Ikuti Blog Ini

Saturday, August 23, 2014

Nasihat Daripada Haji Abdul Wahab حفظه الله

Pernah sekali di dalam kelas, guruku menceritakan tentang kisah seorang lelaki yang khuatir akan rezeki anak-anaknya. Cerita tersebut adalah seperti berikut.

Sekali, satu orang lelaki tua telah datang kepada Haji Abdul Wahab حفظه الله [1] dan telah meminta beliau mendoakan anak-anaknya. Lelaki tua itu berkata kepada Haji Saheb حفظه الله [2]  bahawa beliau mempunyai 3 orang anak, yang pertama seorang hafiz Al-quran, yang kedua sedang belajar Kejuruteraan dan yang ketiga sedang belajar Kedoktoran.

Kata lelaki tua ini kepada Haji Saheb حفظه الله, Haji Saheb حفظه الله tolong doakan rezeki anak saya yang sulung ini kerana beliau seorang hafiz Al-quran !, kemudian Haji Saheb حفظه الله bertanya, kenapa kamu tidak minta untuk aku doakan sekali 2 orang lagi anak kamu? Lelaki tua itu pun menjawab bahawa kedua-dua anaknya ialah sedang belajar Kejuruteraan dan Kedoktoran. Aku tidak khuatir akan rezeki mereka berdua, cuma yang aku khuatir ialah rezeki anak aku yang menjadi hafiz Al-Quran ini.


Rezeki orang-orang yang bertakwa sudah dijamin oleh Allah سبحانه و تعالى

Mendengar penjelasan oleh lelaki tua itu, Haji Saheb حفظه الله terperanjat dan lantas memarahi seraya berkata kepada lelaki tua itu, kamu yang sepatutnya lebih risau akan rezeki kedua-dua anak itu iaitu yang sedang belajar Kejuruteraan dan Kedoktoran kerana mereka tiada jaminan perlindungan rezeki dari Allah سبحانه و تعالى tetapi seorang yang menghafal Al-Quran, pasti Allah سبحانه و تعالى yang akan memilihara  rezekinya sebagaimana Allah سبحانه و تعالى memilihara perkataanNya di dalam Al-quran. Insyallah.

Apabila mendengar nasihat Haji Saheb حفظه الله, terus lelaki itu beredar dan terpancar penyesalah diraut wajahnya kerana sangkaan buruknya terhadap urusan rezeki anaknya itu. Tak lama kemudian seperti mana yang diceritakan oleh guruku bahawa lelaki tua itu telah berjumpa kembali dengan Haji Abdul Wahab حفظه الله dengan memberitahu bahawa beliau mengambil keputusan untuk menjadikan kesemua anak-anaknya sebagai hafiz Al-quran.



Nota Kaki
__________________________________

1. Haji Abdul Wahab حفظه الله @ Syeikh Abdul Wahab حفظه الله  ialah seorang penanggungjawab Dakwah/Tabligh di pusat Dakwah negara Pakistan iaitu Markaz Raiwind,Punjab, Pakistan. Seluruh kehidupan beliau dihabis di dalam kerja-kerja agama.Beliau banyak berdamping dengan ulamak seperti Maulana Ali Lahori rah, Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi rah, Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi rah, Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah dan ramai lagi.Beliau juga turut berbi'at dari segi jalan kerohanian (tariqat Chistiyyah) di tangan Maulana Abdul Qadir Raipuri rah. Beliau antara khalifah Maulana Abdul Qadir Raipuri yang masih hidup. ( Rujuk Sawanih Maulana Abdul Qadir Raipuri rah oleh Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi rah).

2. Haji Abdul Wahab juga dikenali sebagai Haji Saheb di Pakistan.

Thursday, August 14, 2014

Analisis Ringkas Terhadap Pengajian Agama di MUSP

Ada kawan-kawan meminta saya membuat sedikit analisis mengenai keupayaan corak pengajian yang diperkenalkan di Madrasah MIftahul Ulum Sri Petaling (MUSP) dan perbezaan antara pengajiannya dengan Darul Uloom Deoband.

Sedikit analisis dari saya : 

1.Tiada perbezaan besar, kerana kebanyakan guru-guru hadith yang mengajar di MUSP adalah lepasan madrasah-madrasah yang berorientasikan Darul Uloom Deoband.Antaranya mudir MUSP sendiri iaitu Maulana Abdul Hamid Chin حفظه الله adalah lepasan Darul Uloom Faisalabad,Pakistan. Di Darul Uloom Faisalabad ini, beliau berguru dengan Maulana Abdul Rahman Mianwi rah, Maulana Abdul Haq Akhorwi rah dan Maulana Abdul Halim rah yang mana ketiga-tiga guru Maulana Abdul Hamid حفظه الله ini adalah murid kepada Syeikhul Islam Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani rah yang merupakan Syeikhul Hadith pada ketika itu di Darul Uloom Deoband. Hal ini bermakna bahawa para pelajar yang menamatkan pengajian di MUSP akan dianugerah ijazah sanad muttasil para akabir Deoband seterusnya muttasil sehingga ke Amirul Mukminin Fil Hadith Imam Bukhari rah dan seterusnya muttasil sehingga ke Rasulullah صلی اللہ علیہ وسلم .

2. Adapun perbezaan kecil hanya tertakluk atas beberapa muqarar/silibus pembelajaran kerana Darul Uloom Deoband lebih cenderung kepada Mazhab Hanafi dari segi pentarjihan/menguatkan dalilnya manakala MUSP lebih kepada Mazhab Syafie dari segi pentarjihan/menguatkan dalilnya. Adapun dalam perbahasan ilmiah di dalam kelas, pelbagai pandangan dibahaskan bergantung kepada isti'dad/kemampuan para pelajar untuk merungkai setiap permasalahan yang dibahaskan.

3.Usia penubuhan Darul Uloom Deoband sudah hampir menjangkau 150 tahun manakala usia penubuhan MUSP baru hendak menjangkau 15 tahun. Banyak perkara lagi yang perlu diperbaiki,diperkemas dan dipertingkatkan lagi untuk berdiri sama gah dengan Darul Uloom Deoband.Insyallah.

4. MUSP juga tidak hanya menjadikan Darul Uloom Deoband sebagai panduan dalam mengurus madrasahnya, bahkan MUSP juga menjadi Madrasah Arabia Raiwind,Pakistan sebagai panduan. Antaranya teknik pengajian Bahasa Arab di MUSP adalah berorientasikan pengajian di Madrasah Arabia Raiwind. Pengajian Bahasa Arab di Madrasah Arabia Raiwind antara yang dipuji dari segi keberkesananya di dunia arab dan MUSP juga mengaplikasi kaedah pengajian ini untuk para pelajarnya di MUSP.


Pembinaan asrama untuk para pelajarnya sedang giat dilaksanakan. Gambar ini diambil oleh penulis sekitar bulan April 2014.

5. Kebanyakan graduan lepasan MUSP apabila menyambung pelajaran di Timur Tengah (Yaman, Jordan, Mesir, Maghribi) tidak menghadapi masalah dari segi pertuturan Bahasa Arab. Bahkan ada diantara para pelajar lepasan MUSP ini dilantik oleh beberapa Syeikh Arab di sana untuk mengajar pelajar-pelajar lain kemahiran berbahasa arab.

6. Dari segi ilmu alat, para pelajar MUSP diakui menpunyai ilmu alat yang mantap untuk mendalami kitab-kitab besar. Hal ini diakui oleh beberapa orang Syeikh yang datang mengadakan daurah di MUSP. Di MUSP juga ilmu alat amat dititip beratkan kerana untuk menjadi seorang yang faqih dalam disiplin ilmu agama, ilmu alat adalah tunjang utamanya.


Kaedah pengajian di MUSP ini ialah secara duduk bersila, mengikut
kelas (tahun pengajian) iaitu membaca kitab dari awal hingga akhir setiap kitab (dari kulit ke kulit) yang dipelajari dengan dipimpin oleh guru (Qira’at ala al-Syeikh). Pelajar ditugaskan membaca teks hadith dengan betul, kemudian guru memberi ulasan dan syarahan. Gambar ini diambil ketika penulis melakukan lawatan peribadi ke kelas ini sekitar April 2014.

7. Oleh kerana MUSP merupakan milik Jemaah Tabligh Malaysia (Markaz Dakwah/Tabligh Masjid Sri Petaling), maka para pelajarnya juga digalakan mengambil bahagian dalam setiap aktivi dakwahnya. Bahkan jika ada aktiviti besar seperti Ijtimak, para pelajar ini dilibatkan juga seperti melakukan aktiviti khidmat dan sebagainya lantas mewujudkan jambatan penghubung antara para pelajar ini dengan orang-orang awam. Hal ini secara tidak langsung membentuk karakter dan sifat bakal golongan "warisatul anbiya" ini apabila menamatkan pembelajaran nanti.

8. Kebanyakan pengajian kitab (alim) di MUSP, para pelajarnya adalah terdiri daripada para hufaz 30 juzuk dan ini adalah sebagai satu indikasi kepada kemampuan hafalan mereka apabila mereka memasuki pengajian kitab (alim) nanti.


Maktabah MUSP tersimpan barisan kitab-kitab. Gambar ini diambil ketika penulis melakukan lawatan peribadi ke maktabah ini sekitar April 2014.

9. MUSP juga mengorak selangkah kehadapan dengan akan memperkenalkan pengajian peringkat lanjutan Dauratul Hadith iaitu Takhasus Fil Hadith buat pertamanya di Malaysia mengikut sistem madrasah  Dars Nizami di Malaysia. Pengajian peringkat Takhasus Fil Hadith kini dalam proses mengumpul segala bahan-bahan pengajarannya. Pengajian Takhasus Fil Hadith ini akan diajar oleh Maulana Hazim Mazahiri dimana syaratnya (seperti mana yang diterangkan kepada penulis oleh beliau sendiri) ialah mestilah lepasan Dauratul Hadith yang mendapat keputusan Mumtaz/cemerlang dan Jayyid Jiddan/sangat baik dalam imtihan.

10. Ada kalangan para MUSP yang berjaya menyambung pembelajaran peringkat Takhasus dalam bidang Hadith di India, Pakistan, South Afrika. Ada juga yang menyambung pembelajaran di peringkat Takhasus dalam bidang Feqah di Yaman, Mesir, Syria, Maghribi,Jordan dan lain-lain lagi.Hal ini membuktikan bahawa sistem pengajian di MUSP diperakui oleh institusi-institusi pengajian agama di luar negara.

Artikel yang saya cadangkan untuk dibaca selepas artikel diatas.
1. http://wirapendang.blogspot.com/2013/12/pelan-perancangan-madrasah-miftahul.html
2. http://wirapendang.blogspot.com/2014/03/apakah-itu-dauratul-hadith.html
3. http://wirapendang.blogspot.com/2014/04/doa-maulana-zakariyya-kandhalawi-dan.html
4. http://wirapendang.blogspot.com/2014/05/pengajian-dauratul-hadith-darul-uloom.html

P/s : Demikian adalah sedikit sebanyak, analisis ringkas saya secara peribadi terhadap keupayaan MUSP dalam menghadapi cabaran dalam menyediakan ummat Islam kepada satu sistem pengajian turath yang bersistematik dan berkesan di Malaysia.Walau bagaimanapun saya bebas menerima sebarang kritikan,pembetulan daripada mana-mana pihak.

Friday, August 8, 2014

Amalan Khas Para Masyaikh Ketika di Timpa Musibah

Situasi di Palestin kini kian meruncing, tiada perlindungan daripada mana-mana negara, melainkan perlindungan Allah سبحانه و تعالى. Oleh itu, kembalikan tawajuh ummat Islam kepada Allah سبحانه و تعالى. Dulu, ketika fitnah Komunis melanda umat Islam di negara-negara bekas jajahan Soviet Union, para masyaikh Dakwah dan Tabligh tidak putus-putus berdoa. Pernah sekali, Maulana Muhammad Umar Palanpuri rah berkata kepada seorang ahbab dari negara Uzbekistan bahawa sudah 15 tahun aku istiqomah berdoa buat negara kamu. Hari ini kamu jadi saksi bahawa Allah  سبحانه و تعالى menqabulkan doa aku dengan membawa kamu dihadapan aku.

Maulana Yusof Motala حفظه الله, murid kepada Qutub Aqtab Raisul Muhadithin Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah telah ditanya mengenai situasi di Palestin, maka beliau menjawab, terus istiqomah memohon doa akan tetapi membaca juga 125,000 kali sehari dalam kalangan keluarga, kawan-kawan dan mengajak ummat membaca akan kalimah ini.


لا إلهَ إلا أنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظّالِمِيْنَ

Kata Maulana Yusof Motala حفظه الله, ini adalah amalan khas daripada Qutub Aqtab Raisul Muhadithin Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah ketika ditimpa musibah. Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah ketika ditimpa musibah, beliau akan mengarahkan keluarga terdekat, kemudian rakan-rakan dan orang lain membaca akan kalimah ini.

Sementara itu, Haji Abdul Wahab حفظه الله juga ditanya mengenai perkara yang sama, beliau akan menyuruh membaca 313 kali sehari paling minimum, lebih banyak lagi bagus akan kalimah ini.

لا إلهَ إلا أنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظّالِمِيْنَ

dan ditambah dengan bacaan ini 

 اللهم اِنَّنا نَجْعَلُ فى نُحُورِ أعداءِنَا و نَعُوذُ بِك مِن شُرُورِهِم, اللهم بَدِّدْ شَمْلَهُم و فَرِّقْ جَمْعَهم و شَتِّتْ كَلِمَتَهم و زَلْزِلْ أَقْدَامَهم و سَلِّطْ عليهم كَلْبًا مِن كِلَابِ
يا قهَّار , يا جبَّار , يا مُنْتَقِم , يا الله , يا الله , يا الله , يا رب العالمين

Bacaan ini hendaklah dibaca setiap kali selepas solat  sebanyak 10 kali. Kata Haji Abdul Wahab  حفظه الله, jika seseorang itu tidak ada habuan hidayah di sisi Allah سبحانه و تعالى, pasti Allahسبحانه و تعالى   akan binasakannya.

Semoga Allah سبحانه و تعالى beri kita kekuatan untuk istiqomah atas setiap amalan ini. Kepada Allah سبحانه و تعالى jualah tempat kita mengadu dan memohon pertolongan. Amalan ini telah diijazahkan oleh para masyaikh Dakwah dan Tabligh di Nizamuddin dan Raiwind untuk setiap orang Islam mengamalkannya. Penulis diminta oleh Al-Fadhil Maulana Hamzah Talib حفظه الله untuk menulis akan artikel ini supaya setiap ummah mendapat faedah darinya.

Perlu diingat bahawa tuduhan orang-orang jahil lagi tidak beradap tentang isu Palestin dan isu-isu umat Islam sejagat tidak mendapat tempat dihati para masyaikh Dakwah dan Tabligh adalah tidak benar sama sekali. Bahkan perkembangan yang berlaku di seluruh dunia ini turut mendapat perhatian dari para masyaikh. Mereka merintih dalam munajat mereka, memohon kesejahteraan daripada Allah سبحانه و تعالى buat umat ini. Mereka juga senantiasa berusaha tanpa berputus asa untuk mengajak umat Islam kembali kepada kehidupan yang sebenar, mendekat umat kepada kehidupan sunnah Rasul صلی اللہ علیہ وسلم dan menjauhkan ummat daripada kehidupan orang-orang Yahudi dan Nasrani.

Friday, August 1, 2014

Laporan Sekitar Majlis Pelancaran Dan Perasmian Kitab Selawat Barakat Makkiyyah

Alhamdulillah, pada tanggal 19 Julai 2014 bersamaan 21 Ramadhan 1435 H telah berlangsung satu majlis iaitu Majlis Pelancaran Dan Perasmian Kitab Selawat Barakat Makkiyyah yang diadakan di dewan solat utama Masjid Al-Falah USJ 9. Program ini telah dirancang sebulan yang lalu bagi memperkenal kitab Al-Barakat al-Makkiyah Fi ‘l-Salawat al-Nabawiyyah kepada masyarakat umum secara umumnya. Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar, majlis yang dijadualkan berlangsung pada selepas zohor itu telah berjalan seperti lanjarnya.
Poster rasmi untuk mengiklan majlis ini.

Iklan dan hebahan hanya dibuat pada 2 minggu terakhir sebelum majlis bermula, tapi kehadiran masyallah, boleh dikatakan hampir seribu orang yang hadir jika dicampurkan antara lelaki dan wanita. Seawal pukul 12 tengahari, para hadirin telah memenuhi perkarangan masjid. Kaunter pendaftaran hanya dibuka selepas zohor bagi memudahkan para peserta untuk mendapatkan kitab secara percuma setelah mereka berjaya mendaftar secara di atas talian (online) melalui medium perdaftaran yang disediakan oleh pihak penganjur iaitu melalui laman web kitabselawat.com. Pihak kami hanya akan menyediakan 200 kitab selawat secara percuma kemudiannya, selepas pendaftaran dibuka selama 2 minggu, ditambah kepada 113 buah kitab selawat lagi dan jumlah keseluruhan adalah 313 buah kitab selawat yang akan diberikan secara percuma kepada mereka yang mendaftar awal. 

Antara yang mengejutkan kami ialah kaunter pendaftaran kami telah diserbu oleh hadirin yang tidak berjaya mendaftar secara online. Dianggarkan jumlah hadirin yang mendaftar secara manual lebih ramai kerana bilangan mereka yang mendaftar adalah berkelompok-kelompok. Pada perkiraan saya, jumlah mereka tidak lebih daripada 400 lebih orang yang berbuat sedemikian. Hal ini mengambarkan sambutan hangat dalam hadirin yang sangat mendambakan majlis-majlis Mahabatul Rasul صلی اللہ علیہ وسلم seperti ini. Sambutan dari kalangan jemaah muslimat juga amat menggalakan. Alhamdulillah. 

Kaunter pendaftaran dikerumi oleh para peserta bagi mendapatkan kitab secara percuma. Alhamdulillah sebanyak 313 buah kitab berjaya diedarkan. Semoga Allah سبحانه و تعالى memberikan kebaikan yang berterusan kepada penginfaknya.

Maulana Hamzah Talib حفظه الله menyampaikan tausiyyah dengan mengajak hadirin supaya mencontohi kehidupan para sahabat  رضي الله عنهم dalam mencintai Nabi صلی اللہ علیہ وسلم.

Majlis berlangsung pada awal dengan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dato Sri Syed Zainal selaku nazir masjid Al-Falah USJ 9 kemudian majlis dimulakan. Slot yang pertama dimulakan oleh Al-Fadhil Maulana Hamzah Talib حفظه الله selaku murid pengarang kitab paling senior ketika menuntut di Jamia Ashrafia,Lahore,Pakistan. Kemudian majlis diserikan lagi dengan bacaan Naat/qasidah memuji Sayyiduna Nabi صلی اللہ علیہ وسلم. Bacaan naat ini amat popular di negara India/Pakistan. Ketika bacaan Naat ini, ramai yang sebak lantas mengalirkan air mata kerana kerinduan kepada Sayyiduna Nabi صلی اللہ علیہ وسلم .

Maulana Wan Aswadi حفظه الله ketika mengalunkan bacaan Naat. Mungkin pada umumnya merasa sedikit keganjilan kerana belum didedahkan mana-mana majlis yang di dalam mengalunkan bacaan Naat. 

Kemudian majlis diteruskan lagi dengan pengisian manaqib pengarang kitab oleh seorang lagi pengarang kitab iaitu Maulana Hasnul Hizam Hamzah حفظه الله . Manaqib pengarang kitab diceritakan oleh Maulana Hasnul حفظه الله sangat-sangat berkesan dihati, mujahadah guru beliau yang juga pengarang kitab selawat ini sangat-sangat menyentuh perasaan kami. Saya juga ada menulis sedikit manaqib Maulana Musa Ruhani al-bazi  رحمة الله عليه di sini.

Maulana Hasnul Hizam Hamzah حفظه الله memberitahu bahawa beliau mempelajari kitab Jami Tirmizi dari pengarang kitab selawat Maulana Musa Ruhani al-bazi  رحمة الله عليه iaitu pada tahun 1997. Pada tahun 1998 Maulana Musa Ruhani al-bazi  رحمة الله عليه  telah meninggal dunia.

Kemuncak majlis ialah penerangan mengenai kitab Al-Barakat al-Makkiyah Fi ‘l-Salawat al-Nabawiyyah oleh Maulana Muhammad Razif Mazahiri  حفظه الله . Dalam penerangan oleh Maulana Muhammad Razif Mazahiri  حفظه الله,beliau telah menerangkan kelebihan, cara membaca kitab dan harapan pengarang kitab tersebut kepada mereka-mereka yang hendak beramal dengan kitab tersebut. Maulana juga memimpin bacaan 1 hizb dari kitab selawat tersebut. Maulana juga merupakan individu terpenting dalam menerbitkan kitab selawat ini di Malaysia.
Orang ramai memenuhi dewan solat utama di masjid ini. 

Pancaran LCD projektor digunakan ketika bacaan kitab selawat secara beramai-ramai. 

Maklum balas yang diterima dari mereka-mereka yang hadir masyallah sangat memberangsangkan. Ada yang meminta supaya diadakan setiap bulan. Kami juga terperangkat apabila dalam data senarai kehadiran kami menunjukan bahawa kehadiran bukan setakat dari Selangor/ Kuala Lumpur tetapi ada yang sanggup datang sejauh Sarawak,Sabah,Pulau Pinang, Terangganu, Johor,Kelantan dan banyak lagi. Semoga Allah سبحانه و تعالى menganugerahkan ganjaran yang setimpal atas pengorbanan mereka-mereka yang sanggup datang dari jauh semata-semata untuk bersama-sama dalam majlis ini. Segala kekurangan dan kesulitan ketika berlangsungnya majlis ini amat dikesali. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini