Ikuti Blog Ini

Thursday, July 20, 2017

Ucapan Takziah Para ‘Ulamā Seluruh Dunia Kepada Maulānā Yunus al-Junfurī

Ramai para 'ulama dan para masyaikh merasai kesedihan di atas pemergian Maulānā Yunus al-Junfurī rah dan mereka menulis ucapan takziah di laman-laman sosial mereka. Antara mereka ialah Syaikh Dr 'Alī al-Jumu'āh, Syaikh Farid al-Bajī, Syaikh Syarif Hatim al-'Aunī, Syaikh Dr Mahmud Sa'īd Mamduh dan yang lain-lain lagi. Insyallāh, di sini saya kongsikan sedikit "screenshot" ucapan-ucapan mereka.


Ucapan takziah daripada Bekas Muftī Besar Mesir Syaikh Dr 'Alī al-Jumu'āh

Ucapan takziah dari ‘Ulamā Hadīth Tunisia Syaikh Farid al-Bajī, bahkan beliau juga merupakan murid khas kepada Maulānā yunus al-Junfurī rah

Ucapan takziah daripada Syaikh Dr Mahir Yasin al-Fahl

Ucapan daripada ‘ulama Arab Saudī yang terkenal dengan kemoderatannya iaitu Syaikh Syarif Hatim Al-‘Aunī

Ucapan daripada ulama kelahiran institusi pengajian Nadwa’ al-‘Ulamā, Luknow, India iaitu Syaikh Maulānā Salman al-Nadwī

Ucapan takziah dari ‘Ulamā Hadīth terkenal Mesir Syaikh Dr Mahmūd Sa‘īd Mamdūh

Dan banyak lagi ucapan-ucapan takziah dari ‘ulamā di seluruh dunia yang turut bersedih di atas pemergian Maulānā Yunus al-Junfurī rah

Friday, July 14, 2017

Hilangnya Sebutir Permata ‘Ulamā Ummah Maulānā Yunus al-Junfurī

Tanggal 11 Julai 2017 bersamaan 17 Syawal 1438H, dunia Islām telah dikejutkan dengan pemergian seorang Muhaddīth hebat yang juga merupakan murid dan khalifah kepada Maulānā Zakarīyyā al-Kandhālawī rah. Pemergian Maulānā Yunus al-Junfurī rah ketika usia beliau genap 80 tahun amat menyedihkan tatkala dunia Islām sedang menanti Magnum Opus beliau iaitu Nibrās al-Sarī ilā Riyād al-Bukhārī yang merupakan sebuah syarah kepada kitab Hadīth Sahīh al-Bukhārī di dalam bahasa arab. Maulānā Yunus rah begitu sibuk untuk menyiapkan syarahan tersebut, selepas kematiannya, beberapa orang murid beliau telah ditugaskan untuk mengemas bilik beliau lalu mereka telah mendapati bahawa Maulānā Yunus rah begitu menukuni khidmat untuk menyiapkan syarahan tersebut apabila beberapa orang murid beliau telah menjumpai beberapa catatan penulisan milik beliau di atas helaian kertas dipercayai beberapa catatan penting untuk syarahan Sahīh al-Bukhārī beliau.

      Keghairahan Maulānā Yunus al-Junfurī rah dalam 'ilmu Hadīth amat luar biasa

Maulānā Yunus al-Junfurī rah merupakan Syaikh al-Bukhārī di Madrasah Mazahīr al-'Ulūm, Sahāranfūr, India. Beliau telah mengajar Sahīh al-Bukhārī selama tempoh 48 tahun iaitu sejak beliau diamanahkan oleh guru beliau iaitu Maulānā Zakarīyyā rah pada tahun 1968.

Beliau mengajar Sahīh al-Bukhārī ketika hayat guru beliau selama 14 tahun kerana guru beliau (Maulānā Zakarīyyā rah meninggal dunia pada tahun 1982). Selepas Maulānā Zakarīyyā rah berhenti dari mengajar, Maulānā Zakarīyyā rah selalu menjadikan Maulānā Yunus rah sebagai rujukan beliau. Jika ada permasalahan yang berkaitan dengan 'ilmu Hadīth, maka mereka akan berbalas surat untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Menurut Maulānā Hazim al-Mazahīrī, kiriman surat-menyurat tersebut telah dihimpunkan dan menjadi kitab 5 jilid lengkap dan dinamakan al-Yawaqīt al-Ghalīyāh fi Tahqiq wa Takhrij al-Ahadīth al-'Aliyāh.


Ada beberapa masyaikh dari arab yang datang bertalaqqi dengan beliau. Antaranya ialah Syaikh Farid al-Bajī dari Tunisia

Menurut Maulānā Dr Taqī al-Dīn al-Nadwī dan Maulānā Hazim al-Mazahīrī, kefahaman Maulānā Yunus al-Jaunfurī rah terhadap Sahīh al-Bukhārī amat luar biasa. Banyak tahqiq dan fawaid beliau ketika mensyarahkan Sahīh al-Bukhārī ini. Dikatakan beliau memahami Sahīh al-Bukhārī dari kaca mata Imām al-Bukhārī rah sendiri dan Maulānā Dr Taqi al-Dīn menggelar beliau sebagai al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalanī rah di zaman ini.


Nibrās al-Sarī ilā Riyād al-Bukhārī merupakan syarahan Sahīh al-Bukhārī yang pertama oleh Maulānā Yunus al-Junfurī rah dalam bahasa Arab.

Pengajaran Maulānā Yunus al-Junfurī rah dalam Sahīh al-Bukhārī telah dicatatkan oleh ramai anak muridnya. Beberapa kitab yang mensyarahkan Sahīh al-Bukhārī telah dihasilkan di dalam bahasa Urdu dan paling terbaru syarahan Sahīh al-Bukhārī beliau baru dihasilkan iaitu Nibrās al-Sārī ilā Riyād al-Bukhārī iaitu baru jilid pertama. Sememangnya pemergian Maulānā Yunus al-Junfurī rah merupakan satu kehilangan besar kepada dunia Islām khusus kepada penuntut 'ilmu Hadīth. 

Sebagai bukti kecintaan seorang murid kepada gurunya, Allāh ta'ala telah memilih keturunan gurunya iaitu Maulānā Talha untuk memimpin Solat jenazah beliau. Maulānā Yunus rah telah dikebumikan disebelah guru pertama beliau di Madrasah Mazahīr al-'Ulūm yang juga Syaikh pertama yang membimbing beliau dalam tarīqat dan kesufian iaitu Maulānā As'adullāh al-Ramfurī rah.


Media-media massa di India telah melaporkan bahawa lebih sejuta umat Islām telah menyolati jenazah Maulānā Yunus al-Junfurī rah.

Bahkan di beberapa negara seperti di Malaysia, U.K, South Afrika dan lain-lain lagi telah diadakan solat jenazah ghaib. Hal ini telah membuktikan bahawa penerimaan Allāh terhadap insan yang banyak berkhidmat kepada perkataan kekasih-Nya ini. al-Fatihah 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini