifah ditangan bapa beliau sendiri. Maulānā Sa'ad al-Kāndhalawī dari Markaz Tablīgh Nizamuddīn juga merupakan salah seorang dari khalifah bapa beliau.

Beliau mempunyai maktabah peribadi yang memuatkan hampir 70 ribu buah buku, 11 ribu manuskrip yang kebanyakannya sangat nadir. Antaranya Fath al-Barī tulisan tangan milik al-Imām Ibnu Hajar rah sendiri, manuskrip khazanah milik keluarga Musnid al-Hind Imām Shāh Walī Allāh al-Dehlawī rah, pengasas Dār al-'Ulūm Deoband Maulānā Qasīm al-Nānautwī rah dan lain-lain lagi.

Hadyu al-Sarī muqadimah kepada Fath al-Barī tulisan tangan Imām Ibnu Hajar rah sendiri.

Sunan al-Tirmidhī yang telah ditashīhkan oleh Maulānā Fadhl Rahmān Ganj al-Murādabādī.

Koleksi manuskrip milik beliau ini telah mendapat perhatian dari daripada pakar manuskrip terkenal Syaikh Dr Nizam al-Ya'qubī yang telah datang sendiri untuk berjumpa dengan Maulānā Nurul Hasan Rashīd di kampungnya di Kāndhala bagi mendapatkan manuskrip-manuskrip yang menjadi sumber kajian beliau.

Tuesday, August 15, 2017

Antara Guru kepada Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfūrī rah

Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfūrī rah merupakan seorang ulamā hadīth hebat yang juga faqih dalam mazhab Hanafī kelahiran benua kecil India. Semangat dan kecekalan beliau dalam menuntut ‘ilmu tidak dapat disangkal lagi. Rehlah ‘ilmu beliau bermula sejak dari usia 5 tahun lagi apabila beliau mendaftarkan diri untuk memasuki pengajian al-Qur‘ān bersama Maulānā Mamlūk ‘Alī al-Nānautwī rah. Seterusnya, rehlah ‘ilmu beliau mulai bertapak di institusi pengajian terkenal di benua kecil India iaitu Dār al-‘Ulūm, Deoband dan Mazahīr al-‘Ulūm, Sahāranfūr dan di sanalah, beliau telah berjumpa dengan Maulānā Ya‘qūb al-Nānautwī rah dan Maulānā Mazhār ‘Alī al-Nānautwī rah dan telah berguru dengan beliau.

Maulānā Khalīl rah telah beberapa kali menziarahi Haramain dan bertemu dengan beberapa orang tokoh ulamā hebat yang mempunyai halaqah pengajian di sekitar masjid al-Haram dan Masjid Nabi. Antara yang diziarahi oleh Maulānā al-Sahāranfūrī rah juga ialah Hājī Imdād Allāh rah seorang tokoh sufi terkenal di benua kecil India yang juga merupakan Syaikh kepada guru beliau iaitu Maulānā al-Gangohī rah. Hājī Imdād Allāh rah telah menetap di Mekkah setelah menjadi buruan kerajaan Inggeris di negaranya setelah beliau mengetuai penentangan terhadap kezaliman kerajaan Inggeris. Beliau menziarahi Hājī Imdād Allāh rah kerana berpegang dengan pesanan guru beliau iaitu Maulānā al-Gangohī rah supaya apabila berada di Mekkah, segeralah menziarahi Hājī Imdād Allāh rah, peluang berada di Mekkah ini telah digunakan oleh Maulānā al-Sahāranfūrī untuk menziarahi beliau. 

Setelah menziarahi Hājī Imdād Allāh rah. Maulānā al-Sahāranfūrī rah juga mengambil kesempatan untuk menziarahi para ‘ulamā yang menetap di Mekkah seperti Muftī Mazhab al-Shafi’ī di Mekkah iaitu Syaikh al-Islām Syaikh Sayyid Ahmad Zainī al-Dahlan rah, Syaikh al-Islām Maulānā Rahmat Allāh al-Kairānawī rah dan beberapa ‘ulamā lain lagi di Mekkah. Apabila beliau mengunjungi kota Madīnah, Maulānā al-Sahāranfūrī rah telah menziarahi Syaikh al-Masyaikh Maulānā Shāh ‘Abd Ghanī al-Mujaddidī rah yang merupakan bukan sahaja guru kepada guru beliau bahkan guru kepada hampir kebanyakan para ‘ulamā yang berkhidmat di Dār al-‘Ulūm, Deoband dan Mazahīr al-‘Ulūm, Sahāranfūr. Maulānā Shāh ‘Abd Ghanī al-Mujaddidī rah telah menetap di Madīnah setelah berhijrah dari Benua Kecil India. Maulānā al-Sahāranfūrī rah juga turut menziarahi sejumlah besar ‘ulamā lain sepanjang keberadaan beliau di kota Madīnah.



Apabila menyebut nama tokoh-tokoh besar yang terkenal di kota Mekkah seperti Muftī Mazhab Shafi'ī di Mekkah iaitu Syaikh Sayyid Ahmad al-Barzanjī rah dan Syaikh Ahmad Zaini Dahlan rah yang dinyatakan juga sebagai guru kepada Maulānā al-Sahāranfūrī rah. Terus terbayang di benak saya kisah bagaimana usaha Maulānā Reda Khan al-Brelwī rah untuk membawa segala kenyataan para ‘ulamā Deoband yang telah pun pada awalnya diubah oleh beliau (kenyataan ini berbahasa Urdu) kepada para ‘ulamā di Mekkah dan Madīnah untuk mendapat tanda tangan daripada para ulamā di sana bagi tujuan mengisytiharkan kesesatan yang telah dilakukan oleh para ‘ulamā Deoband.

Tidak terkecuali daripada ditemui oleh Maulānā Reda Khan rah ialah Syaikh Sayyid Ahmad al-Barzanjī rah, namun usaha Maulānā Reda Khan rah telah menemui kegagalan apabila Muftī Mazhab al-Shafi‘ī itu tidak menurunkan tandatangan perisytiharan kesesatan tersebut sebaliknya beliau bertindak menyiasat kesahīhan kandungan risalah tersebut. Maulānā al-Sahāranfūrī rah dan saudaranya segurunya yang telah menetap di kota Madīnah iaitu Syaikh al-Islām Maulānā Sayyid Husain Ahmad al-Madanī rah telah menemui para ‘ulamā di sekitar Masjid al-Haram dan Masjid Nabi untuk memberikan penerangan dan penjelasan terhadap fitnah dan tuduhan yang telah ditimbulkan oleh Maulānā Reda Khan rah. Akhirnya Allāh ta'ala mengagalkan usaha jahat ini melalui dua permata Deoband pada ketika itu iaitu Mauānā al-Sahāranfūrī rah dan Maulānā al-Madanī rah. Setelah mendengar penjelasan daripada dua orang permata Deoband ini, maka para ‘ulamā yang berada di sekitar Masjid al-Haram dan Masjid Nabi telah mengesahkan bahawasanya para ‘ulamā Deoband masih berpegang kepada kefahaman akidah ASWJ.

Rujukan
Muhammad Tsanī al-Nadwī al-Mazaharī, Al-syaikh Muhammad Khalīl Ahmad Ansarī al-Sahāranfūrī, terbitan Maktabah Nadwa al-Ulamā, Lucknow, India, (1976), hlm 40-41.

Wednesday, August 9, 2017

Pelajar-Pelajar awal di Dār al-ʿUlūm, Deoband

Sebelum ini kita telah mengetahui bagaimana institusi pengajian Dār al-ʿUlūm, Deoband diasaskan iaitu bermula dengan seorang guru dan seorang pelajar di mana pengajian awal hanya bermula di bawah sebatang pokok Delima. Institusi pengajian terulung di Benua Kecil India ini lama kelamaan telah berkembang dan berjaya menarik perhatian daripada ramai masyarakat Islām. Antara pelajar awal yang telah mendaftar masuk untuk mengikuti pengajian di Dār al-ʿUlūm,Deoband ini selain datang dari sekitar pekan Sahāranfūr sendiri, ianya juga datang dari kampung di sekitar Varanasi (masih lagi dalam negeri UP tetapi berjarak 926 KM dari Deoband). Ada juga pelajar yang mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian di institusi ini datang dari negeri Punjab (304KM dari Deoband). Ada beberapa pelajar yang paling jauh telah berjaya mendaftarkan diri untuk mengikut pengajian di Dār al-ʿUlūm, Deoband di mana pelajar ini datang dari Afghanistan. Pada bulan Julai 1866M (Dār al-ʿUlūm, Deoband telah diasaskan pada 31 Mei 1866M), jumlah pelajar di Dār al-ʿUlūm telah berjaya direkodkan sebanyak 21orang manakala pada penghujung April 1867, jumlah pelajar direkodkan sebanyak 78 orang. Daripada jumlah itu, seramai 58 orang adalah terdiri daripada pelajar yang datang dari luar Sahāranfūr.
Gambar sekitar Dār al-‘Ulūm, Deoband pada tahun 1950
Dār al-ʿUlūm, Deoband juga telah menjalankan satu polisi di mana tiada sebarang yuran dikenakan terhadap para pelajar ini. Para pelajar ini juga diberikan tempat tinggal dan makanan. Ada juga para pelajar telah diberikan makanan oleh masyarakat Islām di sekitar Dār al-ʿUlūm, Deoband. Segala kelengkapan para pelajar ditanggung oleh Dār al-ʿUlūm, Deoband sendiri hasil dana sumbangan dari masyarakat Islām tempatan. Dana-dana hasil sumbangan masyarakat Islām tempatan ini telah berjaya dikumpul dan pada setiap tahun telah diaudit untuk memastikan ketelusan pengurusan dana tersebut. Pada tahun 1867M iaitu tahun pertama selepas penubuhan Dār al-ʿUlūm, Deoband, dana hasil sumbangan masyarakat Islām tempatan telah berjaya dikumpulkan sebanyak 649 rupee. Para pentadbir Dār al-ʿUlūm, Deoband telah telah menggunakan dana ini dengan sebaik yang mungkin iaitu mereka telah membelanjakan untuk kegunaan kelengkapan para pelajar, bayaran gaji guru, bayaran gaji para pekerjanya. Walau bagaimanapun, dana tersebut tidak habis digunakan sehingga perhujung tahun 1867M, dana masih lagi berbaki 255 rupee. Hal ini adalah kerana perbelajaan Dār al-ʿUlūm,Deoband pada ketika itu adalah kecil, iaitu hanya seorang guru, dan dua orang pekerja awam. Namun begitu, selepas, berlaku penambahan pelajar, maka perbelajaan Dār al-ʿUlūm, Deoband telah meningkat hasil daripada penambahan bilangan pelajar, guru dan pekerja tetapi perbelanjaan pengurusan institusi ini tidak melebihi 700 rupee setahun.
Pada tahun 1873M, telah diadakan satu majlis ihtifal buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan Dār al-ʿUlūm, Deoband ini. Seramai 9 orang pelajar telah berjaya menamatkan pengajian mereka, di antaranya ialah Maulānā Ahmad Hasan al-Amruhī rah, Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfūrī rah, Maulānā Fakhrul Hasan al-Ganguhī rah, Maulānā ʿAbd Allāh Ansarī al-Ambathewī rah, Maulānā Fateh Muhammad al-Thānwī rah,Maulānā Fadhil al-Futhī rah, Maulānā Ahmad Hasan al-Deobandī rah, Qārī Jamal al-Dīn rah dan Maulānā ʿAbd Allāh al-Jalalabadī rah. Masyallāh, kesemua nama-nama di atas ini telah membesar menjadi ʿulamā hebat dan terkenal dalam bidang masing-masing. [1]

Nota Kaki 

[1]. Sayyid Mahbood al-Rizvī, Tarikh Dar al-Ulum Deoband, Idara-E Ihtemam, Dār al-‘Ulūm, Deoband, U.P, India, 1980, jilid 1, hlm 121-127

Tuesday, August 1, 2017

Kekhilafan Itu Fitrah, Menguruskannya Itu Sunnah

1. Sebenarnya saya malas hendak menulis di ruang ini kerana ingin menjaga nama baik dan reputasi Jemaah Tablīgh (JT), tapi disebabkan ada sebahagian pihak yang telah menceritakan perkara-perkara yang tidak benar mengenai polemik ini, maka saya gagahkan diri juga untuk menulis tentang perkara ini.
2. Jelas, khilaf ini khilaf berkaitan "imarat" sahaja bukan sahsiah peribadi. Mereka bukan menafikan kredibiliti Maulānā Sa'ād sebagai 'Amir kerana isu fatāwā yang dikenakan terhadap beliau tetapi mereka merasakan JT ini perlu kepada jemaah Syura untuk keberkesanan perlaksanaan gerak kerja JT diseluruh dunia.
3. Tapi sayangnya ada juga sebahagian karkun yang mempermainkan isu kredibiliti dengan mempersoalkan ruju' dan taubat Maulānā Sa'ād. Seolah-olah mereka tidak boleh menerima ruju' dan taubat Maulānā Sa'ād. Pelik bin ajaib, karkun kita sudah pandai mengambil alih tugas Allāh ta'ala untuk menerima atau menolak ruju' dan taubat seseorang.
4. Bahkan ada yang mengatakan, jika benar Maulānā Sa'ād telah ruju' dan bertaubat, maka keluarkanlah satu surat rasmi tentang ruju' dan taubat beliau itu? Persoalannya sejak bila syarat ruju' dan taubat kena ada surat rasmi ini?
5. Pihak Ifta Deoband menyuruh Maulānā Sa'ād mengisytiharkan ruju' dan taubat di hadapan majma' sebagai syarat utama ruju' dan taubat dan Maulānā Sa'ād telah berbuat sedemikian (ada bukti audio pada Maulānā Hazim al-Mazahīrī tentang perkara ini), lagi pula sebagai orang Islām dan yang telah berkecimpung dalam usaha JT, sepatutnya kita katakan, jika sudah ruju' dan bertaubat, maka telah selesai semuanya alhamdulillah, terima atau tidak ruju' dan taubat itu terserah kepada Allāh. Kenapa masih ada sebahagian orang menyebarkan lagi isu tentang fatāwā Deoband itu. Orang yang telah bertaubat, sepatutnya kita doakan kebaikannya bukan dijaja akan keburukannya.
6. Kita sepatutnya berlapang dada, fulan bin fulan hendak mengikuti jemaah A silakan, jika fulan bin fulan hendak mengikuti jemaah B, ala kulli hal, silakan. Kenapa perlu dilakukan pembunuhan karakter "musuh kita" untuk mengikat pendokong masing-masing? Pendokong Nizamuddin mengatakan pendokong gagasan syura alami sebagai "tidak taat" manakala pendokong gagasan syura alami mengatakan pendokong Nizamuddin sebagai "gila kuasa". Bahkan ada juga yang tidak bertegur sapa kerana berbeza dokongan. Wallāhi, perbuatan ini ialah dosa dan diancam azab oleh Allāh ta'ala. Banyak ayat-ayat al-Qur'ān dan ahadīth Nabi صلى الله عليه وسلم yang menceritakan tentang perkara ini. Takutilah Allāh dalam urusan berkaitan saudaramu.
7. Ingatlah bahawasanya mereka yang "selamat" ialah mereka yang menjaga lisan dan perbuatan mereka dari menyakiti hati saudaranya. Akhir sekali, marilah kita semua berdoa supaya Allāh ta'ala menyatukan kembali Para masyaikh kita dengan cara apa yang diinginkan oleh Allāh ta'ala sekalipun. Ya Allāh, terimalah doa kami ini, آمــــــين يا رب العالمينِ

P/s : Catatan ini ditulis ketika saya berkesempatan menghadiri majlis bersama Maulānā Fahem Raiwind di Bukit Changgang, Dengkil.

Maulānā Āqil al-Saharānfurī Dilantik Menjadi Syaikh al-Hadith

Alhamdulillāh mendapat khabar bahawa Maulānā Āqil al-Saharānfurī telah dilantik menjadi Syaikh al-Hadīth (guru yang mengajar Sahīh al-Bukhārī) di Madrasah Mazahīr al-'Ulūm bagi menggantikan Maulānā Yunus al-Junfurī rah telah meninggal dunia pada minggu lepas.

Maulānā Āqil yang juga merupakan menantu, pelajar dan khalifah kepada Maulānā Zakarīyya rah sebelum ini merupakan Ustaz yang mengajar Sunan Abī Da'ūd dan Sahīh Muslim selama berpuluh-puluh tahun di madrasah yang sama.

Antara karya-karya Maulānā Āqil dalam 'ilmu hadīth ialah:

1. al-Dūrr al-Mandūd 'ala Sunan Abī Da'ūd. Kitab ini merupakan hasil pengajaran Maulānā Āqil dalam kelas Sunan Abī Da'ūd yang telah direkod dan dicatatkan oleh para pelajarnya kemudian Maulānā Āqil menyelia dan menerbitkannya.
2. Al-Faid al-Sama'ī 'ala Sunan al-Nasa'ī. Kitab ini merupakan koleksi himpunan pengajaran dan kajian oleh Syaikh al-Masyaikh Maulānā Rashīd al-Gangohī rah terhadap Sunan Nasa'ī. Kemudian ianya diteliti dan diperhalusi oleh Maulānā Yahya al-Kandhālawī rah. Seterusnya Maulānā Āqil bertindak menyelia dan menerbitkannya.

Saya juga melihat sendiri di atas meja Maulānā Hazim al-Mazahīrī beberapa kitab 'Ulūm al-Hadīth yang dikarang oleh Maulānā Āqil yang masih lagi dalam bentuk manuskrip tulisan tangan beliau.

Dengan perlantikan ini, serta kelayakan dan kewibawaan beliau, Insyallāh akan dapat meneruskan lagi legasi kecemerlangan peninggalan milik Maulānā Khalīl al-Saharānfurī rah , Maulānā Zakarīyyā rah dan Maulānā Yunus al-Junfurī rah di Madrasah Mazahīr al-'Ulūm, Saharānfur, UP, India.

Thursday, July 20, 2017

Ucapan Takziah Para ‘Ulamā Seluruh Dunia Kepada Maulānā Yunus al-Junfurī

Ramai para 'ulama dan para masyaikh merasai kesedihan di atas pemergian Maulānā Yunus al-Junfurī rah dan mereka menulis ucapan takziah di laman-laman sosial mereka. Antara mereka ialah Syaikh Dr 'Alī al-Jumu'āh, Syaikh Farid al-Bajī, Syaikh Syarif Hatim al-'Aunī, Syaikh Dr Mahmud Sa'īd Mamduh dan yang lain-lain lagi. Insyallāh, di sini saya kongsikan sedikit "screenshot" ucapan-ucapan mereka.


Ucapan takziah daripada Bekas Muftī Besar Mesir Syaikh Dr 'Alī al-Jumu'āh

Ucapan takziah dari ‘Ulamā Hadīth Tunisia Syaikh Farid al-Bajī, bahkan beliau juga merupakan murid khas kepada Maulānā yunus al-Junfurī rah

Ucapan takziah daripada Syaikh Dr Mahir Yasin al-Fahl

Ucapan daripada ‘ulama Arab Saudī yang terkenal dengan kemoderatannya iaitu Syaikh Syarif Hatim Al-‘Aunī

Ucapan daripada ulama kelahiran institusi pengajian Nadwa’ al-‘Ulamā, Luknow, India iaitu Syaikh Maulānā Salman al-Nadwī

Ucapan takziah dari ‘Ulamā Hadīth terkenal Mesir Syaikh Dr Mahmūd Sa‘īd Mamdūh

Dan banyak lagi ucapan-ucapan takziah dari ‘ulamā di seluruh dunia yang turut bersedih di atas pemergian Maulānā Yunus al-Junfurī rah

Friday, July 14, 2017

Hilangnya Sebutir Permata ‘Ulamā Ummah Maulānā Yunus al-Junfurī

Tanggal 11 Julai 2017 bersamaan 17 Syawal 1438H, dunia Islām telah dikejutkan dengan pemergian seorang Muhaddīth hebat yang juga merupakan murid dan khalifah kepada Maulānā Zakarīyyā al-Kandhālawī rah. Pemergian Maulānā Yunus al-Junfurī rah ketika usia beliau genap 80 tahun amat menyedihkan tatkala dunia Islām sedang menanti Magnum Opus beliau iaitu Nibrās al-Sarī ilā Riyād al-Bukhārī yang merupakan sebuah syarah kepada kitab Hadīth Sahīh al-Bukhārī di dalam bahasa arab. Maulānā Yunus rah begitu sibuk untuk menyiapkan syarahan tersebut, selepas kematiannya, beberapa orang murid beliau telah ditugaskan untuk mengemas bilik beliau lalu mereka telah mendapati bahawa Maulānā Yunus rah begitu menukuni khidmat untuk menyiapkan syarahan tersebut apabila beberapa orang murid beliau telah menjumpai beberapa catatan penulisan milik beliau di atas helaian kertas dipercayai beberapa catatan penting untuk syarahan Sahīh al-Bukhārī beliau.

      Keghairahan Maulānā Yunus al-Junfurī rah dalam 'ilmu Hadīth amat luar biasa

Maulānā Yunus al-Junfurī rah merupakan Syaikh al-Bukhārī di Madrasah Mazahīr al-'Ulūm, Sahāranfūr, India. Beliau telah mengajar Sahīh al-Bukhārī selama tempoh 48 tahun iaitu sejak beliau diamanahkan oleh guru beliau iaitu Maulānā Zakarīyyā rah pada tahun 1968.

Beliau mengajar Sahīh al-Bukhārī ketika hayat guru beliau selama 14 tahun kerana guru beliau (Maulānā Zakarīyyā rah meninggal dunia pada tahun 1982). Selepas Maulānā Zakarīyyā rah berhenti dari mengajar, Maulānā Zakarīyyā rah selalu menjadikan Maulānā Yunus rah sebagai rujukan beliau. Jika ada permasalahan yang berkaitan dengan 'ilmu Hadīth, maka mereka akan berbalas surat untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Menurut Maulānā Hazim al-Mazahīrī, kiriman surat-menyurat tersebut telah dihimpunkan dan menjadi kitab 5 jilid lengkap dan dinamakan al-Yawaqīt al-Ghalīyāh fi Tahqiq wa Takhrij al-Ahadīth al-'Aliyāh.


Ada beberapa masyaikh dari arab yang datang bertalaqqi dengan beliau. Antaranya ialah Syaikh Farid al-Bajī dari Tunisia

Menurut Maulānā Dr Taqī al-Dīn al-Nadwī dan Maulānā Hazim al-Mazahīrī, kefahaman Maulānā Yunus al-Jaunfurī rah terhadap Sahīh al-Bukhārī amat luar biasa. Banyak tahqiq dan fawaid beliau ketika mensyarahkan Sahīh al-Bukhārī ini. Dikatakan beliau memahami Sahīh al-Bukhārī dari kaca mata Imām al-Bukhārī rah sendiri dan Maulānā Dr Taqi al-Dīn menggelar beliau sebagai al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalanī rah di zaman ini.


Nibrās al-Sarī ilā Riyād al-Bukhārī merupakan syarahan Sahīh al-Bukhārī yang pertama oleh Maulānā Yunus al-Junfurī rah dalam bahasa Arab.

Pengajaran Maulānā Yunus al-Junfurī rah dalam Sahīh al-Bukhārī telah dicatatkan oleh ramai anak muridnya. Beberapa kitab yang mensyarahkan Sahīh al-Bukhārī telah dihasilkan di dalam bahasa Urdu dan paling terbaru syarahan Sahīh al-Bukhārī beliau baru dihasilkan iaitu Nibrās al-Sārī ilā Riyād al-Bukhārī iaitu baru jilid pertama. Sememangnya pemergian Maulānā Yunus al-Junfurī rah merupakan satu kehilangan besar kepada dunia Islām khusus kepada penuntut 'ilmu Hadīth. 

Sebagai bukti kecintaan seorang murid kepada gurunya, Allāh ta'ala telah memilih keturunan gurunya iaitu Maulānā Talha untuk memimpin Solat jenazah beliau. Maulānā Yunus rah telah dikebumikan disebelah guru pertama beliau di Madrasah Mazahīr al-'Ulūm yang juga Syaikh pertama yang membimbing beliau dalam tarīqat dan kesufian iaitu Maulānā As'adullāh al-Ramfurī rah.


Media-media massa di India telah melaporkan bahawa lebih sejuta umat Islām telah menyolati jenazah Maulānā Yunus al-Junfurī rah.

Bahkan di beberapa negara seperti di Malaysia, U.K, South Afrika dan lain-lain lagi telah diadakan solat jenazah ghaib. Hal ini telah membuktikan bahawa penerimaan Allāh terhadap insan yang banyak berkhidmat kepada perkataan kekasih-Nya ini. al-Fatihah 

Tuesday, June 20, 2017

Awal Penubuhan Dār al-‘Ulūm Deoband

Salah satu pemandangan di perpustakaan Dār al-‘Ulūm Deoband

Institusi pengajian Dār al-‘Ulūm Deoband antara institusi pengajian yang diasaskan berdasarkan dana sumbangan masyarakat Islām. Bermula dengan derma sebanyak 3 rupee oleh Hājī Sayyid ‘Abid rah yang diletakan di atas rumāl@scarf, Maulānā Mehtab ‘Alī rah menderma 6 rupee, Maulānā Fazl al-Rahmān rah menderma 12 rupee, Maulānā Dzul Fiqar ‘Alī al-Deobandī rah menderma sebanyak 12 rupee dan derma-derma dari masyarakat tempatan Islām telah berjaya mengumpul sebanyak 300 rupee. Jumlah kutipan sebanyak 300 rupee pada masa itu jika dinilaikan dengan nilaian sekarang sebanyak 300000 rupee = RM19,580.3264). Perkara ini berlaku pada hari Juma’at, 2 Dzul Qa’dah, 1282H (19 Mac 1866M). Jumlah kutipan sebanyak 300 rupee pada masa itu sudah terlalu banyak dan dikatakan pada masa itu kos perbelanjaan satu isi rumah hanya sebanyak 15 rupee.

Setelah berjaya mengumpul dana sebanyak 300 rupee, mereka telah berjumpa dengan Maulānā Qasīm al-Nānautwī rah dan menyerahkan kepadanya untuk dimulakan pengasasan Dār al-‘Ulūm Deoband. Maulānā al-Nānauwī rah telah pergi di Meerut untuk memujuk sahabat baik beliau iaitu Mullā Mahmūd al-Deobandī rah untuk kembali ke Deoband dan mengajar di Dār al-‘Ulūm yang baru diasaskan dan perkara ini mendapat persetujuan dari Mullā Mahmūd rah untuk pulang ke Deoband.

Maka bermulalah pengajian pertama di Dār al-‘Ulūm pada hari Khamis, 15 Muharram, 1283H (30 Mei 1866M)di bawah sebatang pokok Delima dengan hanya seorang guru bernama Mullā Mahmūd rah dan seorang murid bernama Maulānā Mahmūd Hasan al-Deobandī rah yang kemudiannya dikenali sebagai Syaikh al-Hind.

Institusi Dār al-‘Ulūm Deoband terus berkembang pesat dan menjadi benteng kepada serangan yang boleh merosakan akidah umat Islām di Benua Kecil India oleh penjajah British dan kian tersebar di seluruh pelosok alam dengan hanya bermula dengan seorang  guru dan seorang murid lama kelamaan telah berkembang dan menerima kehadiran murid dari seluruh dunia.

Rujukan
1. Sayyid Mahbood Rizvi, Tarikh-e Dar al-Ulum, Deoband, cetakan Idara-e Ihteman, Dar al-Ulum, Deoband, hlm 114-116

Tuesday, June 13, 2017

Engkau Telah Menjadi Kismis Sebelum Menjadi Anggur

Resam dan sunnah para‘ulamā untuk menjadi anggur dulu sebelum menjadi kismis
Semalam apabila kami ziarah Maulānā Hazim al-Mazahīrī, beliau ada menyatakan kesedihan beliau "melihat ustaz-ustaz muda atau penuntut ‘ilmu kalangan orang muda" yang terlalu cepat turun ke dalam masyarakat dan menjadi popular. Beliau kata ini satu fenomena yang tidak bagus, sepatutnya usia muda dihabiskan dengan menuntut ‘ilmu dan apabila diizinkan oleh guru untuk turun ke dalam masyarakat, maka turunlah betul-betul.
Kata beliau lagi, menjadi tradisi Para 'ulamā untuk "lama-lama dalam menuntut ‘ilmu" dan setelah diizinkan oleh guru untuk turun dalam masyarakat, baru boleh berbuat sedemikian. Beliau ceritakan satu orang murid beliau (bukan alumni MUSP) yang tidak sempat menghabiskan pengajian tetapi sudah turun ke kancah dalam masyarakat dan menjadi popular. Beliau berkata, beliau sangat-sangat sedih melihat murid beliau itu telah popular dan sedangkan tidak pun menamatkan pengajian dan tidak mendapatkan restu daripada para guru. Perbuatan murid beliau ini boleh diibaratkan seperti "menjadi kismis sebelum menjadi anggur".


P/s: Maulānā Hazim al-Mazahīrī ialah pelajar Melayu pertama memperolehi (dengan keputusan Mumtaz) dalam batch beliau semasa menuntut 'ilmu di Jami'ah Mazahīr al-'Ulūm, Sahāranfūr, India dan sekarang bertugas sebagai Guru Hadīth di Madrasah Miftah al-'Ulūm, Seri Petaling, Kuala Lumpur.

Wednesday, March 8, 2017

Bagaimana Jemaah Usaha Dakwah & Tablīgh masuk ke Tomboro, Indonesia

Di perkampungan Temboro, Magetan ini terdapat sebuah Pondok Pesantren al-Fatah. Pondok Pesantren al-Fatah berdiri tahun 1950M dan dirikan oleh Kiyaī Mahmūd رحمه الله bersama dengan adiknya yang bernama Kiyaī Ahmad Shodīq رحمه الله. Jemaah dakwah pertama yang membuat usaha di sekitar Magetan ialah jemaah jalan kaki daripada Pakistan yang diketuai oleh seorang alīm bernama Maulānā Abdul Sobar رحمه الله . Markaz Dakwah Nizam ad-Dīn melalui Markaz dakwah Raiwīnd, Pakistan telah menghantar jemaah Jalan Kaki setahun untuk negara Indonesia. Route yang diputuskan oleh masyaikh Markaz Nizam ad-Dīn ialah Jakarta, dari Jakarta (Jawa Barat), jemaah ini dikehendaki membuat usaha sampai Banyuwangi (kawasan Jawa Timur). Mereka akan berjalan kaki dari Jakarta untuk pergi ke route seterusnya di Banyuwangi. Ketika dalam perjalanan ke Banyuwangi, Jemaah ini berhenti transit di Magetan. Lihat gambar - - - saya telah membuat sedikit kajian melalui bantuan Google Maps, jumlah jarak jemaah ini berjalan kaki dari Jakarta ke Banyuwangi adalah sejauh 1031 KM. Tempoh masa yang telah diambil adalah sebanyak 208 jam @ 8 hari untuk sampai ke Banyuwangi. Masyallah. Wallāhi ajib kerja dakwah iIallāh ini. :
Apabila mereka berada di Magetan, jemaah ini diberitahu bahawa ada seorang ulama terkenal di kawasan tersebut yang bernama Kiyaī Mahmūd رحمه الله yang telah mengusahakan sebuah pondok pesantren di perkampungan bernama Tomboro. Jemaah ini berhajat menziarahi Kiyaī Mahmūd رحمه الله , maka jemaah ini telah berjalan kaki menuju ke pondok pesantren beliau. Setelah tiba di pesantren Kiyai Mahmūd رحمه الله , telah kedengaran azan solat zohor, maka jemaah ini telah bersiap-sedia untuk menunaikan solat di masjid pondok pesantren tersebut. Kiyai Mahmūd رحمه الله sedang solat Zohor dimana Kiyaī Mahmūd sendiri menjadi Imām kepada solat berjemaah tersebut,jemaah ini kemudian turut bersolat bersama di belakang Kiyaī Mahmūd رحمه الله .
Kemudian,setelah tamat solat Zohor, Kiyaī Mahmūd رحمه الله yang juga merupakan mursyīd Tarīqat Naqshabandīyah al Kholidīyah di Indonesia,merasakan sesuatu yg luar biasa dari makmumnya ketika sebelum bersolat tadi,(dirasakan satu rohaniat yang luar biasa dari arah makmumnya). Kemudian kiyaī Mahmūd رحمه الله memanggil pelajarnya dan bertanya siapakah lagi yang menjadi makmum kepadanya tadi, kemudian pelajar beliau menjawab bahawa yang menjadi makmum kepada kiyaī Mahmūd رحمه الله tadi ialah satu jemaah dakwah dari Pakistan yang datang singgah di pondok pesantren mereka.
Kiyaī Mahmūd رحمه الله begitu teruja dengan perkhabaran ini, lantas bersilaturrahim dengan dengan mereka, kemudian jemaah ini dijadikan tetamu di pondok pesantren Kiyaī Mahmūd رحمه الله. Setelah lama berbicara, Kiyaī Mahmūd رحمه الله pun bertanya apakah amalan kamu (Jemaah dakwah) sehingga saya merasakan sesuatu yg luar biasa ketika saya ingin mendirikan solat Zohor tadi. (sebenarnya perkara ini merupakan perkara biasa yang mana kepada ahli zikir dapat merasai rohaniat orang lain).
Kemudian,jemaah ini memberitahu mungkin ini merupakan asbab amalan dakwah. Jemaah tersebut juga memberitahu bahawa mereka mempunyai maksud besar di mana mereka (Jemaah dakwah) ini diutuskan oleh Hadrat Jī Maulana Inam al-Hasan al-Kāndhalawī رحمه الله supaya datang ke Indonesia untuk mengajak orang Islam di Indonesia melibatkan diri dalam usaha dakwah. Kiyaī Mahmūd رحمه الله menyambut ajakan jemaah ini dan bermula pada hari itu dan kemudiannya diteruskan oleh guru saya Kiyaī Uzairon رحمه الله , pondok Pesantren al-Fatah, Tomboro berkembang menjadi salah satu daripada pusat kegiatan Dakwah & Tabligh yang mengeluarkan para alim ulama dan jemaah dakwah untuk dihantar seluruh dunia. Semoga Allāh Ta’ala meninggikan darajat mereka, Allāhumma Amīn.
P/s : Jika hendak tahu bagaimana kisah Kiyaī Mahmūd رحمه الله datang ke Markaz Dakwah Nizam ad-Dīn, Delhi. Boleh baca di sini https://wirapendang.blogspot.com/2017/03/kisah-dari-kh-uzairon-thoifur-abdillah.html
Rujukan
[1]. Sejarah Masuk dan Perkembangan Jemaah Tablīgh di Tomboro, Magetan, Hlm 41-44.
[2]. Sumber lisan daripada guru saya Kiyaī Uzairon رحمه الله sendiri.

Wednesday, March 1, 2017

Kisah Dari Kh Uzairon Thoifur Abdillah rah

Satu pagi saya duduk dalam satu majlis pengajian Kh Uzairon Thoifur Abdillah rah، pagi yang hening itu telah dihangatkan oleh satu kisah yang sangat mengujakan kami semua termasuk diri saya. Pak Kiyai telah memulai pengajian pada pagi tersebut dengan menceritakan kisah bagaimana ayahanda beliau Kh Mahmud rah berkunjung ke India. 

Apabila tiba di Airport, Hadrat Ji Maulānā Inam al-Hasan al-Kāndhalawī rah telah menghantar Syāikh Maulānā Ahmad La'āt an-nadwī untuk menyambut kedatangan Kh Mahmud rah dan Hadrat Ji rah memesan supaya berkhidmat dengan sebaik yang mungkin kepada Kh Mahmud rah kerana Kh Mahmud rah merupakan seorang tokoh ulama yang sangat dihormati di Indonesia.


Setibanya di markaz Nizamuddīn, Delhi, Hadrat Jī rah telah menunggu beliau di pintu markaz. Mereka berpelukan antara satu sama yang lain. Keakraban mereka terpancar seakan-akan seperti sahabat baik yang sudah lama tidak bertemu kemudiannya baru bertemu semula.

Khadim yang mengiringi rombongan Kh Mahmud rah ke India telah menceritakan kepada aku kenapa rombongan Kh Mahmud rah begitu mendapat layanan istimewa dari Hadrat 
 rah. Maka terbongkarlah satu cerita bahawasanya Ketika Kh Mahmud rah ketika berada di dalam pesawat lagi, sudah berkenalan dengan Hadrat Jī rah. Kata Kh Uzairon rah، ini ialah karomah bapaku dan Hadrat rah. Semoga الله meninggikan darjat mereka semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini