Ikuti Blog Ini

Thursday, April 28, 2016

Tangisan Hadrat Ji di Medan Ijtima Raiwind

Ust kami pernah cerita mengenai satu kejadian di Ijtima Raiwind, Pakistan saat Hadrat Ji Maulana Inam al-Hasan al-Kandhalawi رحمه الله ingin menyampaikan ucapan tetapi Hadrat Ji رحمه الله tidak dapat menyampaikan ucapan beliau. Apabila Hadrat Ji رحمه الله ingin memulakan ucapan, beliau telah tersedu-sedu kelihatan seperti hendak menangis. Selang beberapa minit kemudian, Hadrat Ji رحمه الله telah menangis dihadapan sekalian majma di Ijtima Raiwind.

Hadrat Ji رحمه الله tidak berupaya meneruskan ucapannya kerana terlalu bersedih, maka Maulana Umar Palanpuri رحمه الله telah mengantikan tempat beliau untuk menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut. Hadrat Ji رحمه الله dibawa masuk ke dalam bilik istirehat beliau, setibanya Hadrat Ji رحمه الله di bilik tersebut, beliau masih lagi menangis, setelah di tanya beberapa kali oleh khadim khasnya kerana ingin mengetahui punca sebenar disebalik tangisan Hadrat Ji رحمه الله ini.

Maka Hadrat Ji رحمه الله berkata, " aku telah mendapat tahu bahawasanya orang tanggungjawab jawab seluruh UK tidak datang pada Ijtima Raiwind pada kali ini, kerana dalam kalangan mereka telah berlaku perselisihan faham dan ada antara mereka yang berkecil hati antara satu sama yang lain. Di sebabkan perkara ini kesemua mereka tidak dapat hadir Ijtima pada kali ini. " dan aku tersangat sedih akan perselisihan antara mereka ini."

Lalu datang Syaikh Hafiz Patel رحمه الله (orang tanggungjawab seluruh UK) menemui Hadrat Ji رحمه الله sambil menangis. Beliau berkata " kami datang wahai Hadrat Ji رحمه الله ، tetapi kami tidak menemui Tuan kerana kami khuatir jika kami datang dan Tuan telah mengetahui perihal yang telah berlaku antara kami, sudah pasti Tuan akan menangis lebih teruk daripada sekarang ini". Jadi untuk mengelakan perkara ini, kami telah datang ke Ijtima Raiwind tanpa memberitahu akan kedatangan kami". Mendengar akan perkara ini, semua yang ada disekeliling hadrat Ji وحمه الله dan Syaikh Hafiz Patel رحمه الله telah menangis.

Lanjutan daripada kisah tangisan Hadrat Ji رحمه الله di Medan Ijtima Raiwind.
Sebenarnya apa yang menjadi kesedihan HadratJi وحمه الله ialah orang-orang tanggungjawab UK telah berkecil hati antara satu sama lain. Dalam melakukan kerja dan usaha Dakwah, kesatuan hati dan fikir diperlukan, tetapi bagaimana kesatuan hati dan fikir disatukan sedangkan orang-orang tanggungjawab pun berselisih pandangan.

Begitu juga fikir dan tumpuan diperlukan untuk usaha dakwah. Bagaimana Maulana Ilyas al-Kandhalawi رحمه الله yang selalu berkata mengenai kepentingan menjaga fikir dan tumpuan.
Kata-kata beliau " jika orang yang melakukan usaha dakwah memikirkan keduniaan, maka keduniaanlah yang tersebar ke seluruh dunia, apabila orang yang melakukan usaha dakwah memikirkan pepecahan umat, maka pepecahan umat yang akan tersebar di seluruh dunia " maka oleh itu seorang dai'i harus senantiasa menjaga fikir dan tumpuan mereka. Fikir seorang dai'i boleh memberikan kesan kepada keadaan penghuni dunia.

Saturday, April 23, 2016

Seribu Satu Kekalutan bagi Pendakwah


Melihat kepada kemelut yang dihadapi oleh Dr Zakir Naik, Mufti Menk dan beberapa pendakwah lain ketika berdakwah di sesebuah negara dek kerana mereka cuba menyentuh beberapa isu yang boleh mengundang kontroversi masyarakat ketika berdakwah.

Secara insafnya, saya merenung jauh ke dasar hati saya ini, lantas saya teringat akan hikmah besar apabila para Masyaikh Jemaah Usaha Dakwah & Tabligh (JT) menggariskan usul (tertib) ketika sedang berdakwah (khuruj fi sabilillah) kepada ahli mereka sebagaimana berikut :

1. Jangan bercakap isu semasa dan politik
2. Jangan bercakap isu khilafiah / mazhab
3. Jangan sentuh perbezaan pangkat, keturunan dan darjat
4. Jangan meminta derma

Berapa ramai dalam kalangan kami (yang mengikuti dakwah metodologi/kaedah JT) yang telah dikritik, ditohmah, difitnah, dikeji dan sebagainya lagi kerana berpegang dengan usul ini ketika berdakwah. Itu belum lagi (JT) dituduh sebagai jemaah yang jumud/ primatif, tidak mengikuti keadaan semasa ketika menyampaikan dakwah. Dituduh tidak prihatin akan keadaan umat Islam dek kerana tidak cakna dengan isu semasa yang melanda umat Islam itu biasa. Begitu juga dituduh sebagai jemaah yang tidak syumul dek kerana tidak menyantuni politik demokrasi itu rasanya banyak kali dah.

Tapi alhamdulillah ala kullihal, rupanya inilah hikmah besar. Sekadar pemerhatian saya, dakwah (JT) begitu subur dan telah sampai ke seluruh pelosok dunia tanpa menyentuh langsung 4 empat perkara tersebut. Berapa ramai manusia yang kembali sujud kepada Allah asbab pergerakan usaha dakwah (JT) ini. Semoga Allah menjaga usaha dakwah ini daripada fitnah dan gemerlapan dunia, semoga Allah istiqomahkan kita semua dan semoga Allah amkan hidayah bagi setiap umat manusia.

P/s : Usul dalam (JT) ialah benteng daripada pandangan mata orang zalim.

Tuesday, April 12, 2016

Bagaimana‬ Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī dilantik menjadi amir Jemaah Usaha Dakwah & Tabligh (JT).

Guru kita yang mulia, TG Syaikh Nuruddīn Marbu al-Banjarī telah menceritakan satu kisah bagaimana satu keadaan perbincangan diadakan bertujuan untuk melantik Amir bagi (JT) peringkat dunia. Perbincangan itu diadakan di sebuah bilik di dalam Masjid Bangla-Walī (Markaz Nizamuddīn, Delhi). Antara kibar ulamā yang menghadiri perbincangan ini sebagai panel pemilih bagi memilih calon untuk mengisi jawatan Amir tersebut ialah :

1. Maulānā Abd Qadīr al-Raifurī ( Syaikh kepada Maulānā Abul Hasan Alī an-Nadwī, Hajī Abd Wahab Markaz Raiwind)
2. Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī
3. Maulānā Fakr al-Dīn Hasan al-Muradabadī (Syaikh al-Hadīth Dār al-Ulūm, Deoband pada waktu itu (guru Sahīh al- Bukhārī kepada Maulānā Shaukat Alī )
4. Maulānā Ihtisham Hasan al-Kandhālawī

Keempat-empat ini kibar ulamā ini diberikan keutamaan sebagai panel pemilih di mana Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī bertindak sebagai faisala (pembuat keputusan) untuk perbincangan ini.

Dalam buku yang saya, pengarang tidak menamakan calon-calon bagi mengisi jawatan Amir (JT) ini. Namun hasil maklumat perkongsian daripada rakan-rakan Fb , mereka memberitahu saya bahawasanya ada 4 orang calon yang telah dicadangkan untuk mengisi jawatan tersebut. Antara 4 calon tersebut ialah:

1. Maulānā Daūd al-Mewatī
2. Maulānā Syed Abul Hasan Alī an-Nadwī
3. Maulānā Ubaid Allāh al-Balyawī
4. Maulānā Inam al-Hasan al-Kandhālawī

Ketika berlangsungnya perbincangan tersebut, keempat-empat panel pemilih telah mencadangkan 4 nama tersebut. Maka selepas berselawat kepada Nabi صلى الله عليه وسلم . Maka Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī selaku faisala telah memutuskan untuk membuat keputusan.

Sebelum beliau membuat keputusan, beliau telah membuat satu bentuk iklan iaitu beliau telah berkata, " saya minta kepada semua yang berada dalam majlis (perbincangan) ini untuk bangun meninggalkan majlis ini kecuali bagi mereka yang pernah melihat malaikat". Maka bangun kesemua orang hadir dalam perbincangan ini meninggalkan majlis ini kecuali tinggal dua orang sahaja iaitu Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī sendiri dan menantunya Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī.

Lalu menangislah Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī seraya berkata, "rupa-rupanya rahsia saya selama ini (yakni beliau pernah melihat malaikat) telah diketahui oleh seseorang dan seseorang itu ialah Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī".

Maka selepas itu, Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī terus mengisytiharkan bahawasanya amir bagi (JT) ialah Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī. Beliau telah menjadi amir bagi (JT) sehingga pada tahun 1995. Di bawah seliaan beliau usaha (JT) terus berkembang sehingga ke dunia arab, eropah, latin telah menerima dakwah dari (JT). Semoga Allāh ta'ala merahmati beliau dan seluruh para masyaikh. Amin thumma amin.

‪#‎tanbih‬

1.Kisah di atas memaparkan satu bentuk karomah yang Allāh ta'ala telah berikan kepada Maulānā Zakariyya al-Kandhālawī dan Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī. Sebagai seorang yang beriman kepada Allāh, perkara mengenai karomah tersebut bukan sesuatu yang mustahil bagi Allāh. Bagi manusia yang sejahtera akal dan hatinya apabila melihat sesuatu bentuk karomah, maka keimanan dan keyakinannya kepada Allāh terus bertambah meningkat.

2. Imām as-Sayutī juga telah menulis satu risalah menerangkan bolehnya manusia melihat Nabi dan para Malaikat secara jaga/ yaqaza. Boleh baca risalah beliau bertajuk "Tanwir al-Halak fi Imkan Ru’yah an-Nabi wa al-Malak".

P/s: Maulānā Sayyid Shahīd al-Sahāranfurī berkata, " Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī dipilih menjadi amir bagi (JT) adalah kerana beliau telah mencapai tahap kerohanian yang tinggi dalam jalan kesufiannya dan dalam masa yang sama beliau ialah Syaikh al-Hadīth di Madrasah Kashf al-Ulūm, Nizamuddīn. Beliau juga telah disediakan oleh Maulānā Ilyās al-Kandhālawī untuk membantu Maulānā Yusuf al-Kandhālawī dalam urusan pergerakan dakwah (JT).

Sumber rujukan

1. Kemungkin TG Syaikh Nuruddīn Marbu al-Banjarī mendengar kisah ini daripada para masyaikh kita sendiri. Untuk pendetilan, kena bertanya pada beliau sendiri.
2. Kisah ini juga boleh dirujuk dalam Manaqib Maulānā Inam Hasan al-Kandhālawī, oleh Maulānā Sayyid Shahīd al-Sahāranfurī.

Friday, April 8, 2016

Senarai Jumlah Pelajar Dar al-Ulum, Deoband dari tahun (1866-1994)


Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Dr Dietrich Reetz mengenai jumlah penuntut ilmu yang pernah mendapat pengajian di Dārul 'Ulūm Deoband (India) yang datang dari seluruh dunia ialah seperti berikut.

Senarai penuh jumlah penuntut ilmu mengikut negara masing-masing.

1. India (20379 orang)
2. Bangladesh (2154 orang)
3. Pakistan (1524 orang)
4. Malaysia (518 orang)
5. Afrika (237 orang)
6. Burma (160 orang)
7. Nepal (119 orang)
8. Afghanistan (118 orang)
9. Russia/ Soviet Union (70 orang)
10. China (44 orang)
11. Britian (21 orang)
12. Turkestan (20 orang)
13. Sri Langka (19 orang)
14. USA (16 orang)
15. Iran (11 orang)

Jumlah penuntut ilmu mengikut negara-negara Asia Tenggara.

1. Malaysia (518 orang)
2. Burma (160 orang)
3. Thailand (8 orang)
4. Kamboja ( 1 orang)
5. Indonesia (1 orang)

Dalam himpunan keseluruhan senarai pelajar mengikut negara yang pernah melanjutkan pengajian di Dārul 'Ulūm Deoband, penuntut ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia menduduki tangga keempat (dari seluruh dunia) iaitu seramai 518 orang yang pernah mendapat pengajian di India (Darūl 'Ulūm Deoband).

Masyallah, ramainya orang Malaysia yang menuntut ilmu di India (Darūl 'Ulum Deoband). Jika ada mana-mana pihak yang boleh melakukan kajian ilmiah menjejaki saki-baki bekas-bekas pelajar penuntut ilmu dari Malaysia yang pernah belajar di India (Darūl 'Ulum Deoband) pasti ianya sangat menarik sekali. Rekod ini diambil sejak dari tahun penubuhan Dārul 'Ulūm Deoband iaitu pada tahun 1866M sehingga pada tahun 1994M (1283H-1414H).

Rujukan
1. Travelling Islam-Madrasa Graduates From India and Pakistan in the Malay Archipelago, Journal No.8, terbitan tahun 2013.
2. Data Perangkaan rasmi dari Majalah Dārul 'Ulūm Deoband, terbitan tahun 2001, bilangan no 11, hlm 43.

Thursday, April 7, 2016

Semua‬ ulama hadīth adalah Sufi

Saya tidak tahu kenapa saya boleh sebak tatkala saya mendengar syarahan daripada Maulana Salman Nadwi pada malam tadi. Hati ini begitu terkesan apabila Maulana menyebut satu persatu nama para ulama yang telah menghimpunkan dua ilmu iaitu hadith dan Sufi dalam kehidupan mereka.

Kemudiannya Maulana menyebut nama para Imam seperti Imam Junaid Baghdadi, Imam Qadi Iyadh, Imam Iraqi, Imam Nawawi, Imam Zahabi, Imam Sayuti, Imam Ibnu Tamiyyah, Imam Ibnu Qayyim , Imam Shah Wali Allah, Imam Shah Abd Aziz , Imam Shah Muhammad Ishaq dan sebagainya lagi contoh bagi memberitahu bahawasanya para ulama ini semuanya adalah muhaddith dan pengamal Sufi.

Maulana Salman Nadwi juga membuat pendedahan pada malam tadi dengan memberitahu bahawasanya pelopor kepada gerakan Ahli Hadith (Ghair Muqallid) di benua Hindustan iaitu Maulana Nazir Husain dan Maulana Nawab Siddiq Hasan Kannauji juga merupakan Sufi di mana Maulana Nazir Husain telah berbai'ah kepada guru beliau iaitu Imam Shah Muhammad Ishaq manakala Maulana Nawab Siddiq Hasan Kannauji telah mengambil bai'ah ditangan Maulana Fazlur Rahman Ganjmuradabadi. Hal ini merupakan satu tamparan hebat buat seorang "Maulana" yang beraliran Ahli Hadith (Ghair Muqallid) di Malaysia yang telah mendakwa bahawa Sufi mempunyai pengaruh dari Syiah.



Juga Maulana Salman menyebut semalam tokoh seperti Maulana Anwar Shah Kashmiri, Maulana Yusuf Binnouri, Maulana Ashraf Ali Thanwi, Maulana Yusuf kandhalawi, Maulana Ilyas Kandhalawi dan Maulana Zakariyya kandhalawi. Kesemua mereka ini merupakan ulama hadith hebat dan juga merupakan pengamal Sufi.

Kata Maulana Salman Nadwi lagi, kesemua ulama yang berada di atas muka bumi ialah mereka-mereka yang menjadi imam @ jagoan dalam ilmu hadith dan mereka menjadi imam @ jagoan dalam sufi.

Friday, April 1, 2016

Maulana Zakariyyā al-Kandhalawi dan Para Muridin

Saya teringat cerita Maulana Sayyid Shahid al-Saharanfurī tempoh hari mengenai kehidupan harian datuknya iaitu Maulana Zakariyyā al-Kandhalawi رحمه الله .
Menurut Maulana Shahid, Maulana Zakariyyā رحمه الله akan memperuntukan masa beliau untuk bersama dengan para muridnya yang datang untuk berzikir ijtima'i bersama dengan beliau. Kebanyakan para muridnya ini datang dari kawasan yang jauh-jauh yang menyebabkan mereka terpaksa menjadi tetamu Maulana Zakariyyā رحمه الله .

Sepanjang mereka menjadi tetamu Maulana Zakariyyā رحمه الله، mereka telah diberikan makan & minum oleh maulana Zakariyyā رحمه الله . Jumlah mereka tidak kurang dari 50-100 orang. Semua makan-minum mereka ditanggung oleh maulana Zakariyyā رحمه الله .
Maulana Zakariyyā رحمه الله langsung tidak pernah meminta duit perbelanjaan harian mereka. Bahkan ada di antara mereka berkata, sepanjang kami menjadi tetamu kepada maulana Zakariyyā رحمه الله ، kami tidak pernah lapar.

Kata Maulana Shahīd, sebenarnya apa yang telah dibuat oleh maulana Zakariyyā رحمه الله itu ialah sifat Ikram maulana Zakariyyā رحمه الله dalam melayani tetamu dan sikap Maulana Zakariyyā رحمه الله dalam mendidik para muridnya dalam menghargai para salik.

Lihatlah,Para mursyid yang berjalan atas Tarīqat Sufi yang haq mereka sanggup berhabisan harta dalam membentuk peribadi para muridnya. Tarbiah tidak terbentuk dengan sendiri melainkan tunjuk ajar daripada mursyid yang kamil.

Mursyid yang kamil tidak akan menyusahkan para muridnya apatah lagi bertindak mengumpulkan kekayaan atas jalan kesufian. Mursyid yang bertindak mengumpulkan kekayaan melalui para muridnya atas nama kesufian adalah seorang yang khianat terhadap disiplin kesufian itu sendiri. Dirinya langsung tidak layak digelar sebagai mursyid apatah lagi untuk dinisbahkan dengan kesufian.

Nota Penting

[1]. Kisah ini diceritakan oleh Maulana Sayyid Shahid al-Saharanfurī ketika mengadakan majlis bersama beliau di Masjid  Di Raja Sultan Ismail Petra Kubang Kerian,Kelantan pada 3/2/2016.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini