Ikuti Blog Ini

Sunday, September 7, 2014

Karomah Al-Allamah Al-Faqeh Al-Muhadith Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه

Sebelum ini saya sudah menceritakan sedikit manaqib Al-Allamah Al-Faqeh Al-Muhadith Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه di artikel sebelum ini. Namun, itu belum cukup lagi untuk saya memperkenalkan beliau di mata masyarakat.Oleh itu, saya cuba untuk menceritakan lagi kisah-kisah beliau supaya para pencinta beliau dan khususnya para pencinta ulamak ASWJ lebih mengenali beliau. Beliau terkenal dengan keilmuan dan dengan dakwahnya. Usaha dakwah yang dilakukan oleh beliau telah dapat mengislamkan lebih daripada puluhan ribu orang kafir yang sebelumnya tidak sama sekali mengenal Islam bahkan beliau juga telah menghidupkan hati-hati orang Islam agar kembali kepada kehidupan yang lebih beragama.

Beliau adalah seorang Muhadith dan juga seorang ulama Sufi yang hebat. Banyak ulamak telah memujinya dan mengangkat darjatnya sejajar dengan ulamak-ulamak agung dunia dan para wali-wali qutub yang datang sebelum waktunya. Salah satu pengakuan yang sangat menyentuh hati adalah daripada beberapa surat pengutusan takziah rasmi kematian beliau daripada beberapa orang ulamak antarabangsa. [1]

Antara kisah yang diceritakan oleh beberapa orang murid beliau kepada saya ialah, dikatakan selama mereka sempat berdamping bersama dengan beliau, mereka selalu merasa bahagia/ketenangan, dan mendapatkan nur dan semangat dalam beribadah. Maka tidak terkejutlah kalau banyak yang mengalami pengalaman lebih dari itu. Oleh itu, beliau sebenar-benarnya seorang Auliyya Allah yang hebat. Seorang yang soleh,Istiqamah dalam beribadah. Mengutamakan nama Islam lebih daripada segalanya.[2]

Antara bentuk karomah yang dikurnian oleh Allah سبحانه و تعالى  kepada beliau telah diceritakan sendiri oleh beberapa orang pelajar-pelajar Malaysia yang telah belajar di Pakistan khususnya di Jami'ah beliau iaitu Jami'ah Ashrafiyah dan daripada Madrasah Arabia Raiwind. Antaranya yang telah diceritakan kepada saya ialah kisah bagaimana rakan sekelas Maulana Amir Hamzah حفظه الله yang berkesempatan menziarahi perkuburan beliau. Rakan sekelas beliau telah mengambil dan mencium tanah di perkuburan Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه

Kata Maulana Amir Hamzah حفظه الله, rakan sekelas beliau telah mengambil tanah daripada empat tempat yang berbeza, yang menghairankan itu ialah tanah daripada keempat-empat kawasan yang berbeza itu mengeluarkan bauan yang berbeza. Maka rakan sekelas beliau telah membawa pulang tanah tersebut dan telah menunjukan tanah tersebut kepada guru mereka iaitu Syeikhul Hadith Maulana Jamshed Ahmad حفظه الله maka Maulana Jamshed Ahmad حفظه الله telah mengarahkan kesemua pelajar di Madrasah Arabia Raiwind mencium bauan daripada tanah itu.[3]

Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه menutupi kepala beliau dengan kain serban

Beliau dikenali sebagai Syeikhul Hadith wal Tafsir di Jami'ah Ashrafiyah,Lahore (Pakistan). Kuliah pengajian beliau untuk Sunan Tirmizi dan Tafsir Baidawi sangat terkenal di Pakistan sehinggakan ramai pelajar-pelajar dari seluruh dunia akan datang ke majlis pengajian beliau.

Karya-karya beliau :

1. Al-Barakat al-Makkiyah fi 'l-selawat al-Nabawiyyah (menghimpunkan 805 nama-nama Sayyiduna Nabi Muhammad صلی اللہ علیہ وسلم.
2. Al-Qasidah al-Husna fi Asma al-Nabi al-'Uzma (Menghimpunkan lebih daripada 500 nama Nabi صلی اللہ علیہ وسلم
3. Al-Najm as-Sa’d fi Mabahith Amma Ba’d (أما بعد) (Penerangan (tawjihat) untuk kalimah amma Ba'd (أما بعد) sebanyak 1.3 juta penerangan.
4. Fath al-'Alim fi Halli Ishkali al-Tashbih al-'Azim fi Hadis 'ala Ibrahim' Kama Sallayta (lebih 190 penjelasan bagi keunggulan Sayyidina Ibrahim عليه السلام dalam Selawat Ibrahim.
5. Fath Allah fi Khasa'is al-ism Allah (satu kitab menerangkan keistimewaan nama-nama Allah  سبحانه و تعالى lebih daripada (2 jilid) lebih kurang 1500 mukasurat).
6. Beliau telah menulis dalam pelbagai jenis cabang ilmu Islam termasuklah Tafsir (syarah Tafsir Baidawi sebanyak 55 jilid dan Muqaddimah (pengenalan) kitab sahaja sudah diterbitkan secara berasingan dalam 2 jilid.
7. Hadith ( Riyad al-Sunan syarah kepada Sunan Tirmizi adalah yang paling meluas perbahasannya dan boleh dikatakan yang paling berwibawa kalangan ulama yang beraliran Deoband) yang hebat dalam ilmu hadith.
8. Usul al-Fiqh (satu syarah yang menakjubkan pada Syarh al-Tawdih wa 'l-Talwih, kesusasteraan Arab. Ada juga karya-karya beliau yang masih dalam bentuk makhtutat (manuskrip) dalam pelbagai lapangan ilmu, dakwah dan Islah yang tidak diterbitkan. 

Tawadhuk Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه.

Bahkan diceritakan bahawa sifat tawadhuk yang dimiliki oleh beliau sangat tinggi. Sekali ketika Mudir Madrasah Arabia, Raiwind iaitu Maulana Jamshed Ahmad حفظه الله datang ke Jami'ah beliau iaitu Jami'ah Ashrafiyah, Lahore. Beliau (Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه) akan membimbit kasut Maulana Jamshed حفظه الله kemana sahaja beliau akan pergi. [4]
Syeikhul Hadith Maulana Sufi Serwani حفظه الله merupakan Syeikhul Hadith di Jamia Ashrafia, Lahore, Pakistan.

Perkuburan Maulana mengeluarkan haruman wangi 

Disebabkan oleh beberapa aktiviti khurafat yang dilakukan oleh segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab di sana,maka timbul kerisauan dalam kalangan ulamak-ulamak di sana. Maka setelah bermesyuarat, maka diputuskan bahawa Maulana Sufi Serwa حفظه الله mengetuai majlis bacaan doa supaya bauan harum ini dihilangkan oleh Allah سبحانه و تعالى , tetapi bauan ini tidak juga hilang, maka pada malamnya, Maulana Sufi Serwa حفظه الله telah bermimpi didatangi Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه, dalam mimpi tersebut, Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi حفظه الله telah mengatakan bauan haruman ini tidak akan hilang kecuali jika anak-anakku yang berdoa supaya dihilangkannya. Kata Maulana Muhammad Zubair حفظه الله (anak sulong beliau) bauan haruman ini sebenarnya adalah untuk melepaskan kerinduan anak-anaknya  kepada bapa mereka iaitu Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه. Akhirnya Allah سبحانه و تعالى menerima doa yang dilakukan oleh Maulana Muhammad Zubair حفظه الله dan adik-beradiknya yang lain dengan dihilangkan bauan haruman dari kubur bapa mereka. [5]

Jami'ah Ashrafiyah,Lahore tempat Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه mencurahkan segala ilmu buat ummah

Bagi saya,beliau adalah salah satu dari wali besar umat ini, dan tergolong dari tokoh-tokoh muslim yang Allah سبحانه و تعالى menghidupkan agama ini melalui mereka pada kurun ke 20. Tersebarnya Islam di seluruh negara Barat dan Timur. Telah masuk Islam di tangannya beribu manusia, dan ia adalah asbab mendapatnya hidayah bagi ramai orang-orang Islam. 

Nota Kaki
_______________________

[1]. Boleh dilihat dipautan ini http://alqalamfoundation.org/views-of-scholars.html
[2]. Diceritakan oleh salah seorang murid beliau iaitu Maulana Hasnul Hizam Hamzah حفظه الله. Beliau turut menceritakan pengalaman peribadi beliau berdamping dengan Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه ketika majlis pelancaran kitab di masjid USJ 9 tempoh hari. Boleh dilihat di pautan ini http://www.youtube.com/watch?v=MNHPlCiAA-M
[3]. Kisah ini diceritakan oleh Maulana Amir Hamzah حفظه الله (Imam Besar Masjid Jami' Sri Petaling yang juga bekas pelajar di Madrasah Arabia Raiwind,Pakistan).
[4]. Kisah ini diceritakan oleh Maulana Muhammad Razif حفظه الله  secara peribadi kepada saya.
[5]. Kisah ini diceritakan oleh Maulana Muhammad Zubair حفظه الله secara peribadi kepada saya.

2 comments:

  1. Assalamualaikum...

    Tanah hind ini termasuklah india pakistan dan bangladesh memang tempat bumi wali2...ramai wali2 Allah...sesiapa yang pernah menjejakkan kaki dengan keluar ke sana "IPB" akan dapat merasakan aura wali2 Allah...melihatkan orang awam yg buat usaha agama pun terkesan..inikan lagi ulama'nya dan penanggungjwab usaha agama yang terdiri dari kalangan org2 soleh...boleh namapak kesan kesolehan ulama' Hind terutama yang berada di Nizamuddin "Banglawali Masjid"

    Wallahu a'lam

    ReplyDelete
  2. Saya pelajar beliau tahun 1996-2000 di jamiah ashrafiah muslim town lahore. Guru yg paling sy sayangi, igt lagi setiap kali kami nk ke masjid hassan solat jemaah, kalau nmpk beliau tgh berjalan nk ke masjid, kami rmai akan ambil kasut dia bawa masuk dan letak ke tempat yg dia tunjuk. Rasa happy sgt kalau dpt buat mcm tu. Beliau seorg yg hebat. Bau wangi kubur dia mashaa Allah. Sy ambil skit masa tu masa pengebumian bw balik bukan sbb wangi. ambil nk buat kenangan. tapi sy pelik knp wangi. Sy cari minyak wangi yg sy pkai tak sama. Sy igt bauan tu myk wangi sy. Harum dia tak pernah sy bauu. Smpai skrg sy masih igt bauan tu. Allahu. Janji allah utk org yg soleh ni itu benar.

    ReplyDelete

Jika mahu memberikan komentar, silakan, berilah komentar dengan menggunakan laras bahasa yang sopan dan penuh beradab. Segala komentar yang menyelisihi laras bahasa sopan dan adab, insyallāh akan dipadam oleh team admin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini