Ikuti Blog Ini

Tuesday, November 25, 2014

Maulana Jamshed Ali Khan رحمه الله تعالى Dalam Kenangan

Maulana Jamshed Ali Khan  رحمه الله تعالى meninggal dunia ketika berumur 85 tahun. Antara saki-baki murid Syeikhul Islam Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى yang masih hidup sehingga maut datang menjemput beliau tanggal 3 November 2014.

إنا لله وإنا إليه راجعون ولا حول ولا قوه الا بالله العلي العظيم

Pada tanggal 3 November 2014 bersamaan hari Isnin, kita digemparkan dengan berita kematian Syeikhul Hadith Maulana Jamshed Ali Khan رحمه الله تعالى . Sebelum itu, telah tersebar khabar angin seminggu sebelum itu bahawasanya beliau telah meninggal dunia, tetapi berita itu telah dinafikan oleh putera sulung beliau iaitu Maulana Ubaidullah Kurshid  حفظه الله . Kemudian takdir Allah سبحانه وتعالى, beliau telah disahkan meninggal dunia pada malam 3 November 2014 di Jinnah Hospital, Lahore, Pakistan.Jenazah beliau telah disemadikan tapak Ijtima Raiwind di mana solat jenazah beliau telah dipimpin oleh puteranya sendiri.

Saya diminta oleh kawan-kawan untuk menulis sedikit biografi kehidupan beliau, namun kekangan masa yang ada pada saya ada telah membantut dan melambatkan usaha penulisan kisah megenai hayat beliau. Maulana Jamshed Ali Khan رحمه الله تعالى merupakan ulamak yang muhaqqiq yang saya tidak perlu perkenalkan lagi. Tapi bagi mereka yang belum ke Pakistan atau ke markaz Dakwah Tabligh Raiwind mungkin tidak mengenali beliau. 

Sebelum memulakan penulisan ini, saya juga berusaha untuk mencari buku-buku yang menceritakan tentang kehidupan Maulana Jamshed Ali Khan رحمه الله تعالى tetapi saya gagal menjumpainya. Penulisan kehidupan beliau ini hanyalah ditulis berdasarkan pengalaman berbual bersama dengan anak-anak murid Maulana di Malaysia. Maulana Jamshed mempunyai ratusan anak murid beliau dari Malaysia kerana kebanyakan orang Malaysia akan menyambung pelajaran agama di Madrasah Arabia Raiwind, Pakistan. 

Maulana Jamshed Ali dilahirkan pada tahun 1928 M di  Muzafnaggar dalam negeri Uttar Pradesh, India. Semasa kecil, beliau telah dipelihara dan menjadi anak angkat oleh Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى . Hal ini merupakan satu kelebihan buat diri beliau berbanding dengan ulamak-ulamak yang lain. Para ulamak sezaman dengan beliau hanya sempat belajar, bersulok dan mendengar nasihat dari Hakimul Ummah رحمه الله تعالى sahaja tetapi beliau sendiri telah dipelihara di rumah oleh Hakimul Ummah رحمه الله تعالى dan isterinya. Hal ini sedikit sebanyak telah membentuk keperibadian beliau ketika di usia remaja. [1]

Maulana jamshed رحمه الله تعالى pernah menyebut bahawa kehidupan kecil beliau di rumah Hakimul Ummah رحمه الله تعالى sangat terdidik, Hakimul Ummah  رحمه الله تعالى mengasihi beliau seperti anaknya sendiri. Hakimul Ummah رحمه الله تعالى telah menerapkan ilmu agama kepada beliau sejak kecil lagi. Justuru itu, sedikit sebanyak beliau telah mewarisi limpahan ilmu,budi pekerti daripada bapa angkatnya. [2]

Beliau telah mewakafkan seluruh kehidupan beliau dalam 3 kerangka kerja nubuwwah iaitu dakwah,ta’lim dan Khanqa. Beliau telah menetap di Markaz Dakwah Tabligh Raiwind hampir 5 dekad iaitu sejak tahun 1964 M. Beliau merupakan tenaga pengajar hadith di Madrasah Arabia Raiwind yang berjawat jawatan Syeikhul Hadith di madrasah tersebut. Dalam khanqa sulok pula beliau merupakan khalifah kepada Maulana Masihullah Khan Jalalabadi رحمه الله تعالى  yang juga merupakan khalifah kepada Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi  رحمه الله تعالى [3].

Beliau merupakan guru kepada ramai ulamak. Nama beliau tidak perlu diperkenalkan lagi di Pakistan. Ramai para ulamak di Pakistan yang menghormati dan menyanjungi beliau.  
Beliau merupakan salah seorang anak kelahiran Darul Uloom Deoband yang tamat belajar di institusi terulung itu pada tahun 1951 M. Beliau menamatkan pengajian Sahih Al-Bukhari beliau  di tangan Syeikhul Islam Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى. Antara guru beliau yang lain ialah Maulana Al-Adeeb Izaaz Ali Amrohi رحمه الله تعالى ,  Maulana Ibrahim Balyawi رحمه الله تعالى ,Maulana Fakharuddin Al-Muradabi رحمه الله تعالى, Maulana Qari Muhammad Tayyib رحمه الله تعالى dan ramai lagi ulamak. [4].

Kesibukan dan keasyikan beliau dengan amalannya, menyebabkan beliau sudah tidak lagi menghiraukan kenikmatan dan keseronokan duniawi yang bersifat sementara sahaja. Baginya sudah tidak ada apa-apa benda yang menarik dan hebat di atas dunia ini. Percakapannya ringkas tapi memberikan seribu satu makna yang berkesan di hati para pendengar. Bagi mereka yang pernah mendampinginya, sangat banyak perkara yang beliau sampaikan sama ada berbentuk nafahat (limpahan ilham), futuhat (pembukaan ilmu), waridat (pembukaan tabir) mahupun mukasyafat (singkapan hijab). Ada yang ringan dan ada juga yang berat. Ia adalah limpahan hakikat dan makrifat yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya.

Pernah sekali beliau telah hadir dalam satu majlis zikir anjuran Maulana Sufi Muhammad Sarwar حفظه الله di Jamia Asharafia, Lahore,Pakistan di mana ketika berlangsungnya ucapan daripada Maulana Sufi Muhammad Sarwar حفظه الله yang sedang duduk memberikan nasihat di atas kerusi, tiba melihat kedatangan Maulana Jamshed رحمه الله تعالى, Maulana Sufi Muhammad Sarwar حفظه الله terus bangun dan meminta Maulana Jamshed Ali duduk diatas kerusi dan menyampaikan nasihat kepada mereka yang hadir dalam majlis itu. Hal ini merupakan satu penghormatan para ulamak lain terhadap Maulana Jamshed Ali Khan. [5]

Antara karomah beliau, beliau telah mewarisi kebolehan bercakap dengan jin daripada guru-guru beliau. Di ceritakan bahawa selalu majlis pengajian dan bayan beliau akan dihadiri oleh jin-jin yang ingin turut serta dalam majlis itu. 

Diceritakan bahawa saat-saat sebelum kematian beliau, ada seorang lelaki datang menemui beliau dan memberitahu beliau bahawa beliau (lelaki itu) telah bermimpikan Rasulullah صلی اللہ علیہ وسلم di dalam mimpinya. Perbualan mereka panjang, kata Maulana Hamzah, saya telah dengar dari mulut Maulana Jamshed رحمه الله تعالى sendiri bahawasanya, beliau (Maulana Jamshed رحمه الله تعالى)  berkata beliau telah berjumpa dengan Rasulullah رحمه الله تعالى secara sedar/yaqaza, sambil beliau mengisyaratkan bahawasanya Rasulullah رحمه الله تعالى datang di hadapan beliau dengan tangannya. [6]

Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak ulamak yang pergi meninggalkan kita semua buat selamanya. Pemergian mereka tidak boleh di cari ganti. Merekalah pembimbing kita, merekalah qudwah kita. Para ulama seumpama bintang dilangit yang menjadi petunjuk kepada para pengembara, maka apabila mereka tiada, pengembara akan hilang pedoman dan langit menjadi suram tidak berseri.


الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح. آمين


Nota Kaki 
__________________

[1]. Cerita daripada guru al-faqir Syeikh Muhammad Daniel.
[2]. Ibid
[3]. Ibid
[4]. Ibid
[5]. Cerita daripada Maulana Khalid Saifullah.
[6]. Cerita daripada Maulana Hamzah Talib.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini