Ikuti Blog Ini

Sunday, January 24, 2016

Sejarah‬ dan Latar Belakang Madrasah Mīftah al-‘Ulūm Sri Petaling (MUSP)


Sejarah penubuhan Madrasah Miftah al-‘Ulūm Sri Petaling (MUSP) [1] ini bermula pada tahun 1995, apabila madrasah ini siap dibina di tapak Masjid Jami, Bandar Baru, Sri Petaling yang juga berperanan sebagai markaz utama /pusat aktiviti kegiatan bagi Jemaah Tablīgh (JT) Malaysia. Pihak yang terlibat secara langsung mencari calon-calon imam di masjid/markaz ini ialah Maulānā Abdul Hamid bin Chin[2]. Setelah pencarian dibuat, maka beliau telah memilih abang ipar beliau iaitu Maulānā Mohd Syarīff bin Musa [3] sebagai imam berdasarkan kelayakan latar belakang pengajiannya dan keputusan permilihan ini telah dipersetujui oleh ahli majlis syura Jemaah Tablīgh (JT) Malaysia dan ahli jawatan kuasa (AJK) masjid tersebut. Pada bulan Januari 1995, Dato’ Syaikh Abd al-‘Qadīr, Muftī Wilayah Persekutuan ketika itu telah dijemput untuk menjadi khatib solat Jumaat yang pertama di sini seterusnya merasmikan masjid tersebut.

Pada 14 April 1995, Maulānā Mohd Syarīff bin Musa sekeluarga telah datang ke sini, begitu juga dengan Maulānā Abd Hamid bersama keluarganya. Mereka antara penduduk luar yang awal mendiami kawasan kejiranan kompleks masjid ini. Oleh kerana usaha dakwah yang dilakukan oleh Jemaah Tablīgh (JT) Malaysia kian mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia, maka telah timbul satu kesedaran dalam kalangan ahli Jemaah Tablīgh (JT) Malaysia untuk mengorak langkah dalam mendepani masyarakat dengan berusaha menawarkan pengajian Islam secara tradisional dengan memperkenal sistem pengajian madrasah sebagai satu sistem pengajian alternatif bagi masyarakat Islam di Malaysia. Sistem madrasah diperkenal kepada masyarakat Islam di Malaysia dengan mengambil pendekatan sistem pengajian madrasah di India sebagai contoh dan ikutan [4].

Mesyuarat pertama untuk menubuhkan madrasah ini bertempat markaz Jemaah Tablīgh dunia iaitu di Markaz Nizam al-‘Dīn, Delhi, India. Setelah mendapat persetujuan syura-syura di Nizam al-‘Dīn untuk menubuhkan madrasah. Maka satu nama telah dicadangkan dan nama “ Mīftah al-‘Ulūm” telah dipilih sebagai nama rasmi madrasah ini. Ianya juga bersempena dengan nama salah sebuah madrasah terbesar di India iaitu Madrasah Mīftah al-‘Ulūm, di Jalalabad, India [5]. Pada tarikh 1 Jun 1995 pengajian Tahfiz seramai 23 orang pelajar telah memulakan pengajian dan pada 1 Januari 1996 pengajian Alīm dan Daurah al-Hadīth memulakan pengajian.

Rujukan
[1]. Interview bersama Mudir (sekarang bekas Mudir) Madrasah Miftah al-‘Ulūm Sri Petaling (MUSP) Maulānā Abdul Hamid bin Chin.
[2]. Merupakan lepasan Daurah al-Hadīth dari Dār al-‘Ulūm, Faisalabad, Pakistan
[3]. Merupakan lepasan Daurah al-Hadīth dari Dār al-‘Ulūm, Faisalabad, Pakistan
[4]. Pengajian berasaskan sistem Dars-Nizamī selama lapan tahun termasuk pengajian Daurah al-Hadīth dan digubal bersesuaian dengan masyarakat Islam di Malaysia. Boleh baca di sini juga method pengajian Daurah al-Hadīth https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1067909153243084&set=pb.100000720283624.-2207520000.1451899498.&type=3&theater
[5]. Madrasah Mīftah al-‘Ulūm, di Jalalabad, Muzaffarnagar, (UP), India telah diasaskan oleh Maulānā Maseh Allāh Khan al-Sherwanī al- Jalalabadī yang juga merupakan khalīfah Maulānā Ashraf Alī al-Tāhānwī.
P/s: Jika ada sebarang kesilapan atau tambahan maklumat, boleh dimaklumkan kepada saya diruang komen. Maklumat yang dikongsikan di status saya ini merupakan petikan dari catatan (masih dalam manuskrip) buku "Sejarah Jemaah Tabligh di Malaysia dan Sumbangannya". Insyallah doakan.

0 Komen kat sini:

Post a Comment

Jika mahu memberikan komentar, silakan, berilah komentar dengan menggunakan laras bahasa yang sopan dan penuh beradab. Segala komentar yang menyelisihi laras bahasa sopan dan adab, insyallāh akan dipadam oleh team admin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini