Ikuti Blog Ini

Tuesday, August 27, 2013

"SOHIH MUSLIM" BUKAN BACAAN AWAM

Kitab Fadhilat A'mal yang di kemas kini oleh Maktabah Ilmiah,MUSP.

Sebelum ini timbul satu polemik dari mereka yang mempunyai pemikiran yang dangkal selalu melemparkan tuduhan seperti  "mengapa kalian membaca kitab Fadhilat A'mal ,sedangkan di dalamnya di penuhi dengan hadith-hadith yang lemah,lebih baik kalian membaca kitab Sahih Bukhari dan Muslim kerana di dalamnya di jamin seratus peratus mempunyai hadith-hadith yang sahih-sahih belaka".

Pemikiran sebegini adalah satu pemikiran yang jumud dan tidak memahami fiqh dakwah dalam realiti sesuatu jemaah.Adakah dengan menyuruh satu orang tidak pernah mengenali mushaf-mushaf al-quran serta amalan-amalan agama  yang lain tetapi di suruh membaca kitab Sahihain itu.Perlu di ketahui bahawa mereka yang melibatkan diri di dalam usaha Jemaah ini adalah terdiri daripada kalangan para ulamak dan golongan awamun naas (orang awam).Justuru itu,kita perlu menilai semula,apakah kaedah untuk mendidik mereka ini.

Sebenarnya apabila kita berada dalam Usaha Jemaah Tabligh ini,kita terikat dengan usul,adab dan tertibnya.Tetapi apabila kita di lapangan infradi kita bebas untuk melakukan dakwah sesuai dengan kemampuan kita seperti menulis,memberikan syarahan dan sebagainya.Begitu juga dengan kaedah menuntut ilmu,di dalam usaha Jemaah Dakwah dan Tabligh,kita tidak terikat dengan satu kitab sahaja,cuma dalam menuntut ilmu maka tiada had kepada kitab-kitab tersebut sahaja,tetapi apabila di kelas-kelas pengajian dibuka terutamanya dalam bidang hadith sama ada secara umum untuk orang awam ataupun secara khusus untuk pelajar-pelajar madrasah.Di MUSP,Markaz Jemaah Tabligh di Sri Petaling,Kuala Lumpur sendiri, ada pengajian hadith, fiqh akhlak untuk orang awam dan para aktivis Usaha Jemaah  Tabligh sendiri,begitu juga Ulamak-ulamak Usaha Jemaah  Tabligh sendiri mengajar kitab seperti Kutubus Sittah, Misykatul Masabih,Syarah Aqidah Tahawiyah,tafsir 30 juzuk, Fiqh Sunnah dan sebagainya untuk orang awam mahupun pelajar-pelajar madrasah.

Untuk kembali ke perbincangan asal berkaitan tajuk di atas,saya lampirkan artikel yang di tulis oleh Ustaz Umar Muhammad Noor dan ini FB rasmi beliau https://www.facebook.com/umarmnoor.


Artikel ini bukan ingin menghalangi anda dari membaca Sahih Muslim. Sebaliknya, tulisan ini hanya ingin menempatkan Sahih Muslim di tempat yang sepatutnya.

Kelas Pengajian Sahih Muslim di ajar di Kelas Dauratul Hadith di Madrasah-Madrasah milik Usaha Jemaah Tabligh.


Kitab Sohih Muslim (tajuk aslinya: Al-Musnad Al-Shahih Al-Mukhtasar min Al-Sunan bi Naql al-’Adl ’an al-’Adl ’an Rasululillah Saw) adalah antara mahakarya dalam ilmu hadis yang paling unggul. Hadis-hadis yang tercantum di dalamnya berasal dari 300 ribu hadis yang telah disaring dengan teliti, lalu diperlihatkan kepada berbagai pakar hadis di masanya untuk penyemakan silang. Hasilnya, kitab Sahih Muslim menjadi salah satu rujukan terpenting untuk mendapatkan hadis-hadis yang sahih berasal dari Nabi Saw.

Dari Abu Hamid Ibn Al-Syarqi, berkata Imam Muslim: “Tidaklah aku mencantumkan hadis di dalam Musnad ini melainkan dengan hujjah. Dan tidaklah aku menggugurkannya melainkan dengan hujjah.”[1]

Berkata Makki bin ‘Abdan: Aku mendengar Muslim berkata: “Aku perlihatkan kitab Musnad-ku ini kepada Abu Zur’ah. Setiap hadis yang beliau katakan mengandungi ‘illat, maka aku tinggalkannya. Dan setiap hadis yang beliau katakan sahih dan tidak ada ‘illat, maka itulah yang aku cantumkan. Andai seorang ahli hadis menulis hadis selama 200 tahun, niscaya ia hanya akan berputar di sekitar kitab Musnad ini juga.” [2]

Apabila membaca Sahih Muslim, saya yakin bahawa kitab ini murni berorientasi hadis, bukan fiqh. Maksud saya, perhatian utama Imam Muslim apabila menyusun kitab ini lebih tertuju kepada memastikan kesahihan suatu riwayat ketimbang istinbat hukum yang terkandung di dalamnya. Maka hanya pembaca yang menguasai logik dan perspektif ahli hadis sahaja yang dapat memahami isyarat-isyarat Imam Muslim dalam kitab ini dan menggali imu-ilmu yang tersembunyi di dalamnya. Adapun pembaca yang pikirannya hanya tertuju kepada istinbat hukum, apalagi orang awam yang tidak mengkaji ilmu alat dengan sempurna, maka keduanya tidak mungkin dapat menggunakan kitab ini sepertimana yang diinginkan oleh penulisnya sendiri.

Kitab Sahih Muslim berbeza dengan Sahih Al-Bukhari. Jika Al-Bukhari sangat aktif memperlihatkan “ijtihad pribadinya” setiap kali meriwayatkan hadis, seperti yang terlihat dalam tajuk-tajuk babnya, Muslim menulis kitabnya tanpa bab-bab bertajuk. Siapa yang mengkaji kitab ini pasti yakin bahawa Imam Muslim mengelompokkan hadis-hadisnya dalam suatu kelompok tertentu, namun beliau tidak menamakan kelompok itu dengan tajuk tertentu.[3] Beliau hanya menyebutkan nama kitab (misal: kitab Solat) lalu mengisinya dengan hadis-hadis dari berbagai sanad. Para ulama terkemudian, salah satunya Imam Al-Nawawi, menamakan kumpulan menjadi bab-bab yang bertajuk tertentu.[4]

Susunan (tertib) hadis-hadis dalam sahih muslim diiktiraf memiliki nilai ilmiah yang sangat tinggi sehingga sebahagian ahli hadis menempatkan kitab ini di atas Sahih Al-Bukhari karenanya. Imam Muslim biasa membuka kumpulan hadis (atau bab) dengan hadis-hadis bermutu tinggi (dikenal dengan istilah usul), lalu mengiringinya dengan hadis-hadis lain yang memiliki kandungan yang mirip namun dengan sanad yang berbeza (mutabaat dan syawahid). Jaminan sahih hanya diberikan kepada hadis-hadis kategori usul, sementara mutabaat dan syawahid nilainya sangat beragam. Sebahagiannya sahih, namun tidak sedikit juga yang daif karena ‘illat yang terkandung di dalamnya.

Membezakan hadis-hadis usul daripada mutabaat dan syawahid sangat penting disadari oleh setiap orang yang membaca dan mengkaji kitab ini untuk tujuan istinbat hukum. Kebanyakan, kalau tidak semua, kritikan yang ditujukan kepada sahih Muslim tertuju kepada hadis-hadis dalam kategori mutabaat dan syawahid.[5] Sementara hadis-hadis usul, kalaupun ada kritikan yang tertuju kepadanya, maka kebenaran selalunya memihak kepada Imam Muslim. Kegagalan membezakaan hadis-hadis Sahih Muslim ini hanya akan membawa kekeliruan dalam menilai hadis, selanjutnya menyebabkan kesalahan dalam membangun akidah dan fiqh pegangan kita.

Dan, harus diakui, hanya para pakar hadis yang dapat melakukan tugasan ini dengan baik, bukan orang yang tidak pernah mengkaji ilmu hadis dengan mendalam ataupun orang awam. Imam Abu Ismail Abdullah bin Ahmad Al-Ansari (w. 481H) pernah berkata: “Kitab Al-Tirmidzi menurutku lebih bermanfaat daripada kitab al-Bukhari dan Muslim. Sebab kedua kitab ini tidak dapat dikeluarkan faedah (ilmu-ilmu) daripadanya melainkan oleh seorang ulama yang sangat pakar. Adapun kitab Al-Tirmidzi, maka semua orang boleh mengambil faedah daripadanya.”[6]

Anda mungkin bertanya: Jika benar ada hadis-hadis mutabaat dan syawahid di dalam Sahih Muslim, apa sebenarnya maksud dan tujuan Imam Muslim meriwayatkan hadis-hadis ini?

Jawapan untuk soalan ini sangat beragam dan berbeza satu hadis dengan yang lain. Di bawah ini, saya akan menyebutkan sebahagian daripada motif-motif tersebut sebagaimana pengamatan saya apabila membaca hadis-hadis yang terkandung di dalam kitab ini. Saya akan menyebutkan satu misal yang diambil dari kitab Sahih Muslim untuk menjelaskan perkara ini secara lebih praktikal.

1. Sebagai  Penguat Kandungan Hadis Usul.

Ini adalah motif utama Imam Muslim meriwayatkan hadis-hadis mutabaat dan syawahid selepas hadis usul, yakni sebagai penyokong sekaligus bukti bahawa hadis usul yang ia riwayatkan ini tidak syadz, malah memiliki jalur yang cukup banyak.

Motif ini jelas sekali dapat kita temukan dalam berbagai tempat di Sahih Muslim. Salah satunya dalam kitab bersuci (al-Taharah), Imam Muslim meriwayatkan hadis Ibn ‘Uyainah, dari Abu Al-zinad, dari Al-A’raj, dari Abu Hurairah, bahawa Nabi Saw bersabda: “Apabila salah seorang kamu beristinja dengan batu, maka beristinjalah tiga kali. Dan jika seseorang kamu berwudhu, maka masukkanlah air di hidungnya lalu hembuskanlah.”[7]

Beliau lalu menyokong hadis ini dengan riwayat Abdurazzaq, dari Ma’mar, dari Hammam, dari Abu Hurairah, dari Nabi Saw: “Jika salah seorang kamu berwudhu, maka masukkanlah air ke hidungnya lalu hembuskanlah.”[8]

Selanjutnya, diikuti dengan hadis Malik, dari Ibn Syihab, dari Abu Idris Al-Khaulani, dari Abu Hurairah, bahawa Nabi Saw bersabda: “Sesiapa yang berwudhu, maka masukkanlah air di hidungnya. Dan sesiapa yang beristinja dengan batu, maka ganjilkanlah.” Riwayat ini dikuatkan dengan riwayat Yunus, dari Ibn Syihab, dari Abu Idris, dari Abu Hurairah, dari Nabi Saw dengan lafaz yang serupa.[9]

Hadis ini lalu diikuti dengan hadis Ibn Al-Had, dari Muhammad bin Ibrahim, dari ‘Isa bin Talhah, dari Abu Hurairah, bahawa Nabi Saw bersabda: “Jika salah seorang kamu bangkit dari tidurnya, maka masukkanlah air ke hidungnya tiga kali. Sebab setan menginap di lubang hidungnya.”[10]

 Bab ini lalu ditutup dengan riwayat Abdurazzaq, dari Ibn Juraij, dari Abu Al-Zubair, dari Jabir, bersabda Nabi Saw: “Apabila salah seorang kamu beristinja dengan batu, maka ganjilkanlah.”[11]

Semua riwayat yang disebutkan ini sahih dan saling menyokong satu sama lain. Imam Muslim menyusunnya dengan sangat teliti dan menempatkan sanad yang terkuat sebelum sanad yang lebih rendah daripadanya.

2. Menunjukkan Tambahan (ziyadah) Di Dalam Sanad.

Dalam kitab Al-Radha’ (susuan), Imam Muslim meriwayatkan dari Sufyan Al-Thauri, dari Muhammad bin Abi Bakar, dari Abdul Malik bin Abi Bakar bin Abdurahman bin Al-Harith bin Hisyam, dari bapanya, dari Umi Salamah bahawa Nabi Saw apabila mengawininya menetap bersama selama tiga hari.[12] Hadis ini bersambung (muttasil) dari awal hingga ke akhirnya.

Setelah hadis ini, Imam Muslim lalu meriwayatkan dari Malik, dari Abdullah bin Abi Bakar, dari Abdul Malik bin Abi Bakar, dari Abdul Malik bin Abi Bakar, dari Abu Bakar bin Abdurahman, dari Nabi Saw.[13] Hadis ini mursal sebab ia tidak menyebutkan sahabat yang menghubungkan antara Abu Bakar bin Abdurahman dan Nabi Saw. Riwayat ini disokong oleh riwayat Sulaiman bin Bilal, dari Abdurahman bin Humaid, dari Abdul Malik bin Abu Bakar yang meriwayatkannya secara mursal seperti riwayat Malik.[14]

Ini menunjukkan adanya ikhtilaf di dalam sanad hadis ini, adakah ianya muttasil ataukah mursal. Kenyataan Imam Muslim mendahulukan hadis Sufyan yang muttasil menunjukkan bahawa beliau memilih untuk mensahihkan hadis ini dan menerima sanad Sufyan sebagai ziyadah thiqat. Beliau lalu menyokongnya dengan riwayat Abdurahman bin Ziyad, dari Abu Bakar bin Abdurahman, dari Umi Salamah di akhir bab.[15]

3. Menunjukkan Kesalahan Perawi di Dalam Sanad.

Kebalikan daripada kes ini adalah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim di Mukaddimah Sahih-nya, dari Muadz Al-‘Anbari dan Ibn Mahdi, keduanya dari Syu’bah, dari Khubaib bin Abdirahman, dari Hafs bin ‘Asim, bahawa Nabi Saw bersabda: “Cukuplah seseorang berdusta, jika ia menceritakan semua yang ia dengar.”[16] Hadis ini mursal sebab Hafs bin ‘Asim bukan seorang sahabat, jadi tidak pernah berjumpa dengan Nabi Saw.

Imam Muslim lalu meriwayatkan setelahnya hadis dari ‘Ali bin Hafs, dari Syu’bah, dengan sanad dan matan seperti di atas, hanya sahaja ia berkata:dari Hafs bin ‘Asim, dari Abu Hurairah, dari Nabi Saw.[17] Jadi, ‘Ali bin Hafs menyebutkan di dalam sanad hadis ini nama Abu Hurairah, sementara murid-murid Syu’bah yang lain tidak menyebutkannya.

Imam Muslim mengisyaratkan bahawa tambahan ini lemah dan tertolak dengan meletakkan hadis mursal riwayat Mu’az dan Ibn Mahdi sebelum hadis ‘Ali bin Hafs. Hadis ini, dengan begitu, adalah mursal menurut Imam Muslim.[18]

4. Menunjukkan Kesalahan Perawi dalam Menyebut Nama.

Di awal kitab Al-Talak, Imam Muslim menyebutkan berbagai hadis-hadis berkaitan dengan kisah Ibn Umar ra yang menceraikan isterinya dalam keadaan haid, lalu Rasulullah Saw memerintahkannya untuk merujuk isterinya kembali.[19] Di akhir bab, beliau menyebutkan hadis Hajaj bin Muhammad, dari Ibn Juraij, dari Abu Al-Zubair, bahawa ia mendengar Abdurahman bin Ayman Maula ‘Azzah bertanya kepada Ibn Umar: “Apa pendapatmu jika seseorang menceraikan isterinya dalam keadaan haid?” Ibn ‘Umar menjawab: ...[20]

Imam Muslim menyebutkan setelah ini sebuah riwayat dari Abdurazzaq, dari Ibn Juraij, Abu Al-Zubair memberitahuku: bahawa ia mendengar Abdurahman bin Ayman Maula ‘Urwah bertanya kepada Ibn ‘Umar...[21]

Imam Muslim berkata: “Ia keliru mengatakan: Maula ‘Urwah, sebenarnya adalah: Maula ‘Azzah.”

5. Menunjukkan Kekeliruan Perawi dalam Matan Hadis.

Di kitab Solat Al-Musafirin wa Qasruha, Imam Muslim meriwayatkan hadis Malik bin Anas, dari, Abu Al-Zubair, dari Said bin Jubair, dari Ibn ‘Abbas: “Rasulullah Saw pernah menjamak zuhur dan asar,, maghrib dan isyak, bukan karena takut dan safar.”[22]

Ini adalah sanad yang paling kuat bagi hadis ini karena diriwayatkan oleh tokoh-tokoh fiqh dan hadis dari Madinah. Apalagi, Imam Malik disokong oleh Zuhair bin Mu’awiyah yang meriwayatkan hadis ini dari Abu Al-Zubair dengan sanad dan lafaz yang sama.[23]

Beberapa hadis setelahnya, Imam Muslim meriwayatkan dari Sulaiman Al-A’masy, dari Habib bin Abi Thabit, dari Said bin Jubair, dari Ibn Abbas dengan lafaz yang sama. Hanya sahaja, ia berkata di akhirnya: “bukan karena takut dan hujan.”[24]

Imam Muslim sengaja menyebutkan riwayat ini untuk menunjukkan kekeliruan yang terdapat di dalam matannya. Seharusnya adalah: “bukan karena takut dan safar” seperti riwayat Malik dan Zuhair. Perkara tersebut dijelaskan oleh tokoh-tokoh besar ahli hadis dari kalangan mutaqaddimin seperti Ibn Khuzaimah, Al-Baihaqi dan Ibn Abdil Bar.[25] Pendapat ini lebih kuat dibandingkan penilaian tokoh-tokoh mutaakhirin seperti Ibn Taymiah dan Syeikh Al-Albani yang mensahihkan riwayat Habib bin Abi Thabit ini.[26] Wallahu a’lam.

6. Menjelaskan Tambahan Kata Di Dalam Hadis.

Imam Muslim meriwayatkan dari jalur Malik, dari Nafi’, dari Ibn ‘Umar bahawa beliau menceraikan isterinya dalam keadaan haid di masa Nabi Saw. Umar bin Al-Khattab menceritakan perkara itu kepada Nabi Saw. Maka Baginda bersabda: “Perintahkan ia untuk merujuknya, lalu membiarkannya hingga suci (dari haid), lalu haid lagi hingga suci. Setelah itu, jika ia berkehendak, sila menahannya. Atau jika ia berkehendak, sila menceraikannya. Itulah ‘iddah yang Allah perintahkah untuk menceraikan isteri padanya.”[27]

Setelah hadis ini, Imam Muslim membawakan riwayat Al-Laith, dari Nafi, dari Ibn ‘Umar: bahawa beliau menceraikan isterinya yang tengah haidtalak satu ...”[28] Riwayat ini membawa tambahan lafaz yang tidak terdapat di dalam riwayat Malik. Dan orang yang meriwayatkan tambahan ini seseorang yang layak dipercaya, iaitu Imam Laith bin Saad, maka tambahan ini boleh diterima sebagai ziyadah thiqat. Berkata Muslim: “Al-Laith memperelok hadis ini dengan ucapannya: talak satu.”

Berkata Al-Nawawi apabila menjelaskan ucapan ini: “Maksudnya, Al-Laith mengingat dan memastikan kadar talak yang tidak diingat oleh orang lain. Beliau tidak mengabaikannya seperti orang lain mengabaikannya. Beliau tidak ikut keliru seperti orang-orang lain yang mengatakan bahawa talak tersebut adalah talak tiga. Berbagai riwayat Muslim saling menguatkan bahawa talak itu adalah satu.”[29]

Apa yang saya sebutkan di atas hanyalah sebahagian daripada maksud dan tujuan Imam Muslim meriwayatkan hadis-hadis mutabaat dan syawahid di dalam kitab Sahihnya sesuai dengan pengamatan saya. Ianya ini masih dapat ditambah lagi apabila pembaca kitab ini meneliti setiap riwayat yang beliau sebutkan dengan persepektif ahli hadis. Bahasan ini, menurut saya, penting untuk dijadikan objek kajian dan penelitian para penuntut ilmu hadis sebagai satu sumbangan ilmiah untuk mempelopori kajian kritis karya-karya ahli hadis mutaqaddimin.

Sejauh ini, saya melihat orang-orang yang mengkaji kitab-kitab hadis seperti Sahih Muslim dan lain-lain hanya terbagi menjadi dua kelompok sahaja. Kelompok pertama: orang-orang yang membacanya dari awal hingga akhir tanpa kajian mendalam dan hanya untuk sanad dan ijazah belaka. Kelompok kedua: orang-orang yang mencuba mengkaji kitab-kitab ini dengan kritis namun menggunakan perspektif fuqaha yang hanya tertuju kepada kandungan matan hadis tanpa memiliki kepakaran dalam kajian sanad. Pada saat ini, saya melihat sudah tiba masanya untuk melahirkan kelompok ketiga yang mengkaji hadis dengan perspektif ahli hadis yang mementingkan kajian sanad dan istinbat matan bersama-sama. Wallahu a'lam.

Wasallallahu 'ala sayyidina muhammadin wa ála alihi wa sahbihi wa sallam. Walhamdulillahi rabbil 'alamin.


Umar Muhammad Noor,
Woodlands, Singapore, 6 March 2011

_______________________
footnote:

[1] Al-Hafiz Ibn Solah, “Siyanah Sahih Muslim”, tahqiq Faried Abdul ‘Aziz Al-Jundi, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, hal. 11.
[2] Al-Hafiz Ibn Solah, ibid.
[3] Berkata Ibn Al-Solah, ibid, hal. 32: “Imam Muslim menyusun kitabnya dengan bab-bab, kitab ini asalnya mengandungi bab-bab, namun beliau tidak menyebut tajuk-tajuknya agar tidak bertambah tebal kitab atau karena sebab yang lain.”
[4] Lihat Muqaddimah Syarh Muslim Imam Al-Nawawi, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, hal. 26.
[5] Sila perhatikan pelbagai jawaban Al-Nawawi di dalam Syarh Muslim terhadap kritikan Al-Daruqutni.
[6] Al-Hafiz Muhammad bin Tahir Al-Maqdisi, “Syurut Al-Aimmah Al-Sittah”, tahqiq Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Maktab Al-Matbuát Al-Islamiah, hal. 101.
[7] Bab ganjil dalam memasukkan air ke hidung dan beristinja dengan batu, nombor (560).
[8] Nombor (561).
[9] Nombor (5620 dan (563).
[10] Nombor (564).
[11] Nombor (565).
[12] Bab kadar hak seorang gadis dan janda, nomor 3621.
[13] Nomor 3622.
[14] Nomor 3623 dan 3624.
[15] Nomor 3625.
[16] Mukaddimah, bab larangan menceritakan semua yang didengar, nomor (7).
[17] Nomor (8).
[18] Lihat Al-Hafiz Ib Rasyidudin Al-‘Attar, “Gurar Al-Fawaid”, tahqiq Abu ‘Ubaidah Masyhur bin Hasan Al Salman,  hal. 741.
[19] Bab haram menceraikan isteri yang tengah haid tanpa ridhanya, hadis nombor (3652) hingga (3669).
[20] Hadis nombor (3670) dan (3671).
[21] Hadis nombor (3672).
[22] Bab Jamak Solat untuk mukim, nomor (1628).
[23] Nomor (1629).
[24] Nomor (1633).
[25] Berkata Ibn Khuzaimah di Sahihnya 2/85, “Adapun riwayat ahli Irak bahawa Nabi Saw menjamak solat di Madinah bukan karena takut dan hujan, maka ianya keliru dan salah, juga bercanggahan dengan pendapat semua ahli solat (kaum muslimin).” Lihat juga ucapan Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra 3/238, Ibn Abdil Bar 12/214.
[26] Lihat Majmuk Fatawa 12/275 dan Irwa Al-Ghalil 3/34. Jika riwayat Habib bin Abi Thabit ini sahih, maka ia menjadi dalil bagi kebolehan melaksanakan jamak meski tanpa uzur musafir, khauf ataupun hujan. Sebahagian menjadikannya alasan untuk membolehkan jamak tanpa uzur jika dilakukan hanya sesekali sahaja dan tidak menjadi kebiasaan. Pendapat ini keliru meskipun dinisbahkan kepada sebahagian ulama salaf.
[27] Bab haram menceraikan isteri yang tengah haid tanpa ridhanya, hadis nombor (3652).
[28] Nombor (3653).

[29] Syarh Sahih Muslim 5/215. Imam Muslim merasa perlu menegaskan kadar talak yang dijatuhkan oleh Ibn ‘Umar ini untuk membantah beberapa riwayat yang mengatakan bahawa Ibn ‘Umar menjatuhkan talak tiga lalu Nabi Saw memerintahkannya untuk merujuk kembali isterinya. Jika sahih riwayat ini, maka ia menjadi dalil bagi sebahagian ulama yang berpendapat bahawa talak tiga yang dilafazkan sekaligus hanya jatuh satu sahaja. tentu sahaja, ini bertentangan dengan pendapat jumhur ulama dari berbagai mazhab yang menghukuminya jatuh talak tiga.

Thursday, August 15, 2013

Penerangan Syeikhul Hadith Darul Ulom,Deoband Tentang Penggunaan Fadhilat A’mal Oleh Jemaah Usaha Dakwah Dan Tabligh

Pendekatan tarbiah perlu didasarkan atas fitrah yang diberikan Allah Swt kepada manusia seperti keinginan terhadap kekuatan,kenikmatan kesenangan hidup,dan kehidupan abadi yang baik serta ketakutan akan kepedihan,kesengsaraan dan kesudahan yang buruk.Maka atas dasar itu juga adanya pendekatan Tarhgib wa Tarhib dalam Usaha Jemaah Usaha Dakwah & Tabligh.

Al-Syeikh Qari Muhammad Tayyib’ rah telah memberi jawapan terhadap kemusykilan diatas dengan panjang Iebar.Beliau berkata bahawa ada orang yang membangkang Jemaah Tabligh dengan mengatakan bahawa orang-orang Jemaah Tabligh hanya menerangkan tentang Fadhilat A’mal. Mereka tidak menerangkan tentang Masail.Sedangkan agama akan menjadi betul dengan Masail.

Memang betul, setelah mendengar fadhail  semangat beramal akan datang dalam hati tetapi apabila masail tidak dipelajari ada kemungkínan bahawa orang ramai disesatkan dengan perantaraan semangat dan dorongan untuk beramal tanpa usul periksa. Yang pastinya akan mendatangkan natijah bahawa orang ramai akan terlibat dengan bidaah.Apa-apa yang dikatakan orang bahawa amalan Jemaah Tabligh,kita ini akan menyebabkan manusia akan terlibat dengan bidaah hanyalah satu anggapan dan perkara yang mungkin akan berlaku. Perkara yang patut kita perhatikan ialah apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Dalam masa empat puluh tahun (Usaha Tabligh sudah berjalan) berapa ramaikah umat yang telah terlibat dengan bidaah ? Tinggal lagi masalah tidak menerangkan tentang masail, Sekiranya persoalan itu kita jawab dengan mengatakan bahawa. “Mulanya kami menerangkan tentang fadhail dahulu dengan tujuan untuk menimbulkan semangat beramal dalam kalangan umat selepas itu kami akan sebarkan masail pula.” Jawapan ini pun sebenarnya tidak betul.Hal ini adalah kerana setelah empat puluh tahun Usaha Tabligh berjalan apakah sampai sekarang semangat beramal belum timbul-tímbul ? Jawapan yang betul ialah sememangnya Jemaah Tabligh hanya menerangkan tentang Fadhail namun mereka tidak mengingkari masail. Apakah ada Jemaah Tabligh mengatakan bahasa jangan kamu bertanya mengenai masail agama daripada sesiapa pun? Sama sekaIi mereka tidak pernah mengatakan demikian.

Al-Syeikh rah Maulana Qari Muhammad Tayyib Qasmi ialah Mudir Darul Ulum Deoband.Beliau ialah seorang ulama Islam dan pemidato yang ulung dan masyhur.Beliau memimpin Darul Ulum Deoband selama lebih setengah abad bermula dari tahun 1928 sehingga tahun 1980.
Jawapan kedua ialah ada berbagai medan dan berbagai jalan dalam menjalankan usaha.Ada yang melakukan usaha dengan belajar dan mengajar,ada yang berusaha melalui ceramah dan pengajian da nada yang melalui siasah serta hikmah.Mereka (Jemaah Tabligh) juga telah memilih satu jalan,mereka menerangkan tentang Fadhilat A’mal lantas menimbulkan semangat dan keghairahan beramal dalam diri orang ramai.Untuk mereka memilih semua jalan usaha tidaklah semestinya dan tidaklah perkara itu mungkin di lakukan.

Sebelum tuan-tuan sendiri memulakan mana-mana usaha,maka tuan semestinya telah menentukan beberapa tujuan dan juga prinsip usaha tuan itu dan tuan juga telah menentukan jalan usaha tuan.Tuan tidak akan memasukkan semua perkara dalam usaha tuan itu.Habis kenapa pula tuan inginkan orang-orang Tabligh memasukkan semua perkara dalam usaha mereka ? Walau bagaimana pun,jika ada orang yang membangkang maka dengarlah bangkangan mereka itu dengan baik,namun kamu (ahli Jemaah) tetap jalankan kerja kamu sebagaimana biasa.Usaha yang kita jalankan itulah yangakan menjadi jawapan kepada semua bangkangan.

Ringkasnya,hasil daripada usaha Jemaah Tabligh ialah wujudnya semangat dan keghairahan untuk beramal dalam diri orang ramai.Setelah semangat itu wujud,maka terserah kepada seseorang itu ingin terlibat dengan jalan usaha yang mana.Keadaan yang dapat kita lihat ialah apabila seseorang itu ada keghairahan ke arah sesuatu perkara maka dia sendiri akan berusaha sungguh-sungguh untuk menyempurnakan keghairahannya itu dengan cara yang betul.

Jika dalam diri kamu sudah ada semangat dan ghairah agama dan kamu ada keinginan untuk mengetahui tentang masail maka kamu pergilah berjumpa dengan ulama atau pergilah ke madrasah dan tanyalah tentang masail itu.Jangan sibuk dengan urusan lain yang sia-sia dan untuk sibuk dengan membuat bangkangan demi bangkangan adalah kerja orang yang mencari alasan sedangkan dia sendiri tidak ingin melakukana kerja.

Sebagaimana saya telah nyatakan sebelum ini bahawa bagi setiap jemaah ada sasaran dan cara mereka yang tersendiri maka untuk kamu sertakan  perkara lain kepadanya adalah sama sekali tidak cocok.Apabila jemaah itu telah tetapkan satu objektif untuk mereka,maka kamu sepatutnya membiarkan perkara itu sedemikian.

Sebenarnya manfaat daripada usaha Tabligh telah terang dan jelas lebih daripada sinar matahari iaitu semangat dan keghairahan untuk mengamalkan agama telah timbul dalam hati ribuan malah jutaan manusia dan lantaran semangat dan keghairahan agama itu betapa banyak amalan-amalan bidaah telah lenyap daripada umat.Jika tidak kerana usaha Tabligh,di mana kita akan dapati orang-orang yang sanggup mengorbankan diri sendiri,harta sendiri,menanggung makan-minum sendiri bersafar jauh-jauh semata-mata untuk Allah Swt dan agama-Nya.Manfaat yang di dapati daripada usaha Tabligh kamu tidak sebarkan sebaliknya perkara yang tidak termasuk dalam rancangan mereka kamu jadikan bahan asa bangkangan kamu,ini bukanlah satu cara yang betul.

Sebenarnya islah diri ada empat bahagian dan empat cara.Satu himpunan yang cantik telah berlaku iaitu keempat-empat cara itu ada dalam usaha Tabligh.Bersuhbah (berdamping) dengan orang soleh pun ada,zikir dan fikir pun ada,’muwaakhah fillah (persaudaraan kerana Allah Swt) pun ada dan akhir sekali muhasabah diri pun ada.Dan himpunan keempat-empat cara itulah sebenarnya Jemaah Tabligh.Tida ada cara lain lahi yang lebih baik untuk islah orang awam lebih dariapada cara itu.Dengan cara inilah agama terus tersebar.Dalam setiap Negara seruan terus menerus di sampaikan yang dengan perantaraannya aqidah orang ramai diperbetulkan.Orang ramai dengan lajunya maju dalam amalan agama dan setiap orang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membentuk kehidupan mereka tepat dengan acuan kehidupan Nabi Saw.Sekurang-kurangnya,orang-orang yang ingin membangkang hendaklah meletakan laporan-laporan hasil usaha Jemaah Tabligh ini di hadapan mereka lantas berfikir dan renunglah dengan hati yang tenang.

Untuk itu,sepatutnva kamu masuk sendiri  dalam  usaha Jemaah Tabligh  dan lihatlah apakah faedah yang telah di dapati. Kamu kena terlibat sendiri dengan usaha Tabligh maka kamu sendiri akan dapat merasakan apakah faedah yang kamu dapat.Dan dapatkanlah maklumat daripada pengalaman kamu sendiri. Sesiapa sahaja yang datang pada kerja Tabligh ini dengan niat yang baik pasti dia akan mendapat kesan yang baik juga. Dalam usaha ini ada dakwah kepada  kalimah laillahaillah,usaha atas solah, hubungan baik dengan rakan dalam jemaah,ada zikir, ada muhasabah dan ada banvak lagi perkara baik yang lain. Otch kcrana itulab. dengan sebab usaha ini banvak kebaikan dan kebajikan yang datang dalam kehidupan manusia. Berapa ramai orang-orang yang jahat telah menjadi baik dengan sebab jemaah, hinggakan dapat dilihat bahawa orang-orang yang telah rosak aqidahnya telah berubab menjadi orang yang betul aqidahnya.


Bangkangan hanyalah boleh diterima daripada orang yang telah terlibat sendiri dengan sesuatu perkara itu. Bangkangan dari luar  biasanya tidak perlu diterima. Jika ada sesiapa yang setelah terlibat dengan usaha Tabligh buat bangkangan maka itu patut dan betul. Namun orang-orang yang sudah terlibat dalam usaha jemaah tidak pula membuat bangkangan kerana setelah mereka terlibat maka mereka dapat lihat manfaat daripada usaha. Lantaran itu dapat diketahui bahawa segala bangkangan adalah bangkangan luaran yang tidak perlu diterima. Sebenarnya ulama di madrasah pun tidak sunyi daripada bangkangan malah Allah dan Rasul-Nya pun tidak sunyi danpada bangkangan.


Di petik daripada Muqadimah Kitab Fadhilat A'mal versi 2013 dan sedikit suntingan daripada saya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini