Ikuti Blog Ini

Saturday, May 18, 2013

Laporan Penuh Program Tuan Syeikh Nuruddin Banjari di Masjid Jamek,Sri Petaling


Alhamdulillah,semalam (17/5/2013) telah berlangsung satu majlis pengkhataman Kitab Sohih Bukhari & Penyampaian Sanad serta sijil kepada pelajar-pelajar Mahaad Dirasatil Islamiah Lil Banad,Sri Petaling (madrasah khusus untuk golongan wanita) atau lebih di kenali sebagai Madrasah Maulana Hamzah.Upacara majlis ini telah di sempurnakan oleh Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Hafidzahullah.

Majlis yang bermula sekitar 2.30 petang itu telah berjaya di sempurnakan muhibbahnya oleh Tuan Syeikh sehingga berjaya menarik ratusan orang yang dahagakan agama dan ilmu hadith daripada Tuan Syeikh.Tuan Syeikh yang datang ke Pusat Komuniti Sri Petaling itu daripada Masjid KLIA di mana beliau telah menunaikan solat Jumaat di sana kemudianya bertolak ke Majlis ini.

Kedatangan Tuan Syeikh telah di sambut oleh barisan Ulamak daripada Madrasah Miftahul Ulum ,Sri Petaling dan Mahaad Dirasatil Lil Banad sendiri dengan di ketuai oleh Syeikhul Hadith Malaysia iaitu Maulana Abdul Hamid (Mudir Madrasah Miftahul Ulum,Sri Petaling) Maulana Muhamad Mansoor Ismail,Maulana Abdul Razif ,Maulana Muhamad Hamzah,Maulana Ali dan ramai lagi para asatizah daripada kedua-dua madrasah ini.

Kelihatan Tuan Guru Syeikh di temani Maulana Mansoor dan Maulana Khalid Saifullah ketika majlis penyampaian Sanad hadith.

Tuan Guru Syeikh ketika di majlis ini

Sementara itu,selepas upacara majlis penyampaian ini,Tuan Guru Syeikh telah berkesempatan menunaikan solat Fardhu Asar secara berjemaah di Masjid Jamik Bandar Baru,Sri Petaling bersama-sama dengan ratusan jemaah yang lain.

Jemaah Masjid Bandar Baru Sri Petaling tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Ulama Nusantara Tuan Guru Syeikh Nuruddin selepas solat 'Asar.

Turut kelihatan mengiringi Tuan Guru Syeikh berangkat meninggalkan masjid ialah Maulana Ali dan Maulana Amir Hamzah.

Video rakaman penuh majlis ini di sini :
1.http://www.youtube.com/watch?v=F6aEVbUb3kg&feature=youtu.be
2.http://www.youtube.com/watch?v=yCVca05eOQ0

Friday, May 17, 2013

Tuan Guru Syeikh Nuruddin Al-Banjari Di Masjid Sri Petaling petang ini

Majlis Bersama Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari di Pusat Komuniti Masjid Jamek Sri Petaling petang ini.

Inshallah,Tuan Guru Syeikh yang kita sayangi akan datang menziarahi Masjid Jamek Sri Petaling tengahari ini (17/5/2013).Kedatangan Tuan Guru Syeikh adalah bagi memenuhi jemputan pihak Madrasah Maahad Dirasatil Islamiah Lil Banad bagi ucapara penyampaian Sanad/Ijazah dan Sijil kepada pelajar-pelajar yang telah tamat pengajian di madrasah tersebut.Madrasah tersebut sebenar lebih di kenali sebagi Madrasah Ustaz Hamzah yang mengkhususkan untuk golongan wanita sahaja.

Tuan Guru Syeikh di jangka tiba di Masjid Jamek Sri Petaling pada pukul 2.30 petang dan dan satu lagi laporan mengatakan bahawa Tuan Guru Syeikh di jangka turut menyertai solat Jumaat di masjid tersebut.Majlis penyampaian Sanad/Ijazah dan sijil kepada pelajar-pelajar akan di mulakan sebaik sahaja solat Jumaat.

Sejuk dan tenang apabila memandang wajah ulamak

Tuan Guru Syeikh  juga di gelar sebagai  al Azharus Tsani (Azhar ke Dua) kerana mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universiti al Azhar sehingga.Gelaran itu merupakan satu julukan yang terhormat dan tulus dari masyarakat universiti al Azhar sendiri.Beliau juga mewarisi sanad hadith tertinggi di dalam dunia Islam ini daripada Syeikh Yasin al-Fadani.

Friday, May 3, 2013

Qudwah Dalam Jemaah Dakwah


Majlis khatam Sahih Bukhari di Madrasah Miftahul Ulum,Sri Petaling.Gambar ini menujukan batch yang ketujuh lepasan Daurah Al-Hadith daripada madrasah ini.

Setelah menulis beberapa siri artikel dalam menerangkan penglibatan golongan ulamak di dalam Jemaah Usaha Dakwah/Tabligh di Malaysia ini,kini sudah  tiba masanya untuk saya mengakhiri siri artikel ini.Kebiasaanya,mereka yang bergiat aktif di dalam Jemaah ini akan di kaitkan dengan kejahilan dan sebagainya lagi.Di sini saya ingin mengatakan bahawa apabila Jemaah ini bergerak ketika melakukan aktiviti dakwah,mereka akan lebih tertumpu kepada kitab-kitab seperti Fadhilat A'mal,Muntakhab Al-Hadith dan Hayatush Sahabah.Tetapi apabila seseorang itu mempunyai keinginan dalam menuntut ilmu maka tiada had kepada kitab-kitab tersebut sahaja,bahkan kelas-kelas pengajian dibuka terutamanya dalam bidang hadith samaada secara umum untuk orang awam ataupun secara khusus untuk pelajar madrasah sahaja.

Walaupun begitu,di markaz Jemaah ini sama ada di Sri Petaling,Kuala Lumpur,atau di tempat-tempat lain wujud pengajian hadith,fiqh,akhlak untuk orang awam,begitu juga Ulamak-ulamak yang berada di dalam Jemaah ini mengajar kitab-kitab seperti Misykatul Masabih,Syarah Aqidah Tahawiyah,Tafsir Al-Quran,Fiqh Mazhab dan sebagainya untuk orang awam,bahkan telah ada kelas pengajian seperti Daurah Al-Hadith  untuk orang awam yang ingin mempelajarinya secara sepenuh masa seperti mana yang saya telah terangkan dalam artikel sebelum ini.

Bangunan baru di Madrasah Miftahul Ulum,Sri Petaling bakal mencatat lembaran baru apabila pengajian Takhasus Fil Hadith akan di perkenal buat pertama kalinya di Malaysia.


Sebenarnya,Jemaah ini sudah ada tajdid (pembaharuan).Jika dahulu,bilangan para alim ulamak yang turut serta di dalam Jemaah ini sangat sedikit,tetapi setelah lebih 30 tahun Jemaah ini bertapak di bumi Malaysia,peningkatan alim ulamak yang mengambil bahagian di dalam Jemaah ini meningkat.Jika dahulu,yang menggerakan struktur Jemaah ini ialah golongan “Awamunaas” (orang awam),maka kebarangkalian mereka menyampaikan sesuatu berisiko yang mengandungi kesilapan sangat tinggi.Tetapi,sekarang alhamdulillah,kebanyakan yang menyampaikan syarahan/bayan (penerangan) di dalam majlis Jemaah ini ialah mereka yang terdiri daripada para alim ulamak,paling tidak alim ulamak kalangan mereka ialah yang telah tamat pengajian secara Daurah al-Hadith.Mereka (para alim ulamak inilah di berikan peranan sebagai jurubicara di setiap majlis-majlis anjuran Jemaah ini.



Saya mengakui kadang-kala mendengar ucapan dari “awamunaas” Jemaah ini ada kalanya mengandungi kesilapan fakta,hujjah,dalil dan sebagainya.Namun tindakan mereka yang kurang cermat membakulkan bahawa semua aktivis Jemaah ini adalah sebegitu merupakan satu kesilapan besar.Saya sudah pun menerangkan bahawa di dalam Jemaah ini khususnya di Malaysia sudah mengalami tajdid/pembaharuan kerana rata-rata sekarang,setiap jemaah yang di keluarkan akan di sertakan seorang alim dan hafiz.

Salah satu tulisan tangan Syeikhul Hadith,Maulana Muhamad Zakaria rah.Maulana juga merupakan antara ulamak besar yang memayungi Jemaah ini. 

Kesimpulannya,Jemaah Usaha Dakwah/Tabligh ini merupakan satu gerakan dakwah,namun ianya agak mustahil akan terjadinya kesatuan dalam satu satu mazhab fiqh.Justuru itu,salah satu amalan yang diamalkan mesti ada sandaran dan asal dalam syariat,dan setahu saya tidak ada amalan bidaah yang diamalkan atas nama Jemaah ini,dan jika adapun,ianya adalah bersifat individu dan jumlahnya sedikit dan inshaAllah kita semua sama-sama berdoa dan berusaha untuk membaikinya,dan jika ada amalan-amalan yang bertentangan dengan amalan mana aliran di dalam masalah fiqh,maka ianya bukanlah dasar dari Jemaah ini,bahkan ianya telah dibahas dan diperincikan atas dasar mereka adalah lamak hadith dari benua India/Pakistan bukannya atas sifat mereka adalah masyaikh di dalam  Jemaah ini. 

Kebanyakan masyaikh Jemaah ini mempunyai hubungan yang kuat dengan Madrasah Darul Uloom Deoband. Apa sahaja suara Darul Uloom,Deoband maka itulah suara kebanyakan Masyaikh di dalam Jemaah ini.Sebab itulah jarang kita mendengar masyaikh di dalam Jemaah ini di kritik kerana,apabila mereka di kritik,seolah-olah Darul Ulum,Deoband juga di kritik.

Friday, April 19, 2013

Alim Ulamak Dan Jemaah Usaha Dakwah/Tabligh


Sambungan daripada artikel ini Penglibatan Golongan Ulamak Dalam Jemaah Usaha Dakwah/Tabligh

Kebanyakan madrasah milik Jemaah Usaha Dakwah/Tabligh di Malaysia ini,mereka menggunakan kaedah pengajian secara duduk bersila seperti mana yang terdapat di madrasah Miftahul Ulum,Sri Petaling dan kaedah yang sama juga di gunakan di Darul Ulum,Deoband,India.Pelajar juga di asingkan mengikut kelas (tahun pengajian) iaitu membaca kitab dari awal hingga akhir setiap kitab yang dipelajari dengan dipimpin oleh Ustaz (Qira’at ala al-Syaykh).Para pelajar ditugaskan membaca teks hadith dengan betul, kemudian guru memberi ulasan dan penjelasan atas hadith tersebut.


Dalam gambar kelihatan seperti Maulana Mufti Said Palanpuri sedang mengajar samada kitab Tirmizi atau Thahawi di Darul Ulum,Deoband.

Mereka yang tergopoh-gapah dalam memberikan kritikan kepada jemaah ini dengan ungkapan jahil dan tiada ulamak yang memayungi mereka seharusnya merenung kembali kritikan mereka.Walaupun kebanyakan Ulamak dalam Jemaah ini tidak begitu menyerlah dalam masyarakat dek kerana masyarakat lebih memandang para agamawan dari timur tengah.Namun mutakhir ini,masyarakat mula menerima para agamawan lepasan benua Hind ini dengan banyaknya kuliah-kuliah di dalam pengajian hadith di buka dan di ajar di masjid-masjid di seluruh Malaysia.Bahkan ada di antara mereka mengepalai majlis-majlis seperti Sama' Hadith,Majlis Selawat Rasul dan sebagainya lagi.

Majlis periwayatan dan pengijazahan sanad Kitab al-Syamail al-Muhammadiyyah karya Imam al-Tirmizi di KUIS.

Seperti kebanyakan pusat-pusat pengajian yang lain yang mengguna pakai sistem Daurah al-Hadith,kebanyakannya menggunakan kitab-kitab yang dipelajari sepanjang mereka berada di dalam pengajian ini ialah Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Tirmidhi, Sunan Abu Daud,
Sunan Ibn Majah (sebahagian sahaja), Sunan al-Nasa’i (sebahagian sahaja), al-Muwatta’
Malik, al-Shama’il al-Tirmidhi, Mishkat al-Masabih,Nukhbat al-Fikar li al-Hafiz Ibn Hajar,
Taysir Mustalah al-Hadith, Matan al-Bayquniyah, al-Arbain al-Nawawiyah, Riyad al-
Salihin.

Majlis bersama dengan Maulana Johari baru-baru ini di UIAM,Kuantan.

Para agamawan ini juga memainkan peranan penting di dalam kerja penterjemahan kitab-kitab bagi kegunaan aktiviti dakwah dan masyarakat Islam di Malaysia.Kerja-kerja penterjemahan kitab-kitab karya para ulamak daripada Benua Hind sedang giat di laksanakan.

Kedua-kedua kitab ini menerima sentuhan penterjemahan dari tenaga pengajar Madrasah Miftahul Ulum,Sri Petaling.

Imam Muda Amar,adalah peserta rancangan Imam Muda musim ke 2,yang telah mendapat tempat ke 3 dalam rancangan tersebut juga merupakan bekas pelajar di Madrasah Miftahul Ulum,Sri Petaling.Beliau menghafal Al Quran 30 juzuk di madrasah ini selama 3 tahun,kemudianya menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab serta mendapat sanad Hadith Al- Bukhari di Madrasah ini selama (8 tahun).

Di dalam jemaah ini,ada pelbagai jenis lapisan masyarakat,ada yang alim dan ada yang awam.Justuru itu,tuduhan bahawa Jemaah ini adalah adalah terdiri daripada orang awam yang jahil adalah tertolak kerana mereka kebanyakkan (orang awam) muqallid kepada salah satu mazahib arba'ah,dan inilah keadaan yang terbaik untuk orang awam.Adakah kita hendak minta dan suruh mereka untuk berijtihad ?,sedangkan mereka bukan ahli ijtihad,cuma boleh galakkan orang yangterlibat dalam jemaah ini supaya belajar perkara yang berkaitan dengan fardhu ain untuk diri mereka dan keluarga mereka.

p/s : Ada sambungan untuk artikel ini,inshallah.

Saturday, April 6, 2013

Ziarah Dr Ustaz Fathul Bari Ke Sri Petaling

Alhamdulillah,pada tanggal 5/4/2013,hari Jumaat,telah tercatit satu pertemuan indah yang melibatkan Dr Ustaz Fathul Bari Bin Mat Jahaya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Ilmuan Malaysia, sebelum ini dikenali sebagai Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU) dengan beberapa masyaikh di Madrasah Miftahul Ulum,Sri Petaling kelmarin.
Berikut adalah beberapa Twitt Dr Ustaz Fathul Bari dalam akaun Twitter selepas ziarah beliau.

Beberapa ulamak dalam Jemaah Usaha Dakwah/tabligh seperti Syiekhul Hadith Malaysia Maulana Abd Hamid,Maulana Mansor,Maulana Abd Razif,Maulana Amir Hamzah,Maulana Abd Wahid dan sebagainya lagi turut menyantuni Dr Ustaz Fathul Bari.Perbincangan mereka lebih tertumpu kepada ceritakan tokoh-tokoh hadith di Tanah Arab.

Thesis Dr Fathul Bari di bawah seliaan Prof Abu Laits (UIAM).Gurauan daripada Maulana Abd Wahid yang meminta thesis PHD beliau dan Dr UFB berkata beliau akan berikan setelah di jilidkan.

Semua orang termasuklah saya,beranggapan bahawa para masyaikh ini akan berbincang tentang kritikan Dr Ustaz Fathul Bari terhadap kitab Fadhilat A'mal karangan Syeikhul Hadith,Maulana Zakaria Al-Kandhalawi rah.Tetapi tidak ada perbincangan itu.Perbincangan mereka lebih tertumpu kepada perkara lain.Suasana diskusi ilmu turut di rasai meskipun pertemuan amat singkat kerana kekangan masa Dr Ust Fathul Bari sendiri.

Yang menarik perhatiannya ialah ,kesemua mereka berbual dalam bahasa Arab yang tinggi yang membuktikan betapa ilmuannya mereka.Yang menariknya,ialah rupa-rupanya Dr Fathul Bari pernah bertandang ke Masjid Sri Petaling di waktu zaman remaja dulu.

Selepas selesai pertemuan,sebelum Dr Ustaz Fathul Bari berangkat pulang,beliau telah di hadiahkan oleh Maulana Abd Razif kitab Fadhilat A'mal versi Bahasa Arab manakala Maulana Mansor turut menghadiah kitab Tuhfat al- A'izza karangan beliau sendiri.

p/s : Dr UFB mengakui kewibawaan para masyaikh Madrasah Miftahul Ulum,Sri Petaling dan berjanji akan menziarahi mereka lagi.Sama-sama berdoa ye.Maaf gambar pertemuan ada di ambil secara tersembunyi tetapi di larang untuk di siarkan di sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini