Semoga Allah merahmati Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi atas khidmatnya untuk agama Allah swt.
Entri ini merupakan petikan sebahagian daripada penulisan ilmiah pelajar di bawah seliaan saya, A’ali Imran bin Jamal Mohamad, mengenai Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah (1898-1982 M) dengan merujuk kepada kitab Aap Beeti autobiografi Maulana Muhammad Zakariyya sendiri. Saya kongsikan kerana nilai ilmu dan adab yang terkandung dalam petikan tersebut. Beberapa suntingan telah dibuat terhadapnya.
Sejak Maulana Muhammad Zakariyya rah mengajar hadith di dalam tahun 1340H (1922M), beliau dapati bahawa kesemua periwayatan sanad pengajaran hadith dan keizinan talian para masyaikh adalah melalui Musnid al-Hind Hakimul Islam Shah Waliyyullah Dehlawi rah (1703-1762 M). Maka beliau telah mencatat seluruh rantaian-rantaian keizinan pengajaran hadith di India melalui hantaran surat-surat kepada semua madrasah, dengan tujuan; apakah terdapat sanad daripada Shah Waliyyullah di dalam rantaian sanad mereka?
Akhirnya, beliau dapati tiada satu pun jawapan daripada madrasah-madrasah di India yang tidak mempunyai sanad Shah Waliyyullah. Kesemuanya mempunyai hubungan talian yang sampai kepada Shah Waliyyullah. Gurunya sendiri, iaitu Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri rah (1852-1927 M) juga mempunyai sanad daripada keluarga Shah Waliyyullah dan para masyaikh di Mekah, sebagaimana diterangkan di dalam muqaddimah Bazl al-Majhud, Lami’ ad-Darari dan Awjaz al-Masalik. Dengan ini, Maulana Zakariyya selalu menamakan Shah Waliyyullah sebagai Musnid al-Hind. (Aap Beeti 5. hlm. 154-155.)
Antara tiga kitab hadith yang dikarang oleh Shah Waliyyullah, iaitu;
1.pertama kitab al-Fadlul Mubin fi al-Musalsal min Hadithin Nabiyyil Amin,
2.yang kedua kitab ad-Durr at-Thamin fi Mubasysyaratin Nabiyyil Amin, dan
3.yang ketiga kitab an-Nawadir fi Ahadith Saiyyidil Awa‘ili wal Awakhir.
Dua daripada tiga kitab Shah Waliyullah, iaitu kitab ad-Durr dan kitab an-Nawadir terdapat beberapa hadith yang diriwayatkan oleh sesetengah sahabat RA di dalamnya yang mana para ulama hadith mempunyai rasa keengganan yang berat menerima hadith-hadith yang dinukilkan. Keputusannya, Maulana Zakariyya mula ragu-ragu tentang keizinan untuk meriwayatkan hadith-hadith tersebut.
Justeru itu, di dalam tahun 1352H (1933M) Maulana Zakariyya telah menulis kira-kira 50 keping surat kepada kesemua para masyaikh, antaranya Syeikhul Islam Maulana Husain Ahmad Madani rah (1879 -1957 M),Hakim Jamiluddin Naginwi rah (anak murid kepada Imam Robbani Maulana Abdul Rasyid Ahmad Gangohi rah (1826-1905 M)),Mufti A’zam Kifayatullah Dehlawi rah (1875-1952 M), dan berbagai-bagai ulama yang lain bagi meminta pandangan mereka. Kebanyakan mereka menyatakan ketidak arifan mengenai kitab-kitab tersebut dan belum lagi bertemu pandangan-pandangan kritikal daripada kalangan muhadithin. Dalam hal ini, Maulana Zakariyya juga menulis surat kepada Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi rah (1863 – 1943 M).
Berikut adalah ringkasan daripada kandungan surat Hadrat Syeikh kepada Hakimul Ummah :
“Kepada Hadrat Hakimul Ummah yang dihormati Maulana Thanwi,
(semoga Allah SWT menjadikan bayangan berkatmu tetap selalu)
Ketiga-tiga risalah oleh Mujadid India Shah Waliyyullah mengandungi banyak hadis yang mana menurut peraturan kaedah para muhadithin mengkritik menentanginya malah dianggap maudhu’, khususnya hadith yang diriwayatkan oleh Ratan Hindi dan Ibnu Abi Dunya. Bagi Ratan Hindi, tidak ada bukti putus bahawa beliau adalah seorang sahabi dan di dalam Isabah terdapat suatu kritikan yang panjang menentanginya. Di dalam Lisanul Mizan, Ibnu Abi Dunya telah menyebut kenyataan dan istilah yang tidak selari.
Periwayatan hadith-hadith ini berlaku secara meluas sejak dari zaman Shah Waliyyullah. Saya telah menerima keizinan daripada Maulana Saharanpuri untuk meriwayatkan hadith ini dan di atas desakan pelajar-pelajar, saya juga memberi keizinan terhadap banyak daripada hadith-hadith ini kepada mereka.
Dalam tahun ini, keraguan telah meningkat kepada saya bahawa menurut kaedah muhadithin, meriwayatkan hadith-hadith sedemikian adalah penerusan meriwayatkan hadis palsu. Tetapi di sebalik dan hakikatnya ialah hadith-hadith itu wujud di dalam karya Hadrat Shah Waliyullah. Sedangkan kajian-kajian muhaddithin di dalam ilmu asma’ ar-rijal melarang meriwayatkan hadith ini.
Sekarang soalannya ialah; kajian siapakah yang lebih dipilih untuk diterima dan dapat dipergantungi? Malahan di Hijaz, hadith-hadith ini secara umumnya diriwayatkan. Jikalau keizinan tidak diberikan kepada para pelajar untuk menyampaikannya dan memindahkannya, maka terdapat bahaya hadis ini menjadi hilang kesemuanya setelah ia hidup selama 1300 tahun.
Jikalau keizinan diberikan pula, berkemungkinan termasuk ke dalam medan penyebaran hadith palsu.”
Berikut adalah ringkasan daripada kandungan surat jawapan Hakimul Ummah Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi kepada Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya:
Saudara yang dihormati, assalamua’laikum.
Dengan pendekatanmu yang wara’ dan berhati-hati, kamu telah menjadikan perkara ini lebih mustahak daripadanya. Apapun, terdapat beberapa hadith, malahan di dalam Ibn Majah ada yang telah diisytiharkan palsu. Tetapi walaupun demikian, periwayatan hadith-hadith tersebut berterusan tanpa ada apa-apa bantahan.
Periwayatan hadith oleh saudara-saudara tua bukanlah bukti kesahihannya. Apa sahaja yang sampai kepada mereka, telah diriwayatkan oleh mereka. Meriwayatkan hadis merupakan satu perkara dan sama sekali berbeza dengan meletakkan tanda kesahihan dan betul terhadapnya. Walau bagaimanapun, meriwayatkan hadith yang sedemikian dengan menunjukkan penjelasan terhadap ketidak sahihannya yang samar adalah perlu. Dengan cara ini, periwayatan hadith-hadith palsu dibenarkan oleh pendapat sepakat para ulama.
Selain daripada ini, tidak ada apa-apa buat waktu ini di dalam fikiranku. Mungkinlah dengan merujuk perkara itu kepada ulama, banyaklah lagi kajian-kajian akan muncul mengenai perkara tersebut.
Wassalam,
Asyraf ‘Ali,
22 Rejab 1352 Hijri.
Begitulah serba sedikit perihal ketelitian dan kehalusan sifat yang ada pada Hadrat Syeikh sebelum dan sesudah meriwayatkan sesuatu hadith. Samada di dalam pengajian, kajian-kajian, mahupun karya-karyanya. Beliau sentiasa peka dan sangat memandang berat terhadap ketulenan ataupun kesahihan akan sesuatu perkara yang ingin disampaikan. Beliau tidak sekali-kali mengambil mudah di dalam setiap usaha-usahanya.
Rujukan : Ust Mohd. Khafidz Bin Soroni
P/s: Bagaimana pula orang-orang yang mengatakan bahawa Syeikhul Hadith memasukan riwayat-riwayat palsu dalam karya-karyanya.