Ikuti Blog Ini

Monday, January 12, 2015

Tokoh-Tokoh Ulama Kelahiran Darul Uloom Deoband dan Berkaitannya

Darul Uloom Deoband satu legasi besar dalam dunia Islam

Di sini saya cuba senaraikan secara ringkas, sejarah hidup para Ulama yang alim tetapi tidak dikenali oleh masyarakat luar. Mereka-mereka ini sebenarnya merupakan permata yang berharga yang pernah hadir dalam masyarakat Islam khususnya di benua Hindustan dan amnya di seluruh dunia Islam. Jadi saya mengambil sedikit inisiatif dalam memperkenalkan serba sedikit sejarah hidup mereka. Kesemua sejarah hidup mereka saya ambil dari buku yang dihasilkan oleh Syeikhul Islam Mufti Muhammad Taqi Uthmani حفظه الله iaitu Akabir Deoband Kya Thay. Seperkara lagi, ada juga kalangan ulama ini yang bukan merupakan lepasan dari institusi pengajian terulung di benua Hindustan iaitu Darul Uloom Deoband tetapi mereka ini merupakan lepasan dari mana-mana tempat pengajian yang mempunyai kaitan dengan institusi Darul Uloom Deoband itu sendiri. Susunan tokoh ulama di sini tidak mewakili apa-apa makna, sebaliknya ia merupakan susunan yang saya nukilkan dari pengarang asal buku tersebut.

1. Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan Ad-Deobandi رحمه الله تعالى

Beliau dikenali sebagai Syeikhul Hind merupakan pelajar pertama di Darul Uloom Deoband yang didirikan pada tahun 1283 H/ 1867 M. Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar dan guru yang hebat dalam sejarah Darul Uloom Deoband yang mana kemudiannya telah dilantik menjadi Sadr Mudarris (Guru Besar) yang ketiga dan Sarparast (Penaung)bagi institusi tersebut. Dalam jalan kerohanian, beliau telah menerima ijazah daripada Haji Imdad Ullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى. dan kemudiannya menerimanya juga dari Qutb Irsyad Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى. Maulana Mahmud Hasan Ad- Deobandi رحمه الله تعالى meninggal dunia pada tahun 1339H / 1920 M dengan meninggalkan legasi para ulama hebat seperti Hakimul Ummah maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى, Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى, Maulana Shabbir Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى,Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى, Maulana Ubaid Ullah Sindi رحمه الله تعالى dan ramai lagi.

2. Maulana Fakhr Ul Hasan  رحمه الله تعالى.

Maulana Fakhr Ul Hasan رحمه الله تعالى adalah merupakan pelajar pertama kepada pengasas Darul Uloom Deoband iaitu Al-Hujjatul Islam Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى. Beliau telah menulis syarah kepada Sunan Abu Daud iaitu At-Ta’liq Al-Mahmud . Beliau meninggal dunia pada tahun 1318 H / 1897 M.

3. Maulana Qari Mohammad Tayyib رحمه الله تعالى.

Beliau merupakan anak kepada Maulana Hafiz Muhammad Ahmad Qasimi رحمه الله تعالى dan cucu kepada Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى. Beliau merupakan rakan sekelas kepada Mufti Muhammad Shafi’ Uthmani رحمه الله تعالى ketika belajar di Darul Uloom Deoband. Mereka juga merupakan khalifah kepada syaikh sama iaitu Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى. Maulana Qari Muhammad Tayyib رحمه الله تعالى telah dilantik menjadi Mohtamim (Canselor) Darul Uloom Deoband pada tahun 1348 H / 1929 M dan memegang jawatan itu lebih separuh abad. Beliau juga banyak mengambil bahagian dalam aktiviti bersama Jemaah Tabligh. Nasihat-nasihat beliau juga telah diterbitkan sebanyak 10 jilid. Beliau telah meninggal dunia pada 1403 H / 1982 M.

4. Maulana Hafiz Muhammad Ahmad Qasmi رحمه الله تعالى.

Maulana Hafiz Muhammad Ahmad Qasimi رحمه الله تعالى merupakan anak lelaki kepada Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى. Beliau telah dilantik menjadi Mohtamim (canselor) kelima Darul Uloom Deoband oleh Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى. Pada tahun 1340 H / 1921 M, beliau telah dilantik menjadi Mufti Mahkamah Tinggi di negeri Hyderabad Dakkan. Selepas prestasi yang baik ditunjukan oleh beliau,ketika menjawat jawatan Mufti Mahkamah Tinggi, maka beliau telah dilantik menduduki jawatan Sadar Mohtamim (Ketua Pengawai Pengurusan) yang telah dibuat khusus untuk beliau oleh Majlis Shura (Majlis Konsultatif)  Darul Uloom Deoband dalam usaha untuk memastikan Darul Uloom Deoband tidak lari dari matlamat asal penubuhannya. Beliau juga merupakan khalifah kepada Haji Imdad Ullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1347 H /1928 M ketika sedang berkhidmat dalam pengurusan Darul Uloom Deoband.

5. Maulana Muhammad Yasin رحمه الله تعالى.

Maulana Muhammad Yasin رحمه الله تعالى. merupakan ayah kepada Mufti Muhammad Shafi’ Uthmani رحمه الله تعالى.. Beliau berketurunan Sayyidina Uthman bin Affan رحمه الله تعالى dan merupakan rakan sekelas kepada Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى. Guru-guru beliau adalah Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi رحمه الله تعالى, Syeikhul Hind dan Maulana Sayyid Asghar Husain رحمه الله تعالى, Maulana Shabbir Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى dan ulama terkenal Ahli Hadith (Ghair Muqallid) iaitu Maulana Thana Allah Amritsari رحمه الله تعالى Maulana Muhammad Yasin رحمه الله تعالى juga telah menjadi khalifah kepada Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى. Beliau meningga dunia pada tahun 1355 H / 1936 M.

6. Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى.

Beliau juga boleh dikatakan sebagai salah seorang dari pengasas utama institusi Darul Uloom Deoband. Beliau merupakan rakan sekelas kepada Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى. Mereka telah memperolehi pendidikan awal daripada Maulana Mamluk Ali Nanotwi رحمه الله تعالى dan mempelajari ilmu hadith ditangan Shah Abdul Ghani Al-Mujaddidi رحمه الله تعالى. Selepas itu, mereka berbi’ah kepada Haji Imdad Ullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى. Telah diceritakan bahawa dalam tempoh 40 hari sahaja, Haji Imdad Ullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى telah menganugerahkan Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى. khilafah. Selepas kematian Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى, Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى telah dilantik menjadi Sarparast (Penaung) kedua Darul Uloom Deoband. Pada tahun 1314 H / 1896 M, beliau juga telah menerima jawatan sebagai Sarparast kepada sebuah lagi institusi pengajian iaitu Mazahir Uloom Saharanpur. Selepas menunaikan haji buat kali ketiga, beliau telah memulakan pengajian hadith secara sistematik yang dikenali sebagai “ Daurah Hadith” iaitu pengajaran kepada 6 buah kitab hadith utama iaitu Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Tirmizi , Sunan Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah di Gangoh. Kira-kira 300 pelajar yang berpeluang mempelajari hadith bersama dengan beliau, termasuklah Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan Ad-Deobandi رحمه الله تعالى .Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1323 H / 1905 M.

7. Maulana Sahul Bhaghalpuri رحمه الله تعالى.

Beliau  telah mengajar di pelbagai madrasah di seluruh negara India dan kemudiannya dilantik menjadi Sadr Mufti (Ketua Mufti) kelima Darul Uloom Deoband yang bertanggungjawab terhadap semua fatwa dan hal ehwal yang melibatkan fatwa yang diterima di Darul Uloom Deoband. Antara murid beliau ialah Maulana I’zaz Ali Amrohi رحمه الله تعالى.Beliau meninggal dunia pada tahun 1367 H / 1947 M.

8. Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى.

Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى juga dikenali sebagai Mujaddid Millat. Salah seorang adalah seorang anak kelahiran Darul Uloom Deoband yang tidak perlu diperkenalkan lagi kewibawaannya. Antara murid yang paling dikasihi oleh guru beliau iaitu Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi رحمه الله تعالى dan khalifah kepada Haji Imdad Ullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى. Beliau telah dilantik menjadi Sarparast (Penaung) kelima Darul Uloom Deoband. Seorang yang dikenali sebagai penulis prolifik dalam sejarah Islam dan telah menghasilkan buku dalam setiap disiplin ilmu Islam. Walau bagaimanapun, Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى lebih memberikan perhatian  terhadap ilmu tasawwuf. Percakapan serta nasihat beliau telah dicatat dan direkodkan oleh para pengikut beliau kemudiannya telah diterbitkan sebanyak 60 jilid. Beliau telah menulis syarah kepada karya penyair agung Farsi iaitu Maulana Jalal Udin Rumi رحمه الله تعالى iaitu Mathnawi yang telah diterbitkan sebanyak 32 jilid. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1362 H / 1943 M dengan meninggalkan pengikut beliau seperti Mufti Muhammad Shafi’ رحمه الله تعالى, Maulana Muhammad masih Ullah Khan Jalalabadi رحمه الله تعالى , Maulana Qari Muhammad Tayyib رحمه الله تعالى, Maulana Sayyid Sulaiman Nadwi رحمه الله تعالى, Maulana Muhammad Wasih Ullah Khan Ilahabadi رحمه الله تعالى,  Mufti Hasan Amritsari رحمه الله تعالى, Dr Abdul Hayy Arifi رحمه الله تعالى dan Maulana Abrar Haqq Hardoi رحمه الله تعالى.

9. Maulana Akhbar Ali رحمه الله تعالى.

Beliau ialah murid kepada Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri رحمه الله تعالى , Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى dan Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى dan lain-lain ulama lagi. Selepas menamatkan pembelajaran di Mazahirul Uloom, Saharanpur, beliau telah ditawarkan mengajar hadith di institusi tersebut dan beliau telah mengajar di situ lebih daripada 30 tahun. Kemudian, beliau telah menerima pelawaan daripada Mufti Muhammad Shafi’ Uthmani رحمه الله تعالى untuk mengajar di Darul Uloom Karachi, Pakistan. Di sana, beliau telah menghabiskan masa selama 20 tahun mengajar di institusi tersebut. Antara murid-murid beliau ialah Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى, Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى , Maulana Sa’id Ahmad Khan رحمه الله تعالى, Mufti Muhammad Rafi’ Uthmani رحمه الله تعالى dan Mufti Muhammad Taqi Uthmani رحمه الله تعالى. Beliau juga bertanggungjawab dalam menterjemahkan kitab Izhar Al-Haq oleh Maulana Rahmat Allah Kiranawi رحمه الله تعالى  dalam tempoh yang singkat iaitu dalam tempoh 6 bulan. Beliau meninggal dunia pada tahun 1397 H / 1977 M dan dikebumikan di tapak perkuburan Darul Uloom Karachi.

 10. Mufti Muhammad Hasan Amritsari رحمه الله تعالى.

Beliau adalah merupakan khalifah tua kepada Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى. Selepas menamatkan pembelajaran di Darul Uloom Deoband dibawah bimbingan Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى. Beliau telah mengajar hampir separuh abad di Madrasah Ghaznawiyyah, Amritsar, India. Sepanjang beliau tinggal di Amritsar, beliau telah mengajar tafsir Al-Quran di masjid yang dihadiri oleh orang ramai dari pelbagai tempat. Selepas pemisahan antara Pakistan dan India, beliau telah berpindah ke Lahore, Pakistan dan beliau telah mendirikan Jamiah Ashrafiah, Lahore. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1380 H / 1960 M.

11. Maulana Ibrahim Balyawi رحمه الله تعالى.

Beliau adalah merupakan bekas Sadr Muddaris (Guru Besar) di Darul Uloom Deoband, kemudiannya dilantik menjadi Ketua Pengurusan Darul Uloom Deoband setelah kematian Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى. Maulana Ibrahim Balyawi رحمه الله تعال adalah merupakan 4 orang pelajar hadith utama yang belajar ilmu hadith daripada Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan Ad-Deobandi رحمه الله تعالى. Beliau juga pernah dilantik sebagai Sadr Muddaris di Jami’ah Islamiyyah, Dhabel, Gujerat. Beliau meninggal dunia pada tahun 1387 H / 1967 M, kematian beliau telah meninggalkan ratusan murid yang telah bertebaran di seluruh dunia.

12. Maulana Zahur Ahmad رحمه الله تعالى.

Beliau merupakan murid kepada Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى dan beberapa orang lagi masyaikh Darul Uloom Deoband. Beliau telah menghabiskan 45 tahun di dalam bidang pengajaran, beliau telah mengajar di beberapa tempat antaranya ialah Jami’ah Islamiyyah, Dhabel. Beliau juga merupakan khalifah kepada Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan Ad-Deobandi رحمه الله تعالى. Pada tahun 1383 H / 1963 M, beliau telah meningga dunia.

13. Maulana Shah Wasih Ullah Ilahadi رحمه الله تعالى.

Beliau merupakan antara pengikut tua  Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى  bawah Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى dan Maulana Shabbir Uthmani رحمه الله تعالى . Perhimpunan zikir beliau akan dihadiri oleh ramai orang dari pelbagai tempat tanpa mengira kelas sosial masyarakat. Beliau meninggal dunia pada tahun 1387 H / 1967 M.

14. Mufti Abdul Shakur Tirmizi رحمه الله تعالى.

Beliau merupakan anak kepada Mufti Abdul Karim Gumthalwi رحمه الله تعالى. Beliau telah menamatkan pengajian dari Darul Uloom Deoband pada tahun 1365 H / 1946 M dibawah didikan Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى, Maulana Idris Kandhalawi رحمه الله تعالى dan Maulana Fakhr Ul Hasan رحمه الله تعالى . Beliau juga pernah tinggal di Madinah, di sana , beliau telah mempelajari dan menguasai beberapa qira’at bacaan al-quran dibawah bimbingan Qari Muhammad Fatih رحمه الله تعالى. Beliau juga telah berjasa kepada dunia Islam khususnya di Negara Pakistan dengan mengasaskan penubuhan Madrasah Haqqaniyyah di Sahiwal, Pakistan. Buat pertama kalinya, beliau merupakan khalifah kepada Maulana Zafar Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى kemudian menjadi khalifah kepada Mufti Muhammad Shafi’ Uthmani رحمه الله تعالى.

15. Mufti Abdul Karim Gumthalwi رحمه الله تعالى.

Beliau merupakan lepasan dari institusi pengajian Islam terkenal di India iaitu Mazahirul Uloom , Saharanpur. Beliau telah dilantik menjadi mufti, guru dan pengarang kitab di Khanqa Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى. Di Khanqa tersebut, beliau telah menghabiskan umurnya dibawah didikan, bimbingan dan nasihat daripada Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى.Beliau juga telah mengasaskan 100 madrasah yang mana keseluruhan madrasah ini telah dibiayai oleh Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1368 H / 1949 M.

16.Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى

Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى adalah seorang Muhadith hebat yang menjadi lipatan sejarah penubuhan Darul Uloom Deoband. Beliau merupakan seorang murid yang istimewa kepada Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan Ad-Deobandi رحمه الله تعالى kemudiannya dilantik menjadi Sadr Mudarris (Guru Besar) pertama di institusi pengajian terunggul tersebut. Beliau seorang yang alim dalam ilmu perbandingan agama dan pengajian sekular, bahkan beliau juga mengajar falsafah moden kepada para muridnya termasuklah kepada Mufti Muhammad Shafi’ Uthmani رحمه الله تعالى. Selepas menamatkan pengajaran di Darul Uloom Deoband,beliau telah berpindah ke Jami’ah Islamiyyah Dhabel, Gujerat dan di sana beliau telah mengajar untuk beberapa tahun. Antara murid-muridnya ialah Maulana Muhammad Idris Kandhalawi رحمه الله تعالى , Maulana Badr Alam Mirathi رحمه الله تعالى, Maulana Manazir Ahsan Gilani رحمه الله تعالى , Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى dan Maulana Muhammad Manzur Nu’mani رحمه الله تعالى.

17. Maulana Badr Alam Mirathi رحمه الله تعالى.

Maulana Badr Alam Mirathi Muhajir Madani رحمه الله تعالى adalah seorang murid kepada Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى. Beliaulah yang bertanggungjawab dalam menyusun semula syarah Sahih Al-Bukhari edisi bahasa Arab yang berjudul Fayd Al-Bari dan merupakan penyusun kepada Tarjuman As-Sunnah. Beliau merupakan khalifah kepada Qari Ishaq Mirathi رحمه الله تعالى yang merupakan khalifah kepada Mufti Aziz Ar-Rahman Uthmani رحمه الله تعالى. Beliau meningggal dunia pada tahun 1358 H / 1939 M.

18. Maulana Muhammad Idris Kandhalawi رحمه الله تعالى.

Maulana Muhammad Idris Kandhalawi رحمه الله تعالى. adalah merupakan murid kepada Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى, Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri رحمه الله تعالى dan Maulana Shabbir Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى. Beliau merupakan lepasan Darul Uloom Deoband dan Mazahirul Uloom Saharanpur. Beliau juga merupakan rakan sekelas kepada Maulana Qari Muhammad Tayyib رحمه الله تعالى. dan Mufti Muhammad Shafi’ Uthmani رحمه الله تعالى. Beliau pernah dilantik sebagai Syeikhul Tafsir (guru yang mengajar Tafsir Al-Quran) di Darul Uloom Deoband. Selepas pemisahan India dan Pakistan, beliau telah memilih untuk berhijrah ke Pakistan. Setibanya di Pakistan, beliau telah dilantik menjadi Syeikhul Hadith dan Tafsir di Jami’ah Ashrafiya, Lahore, Pakistan. Beliau juga telah menulis pelbagai jenis kitab dalam pelbagai jenis disiplin ilmu termasuklah Sirah, Tafsir dan sebagainya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1394 H / 1974 M.

19.  Maulana Yusuf Ludhyanwi رحمه الله تعالى.

Maulana Yusuf Ludhyanwi رحمه الله تعالى adalah khalifah kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى. Pada tahun 1974 M, beliau telah dilantik sebagai Ketua Majlis-i-Tahaffuz-i-Khatm-i Nubuwwat (sebuah organisasi yang telah dikhususkan untuk mempertahankan Penutup Kerasulan Nabi Muhammad  صلی اللہ علیہ وسلم. Beliau telah menjadi mangsa pembunuhan pada tahun 2000.

20. Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى.

Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى adalah seorang murid istimewa kepada Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى. Beliau telah bersafar bersama dengan gurunya ke Jami’ah Islamiyyah Dhabel dan telah dilantik menjadi guru hadith di sana setelah kematian guru kesayangannya iaitu Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى. Setelah permisahan antara India dan Pakistan, beliau telah kembali ke Pakistan dan mengasaskan sebuah Institusi terulung di Pakistan iaitu Jami’ah Arabiyyah Islamiyyah New Town. Beliau juga seorang Muhadith yang hebat yang telah mengarang sebuah kitab syarah hadith (berbahasa Arab) bagi Sunan Tirmizi iaitu Ma’arif As-Sunan berdasarkan pengajaran hadith oleh guru beliau iaitu Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى. Beliau juga adalah merupakan seorang yang selalu berdamping (Mujaz-i Suhbah) dengan Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى dan seorang pemimpin dalam dalam organisasi Khatm-i Nubuwwat. Beliau meninggal dunia pada tahun 1397 H / 1977 M dan jenazah beliau telah diimamkan oleh Dr Abdul Hayy Arifi.


P/s : akan bersambung.

0 Komen kat sini:

Post a Comment

Tinggalkan komen anda...Setiap komen anda amat dihargai...
Sila berikan komen dengan penuh adab,Segala Komen yang tidak memenuhi adab,inshallah,akan di delete oleh admin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini