Sekiranya  kita melihat apa yang banyak berlaku di sekitar kita hari ini,perebutan jawatan kepimpinan sesama umat Islam bukanlah suatu yang  asing.Apabila ini berlaku, maka banyaklah perkara yang tidak sepatutnya  berlaku telah pun berlaku.Hubungan persahabatan dan persaudaraan  sesama  Islam banyak yang menjadi renggang dan tegang.
Hal inilah  antara senario semasa yang agak menyedihkan.Hanya kerana jawatan  kepimpinan tertentu, kita sesama umat Islam malah satu bangsa bertelagah  tidak henti-henti. Pelbagai adegan yang begitu buruk dan mencemarkan  imej umat Islam sentiasa mengiringi perbalahan rebut jawatan.Perbuatan  melondeh aib sudah menjadi perkara biasa.Kata-kata cacian, kesat dan  keji dihambur sesama sendiri.Apa yang tidak ada dan tidak pasti,  sengaja ditimbulkan dan diada-adakan. Sehingga hal-hal dalam kain dan  selimut pun habis diselongkar dan dicanang. Harta dan wang jadi  pertaruhan.Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengeluarkan  larangan dengan firman-Nya,
وَلا  تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ  يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ  اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
“Janganlah  mencari-cari keburukan orang dan jangan pula saling memburuk-burukkan  (memfitnah) di antara satu sama lain. Adakah sesiapa di antara kamu yang  suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu  merasa jijik dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah  Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujuraat, 49: 12)
Rasulullah Saw juga telah memberi amaran,
سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
“Mencaci orang muslim adalah perbuatan fasiq dan membunuhnya (tanpa haq) adalah perbuatan kufur.” (Muttafaq ‘alaih)
Jika  kita perhatikan dengan baik, sekiranya bukan kerana urusan merebut  jawatan dan kerusi politik,nescaya mereka tidak akan bertindak sebegitu  rupa dengan saling mencaci sesama sendiri.
Sebenarnya  secara syar’i, meminta-minta jawatan kepimpinan itu sendiri sahaja  sudah ditegah. Inikan pula mahu berebut-rebutan sehingga bergasak sesama  sendiri. Sungguh buruk rupa keadaannya. Dalam beberapa hadis, Nabi  Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menasihatkan dan mengingatkan supaya tidak  memberikan sebarang jawatan kepimpinan kepada sesiapa sahaja yang  memintanya.
Dalam  sebuah riwayat yang sahih, Abu Musa al-Asy’ari r.hu  bersama-sama dua orang sepupunya datang berjumpa Rasulullah. Kemudian,  salah seorang dari sepupu Abu Musa pun berkata kepada Rasulullah, “Wahai  Rasulullah, jadikanlah kami pemimpin kepada salah satu daerah (wilayah)  yang Allah Ta’ala telah berikan kepadamu.” Seorang lagi dari sepupu Abu  Musa pun menyatakan hasrat yang sama. Maka Rasulullah Saw bersabda,
إِنَّا وَاللَّهِ لَا نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ وَلَا أَحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ
“Demi  Allah, kami tidak akan memberikan kerusi kepimpinan ini kepada sesiapa  pun yang meminta dan berusaha ingin mendapatkannya.” (Hadis Riwayat  Muslim, 9/344, no. 3402)
Imam  an-Nawawi rah (Wafat: 676H) meletakkan hadis ini dalam  kitabnya, Riyadhus Shalihin dan Syarah Shahih Muslim pada bab, “Larangan  Meminta Kerusi Kepimpinan dan Berusaha Mendapatkannya.”
Dalam hadis yang lain, beliau Saw juga bersabda,
إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الْإِمَارَةِ وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Kamu  selalu berusaha (atau berhasrat) untuk menjadi pemimpin, padahal ia  akan menjadikan kamu menyesal pada hari Kiamat kelak.” (Hadis Riwayat  al-Bukhari, 22/59, no. 6615)
Kalau  kita lihat dari sejarah para nabi sendiri, nabi manakah yang bertindak  mencari-cari atau meminta-minta jawatan kepimpinan bagi tujuan dakwah  dan alasan tertentu? Sudah tentu tiada. Sekiranya ada pun, mereka akan  memintanya kepada Allah dan bukan kepada manusia sehingga saling berebut  sesama sendiri. Sekiranya untuk tujuan dakwah pun tiada contohnya dari  para Nabi supaya meminta-minta jawatan, bagaimana pula untuk selainnya  yang tidaklah lebih penting dari urusan menegakkan agama Allah?
Jika  kita melihat dari apa yang berlaku hari ini, kebanyakan individu atau  kumpulan-kumpulan tertentu yang berusaha untuk mendapatkan kerusi-kerusi  kepimpinan, kebanyakan dan kebiasaan dari mereka akan berusaha gigih  meraihnya dengan apa cara sekalipun walau sehingga melanggar batas-batas  agama, saling menindas, memutuskan tali persaudaraan, dan akhirnya  sehingga mengundang perpecahan yang melemahkan umat.
Dalam hadis yang lain Nabi Saw telah mengingatkan ketika berkata kepada ‘Abdurrahman B. Samurah rah,
لَا  تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ  وُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ  عَلَيْهَا
“Janganlah  kamu meminta jawatan kepimpinan.Apabila jawatan  tersebut diberikan kepada kamu disebabkan kamu memintanya, maka jawatan  tersebut akan menjadi bebanan bagi kamu. Tetapi sekiranya jawatan  tersebut diberikan bukan kerana permintaan kamu, maka kamu akan dibantu  dalam menguruskannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 20/302, no. 6132)
والحكمة  في أنه لا يولى من سأل الولاية أنه يوكل إليها ولا تكون معه إعانة كما صرح  به في حديث عبد الرحمن بن سمرة السابق وإذا لم تكن معه إعانة لم يكن كفئا  ولا يولى غير الكفء ولأن فيه تهمة للطالب والحريص
Imam  an-Nawawi menyatakan, “Di antara hikmah supaya tidak dilantik para  pemimpin itu dari mereka yang memintanya adalah kerana dia akan  menanggung beban dan tidak ada yang membantunya sebagaimana dijelaskan  dalam hadis yang diriwayatkan ‘Abdurrahman B. Samurah tadi. Apabila  tiada orang yang membantu bersamanya, bermakna jawatan tersebut akan  menjadi beban. Juga tidak boleh melantik orang yang tidak layak kerana  akan menimbulkan dakwaan (kebencian) bagi yang memintanya dan  orang-orang yang berusaha mendapatkannya.” (Syarah Shahih Muslim,  12/207)
Perkara  ini adalah sebagaimana yang dapat kita lihat berlaku di sekitar kita  hari ini di mana ketika masing-masing berebut jawatan kepimpinan  (sebagaimana dalam pilihan raya), pelbagai janji dan rancangan kebaikan  ditabur sehingga mereka sendiri tidak sedar bahawa janji-janji manis  tersebut bakal menjadi beban kepada mereka di masa hadapan. Setelah  janji ditabur, banyak pula tidak mampu ditunaikan. Pelbagai alasan pun  mula direka. Akhirnya jadilah mereka sebagai orang-orang yang cakap  tidak serupa bikin, mula berbohong, bersumpah palsu dan akhirnya menjadi  pendusta. Bentuk-bentuk sikap seperti ini adalah di antara sikap yang  sangat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah berfirman,
يَا  أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ. كَبُرَ  مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لا تَفْعَلُونَ
“Wahai  orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak  kamu lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan  perkara-perkara yang tidak kamu laksanakan.” (Surah ash-Shaff, 61: 2-3)
Sebagai menutup tulisan ini, penulis akhiri dengan mutiara nasihat daripada Sufyan ats-Tsauri rah.
Beliau berkata:
قال الأحنف قال لنا عمر بن الخطاب تفقهوا قبل أن تسودوا قال سفيان لأن الرجل إذا أفقه لم يطلب السؤدد
al-Ahnaf pernah berkata, “‘Umar B. al-Khaththab mengatakan kepada kami:
“Fahamilah agama sebelum memegang kekuasaan.”
Sufyan  menjelaskan perkataan ‘Umar tersebut, “Kerana jika seseorang telah  memahami agama, dia tidak akan berhasrat terhadap kekuasaan.” (Ibnul  Jauzi, Shifah ash-Shafwah, 2/236)

