Ikuti Blog Ini

Saturday, July 30, 2011

Ubah pemimpin zalim dengan amalan (update terbaru )


                         Pemandangan indah di kampung penulis,di Pendang

Item ini jelas, bertepatan dengan Islam, ia bertitik tolak dari kepimpinan adalah amanah dan tangung jawab, sebarang penyelewengan mesti ditegur oleh rakyat. Rasulullah sendiri menerima pandangan dann teguran para sahabat dalam beberapa persitiwa yang terkenal antaranya, teguran  Al-Habbab Ibn Munzir r.hu dalam menentukan kubu terbaik dalam peristiwa perang Badar, begitu juga teguran Suad  r.hu dalam kes ditolak dengan busar oleh Rasul Saw dan banyak lagi.Hak teguran ini digalakkan begitu hebat di zaman Khalifah Islam yang pertama Abu Bakar As-Siddiq r.hu dimana beliau menyatakan dalam ucapannya yang mashyur.

Mafhum : “Sesungguhnya aku hanya dilantik dr klgn kamu, bukanlah aku yang terbaik dr kamu, kiranya aku berada di landasan kebenaran maka bantulah aku, taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan RasulNya, maka apabila aku menderhaka Allah maka tiadalah wajib lagi taat kepadaku”.(Turuq hukmiyah, Ibnu Qayyim dan Kanzul Amwal, Abu Ubaid al-Qasim hlm 11)

Islam mempunyai sikap tegas terhadap para pemerintah zalim dan bersifat autokratik atau diktator. Sabda Nabi Saw :  “Sekeras2 manusia yang dikenakan azab di akhirat kelak adalah pemimpin yang zalim”( Minhaj as-Solihin, hlm 444)

Bagaimanapun rakyat yang ingin menegur pimpinan negara Islam seeloknya menjaga adab-adab teguran yang sesuai tetapi jika ia tidak diendahkan, Islam membenarkan pimpinan tersebut diturunkan kerana ia dianggap kepimpinan negara Islam yang menyeleweng, demikianlah pandangan Syeikh Sa’id Hawwa di dalam kitabnya Jundullah hlm 380. Beliau juga menambah bahwa proses menurunkan perintah itu boleh dibuat secara aman.

Prof. Dr. Muhd Salam Madkur menegaskan adalah suatu kewajiban untuk menurunkan pemimpin fasiq dengan amalan agama dan  syaratnya kita mempunyai bukti tentang kefasiqan serta pemimpin tersebut tidak lagi boleh diberi nasihat. Demikian juga pandangan Imam Abu Hanifah rah,Imam al-Qurtubi rah, Imam Abu Hamid al-Ghazali rah (505 H) , Imam as-Syawkani rah (1255 H) dan Dr. Yusoff Al-Qaradhawi.

Manakala Abu Yu’la al-Farra al-hanbali rah menuruti pandangan Imam Ahmad Hanbal rah yang tidak menentang dan menjatuhkan khalifah Makmun dan Mu’tasim. Imam Al-Mawardi rah ( 450 H) menyebut dalam sesebuah negara Islam yang menyeleweng seorang khalifah itu boleh diturunkan jika berlaku kezaliman dan fasiq(Al-Ahkam as-Sultaniyyah, Al-Mawardi, hlm 27)

Imam an-Nawawi rah pula dalam mensyarahkan hadith muslim, “Adapun keluar daripada mentaati pemerintah dan memeranginya (dengan senjata) adalah haram dengan Ijma’ al-Muslimin sekalipun mereka itu fasik ataupun zalim. Ini semua jelas terbukti di dalam hadith-hadith yang memberi maksud apa yang aku sebutkan? Kata para ulama? :” Sebab tidak dipecat dan diharamkan keluar menentangnya adalah kerana membawa kepada fitnah dan tumpah darah dan kerosakan yang nyata, maka menjadikan kerosakan memecatnya lebih besar dari mengekalkannya."?

Dalam mensyarahkan hadith lain pula an-Nawawi menyebut: “ Sesungguhnya tidak harus menentang pemerintah hanya sekadar zalim atau fasik selagi mereka tidak mengubah suatu daripada kaedah-kaedah Islam.(Syarah Sohih Muslim oleh an-Nawawi, jld 12)

Ad-Dawudi rah pula menyebut: “yang menjadi pegangan para ulama, mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar” (Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani m.s. 498/jilid 14 cetakan dar al-Fikr, Beirut)

Ibn ‘Atiyyah rah pula menyatakan : “As-Syura adalah prinsip syariah, mana-mana pemimpin yang tidak ber’syura’ bersama ahli agama, maka menjatuhkannya adalah WAJIB”(Tafsir Al-Qurtubi, 4/249)

Rasulullah Saw bersabda :"Kami telah berbai’ah kepada Rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami.(Kami juga berbai’ah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat ‘Kufr Bawwah’ (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan disisi Allah (kami juga berbai’ah) untuk menyatakan al-Hak dimana saja kami berada dan kerana allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela."   (Riwayat al-Bukhori, no 7199, Muslim no. 1836) 

Jelas dari hadith di atas tahap untuk kesabaran dan tindakan yang perlu diusahakan oleh individu Islam terhadap pemerintah mereka yang terang-terang melakukan maksiat serta menggalakkannya.

Janji Allah Swt dengan amalan agama

Bukankah Allah Swt telah menyatakan, “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, selepas mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55) 

Oleh sebab itulah al-Hasan al-Bashri rah pernah berkata, “Sesungguhnya kemunculan al-Hajjaj (salah seorang pemimpin zalim di zaman beliau - pen.) adalah disebabkan azab dari Allah, maka janganlah kamu melawan azab Allah dengan tangan-tangan kamu. Akan tetapi wajib bagi kamu untuk tunduk dan memohon dengan merendah diri kerana sesungguhnya Allah telah berfirman, “Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.” (Surah al-Mukminun, 23: 76)

Begitu juga dengan kata Thalq bin Habib rah, “Lindungilah diri kamu dari fitnah dengan ketaqwaan.” Beliau ditanya, “Simpulkanlah untuk kami apa itu ketaqwaan?” Beliau pun menjawab, “Iaitu engkau beramal dengan ketaatan kepada Allah dengan petunjuk daripada Allah dengan mengharap rahmat Allah. Dan engkau meninggalkan kemaksiatan kepada Allah dengan petunjuk daripada Allah kerana takut akan azab Allah.” (Minhajus, 4/527-531)

Syaikh as-Sa’di rah berkata dalam Tafsirnya, “... Sebagaimana para hamba (masyarakat) itu jika baik dan istiqamah berada di atas jalan yang benar, maka Allah memperbaiki pemimpin mereka, iaitu menjadikan untuk mereka pemimpin-pemimpin yang bersikap adil dan insaf. Bukan yang zalim lagi jahat. (‘Abdurrahman B. Nashir as-Sa’di, Taisir Karim ar-Rahman fii Tafsir Kalam al-Mannan, 1/273)

Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata, “Aku telah menyebutkan dalam bab yang lain bahawa punca kepada masalah yang berlaku kepada para pemerintah, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan pada diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekaligus, kerana bagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu. Allah Ta’ala berfirman, “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman (pemimpin) bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-An’am, 6: 129).” (Majmu’ al-Fatawa, 35/20)

Islam adalah sebuah agama yang telah lengkap lagi menyeluruh meliputi setiap persoalan kehidupan alam manusia. Ini termasuklah dalam urusan bermu’amalah terhadap para pemimpin.Dalam perkara ini, Islam amat memandang tinggi kedudukan seorang pemimpin bersesuaian dengan tugas dan beratnya tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin itu sendiri. Dalam sebuah hadis disebutkan:

Sultan (pemimpin) itu adalah naungan Allah di bumi, sesiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinakannya dan sesiapa yang memuliakannya, nescaya Allah akan memuliakan dia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/17, no. 7373.)

Sabar antara sifat sahabat

Telah tercatat dalam sejarah di era para sahabat berkenaan kekejaman seorang gabernor di bawah pemerintahan Khalifah Malik bin Marwan yang bernama al-Hajjaj bin Yusuf as-Tsaqafi. Di mana dia (al-Hajjaj) telah membunuh sehingga ribuan jiwa. Sahabat yang mulia seperti Abdullah B. Mas’ud, Abdullah bin Zubair, dan tabi’in Sa’id B. Jubair juga turut terbunuh. Tetapi, bagaimanakah Sikap para sahabat yang lain pada ketika itu, adakah mereka bertindak mengumpulkan kekuatan untuk memberontak? Demi Allah, tidak sama sekali, bahkan mereka tetap menganjurkan untuk mendengar dan taat dalam hal-hal yang makruf. Zubair bin Adi berkata, “Kami mendatangi Anas bin Malik mengeluhkan perihal al-Hajjaj. Anas pun menjawab, “Bersabarlah, kerana tidaklah datang sebuah zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kamu berjumpa dengan Tuhan kamu, aku mendengar ini dari Nabi kamu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Walaupun kedua-dua pemimpin ini begitu zalim dan fasiq, membunuh ribuan nyawa para ulama dari generasi terbaik umat manusia, minum arak terang-terangan, solat dalam keadaan mabuk, dan merosakkan ka’abah dengan manjaniq, tetapi para sahabat dan tabi’in yang hidup pada ketika itu tetap tidak melepaskan tangan ketaatan kepadanya. Bahkan para sahabat bersama-sama para ulama lainnya yang merupakan salafus soleh bagi kita, tetap bersolat bersama-sama imam mereka, al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi tersebut.

11 comments:

  1. Salam,mashaAllah,nk tukar pemerintah bukan dgn sistem demokrasi ciptaan org kafir...setuju dgn artikel ini...

    ReplyDelete
  2. adab muasyarat yang semakin hilang dalam diri orang Islam

    ReplyDelete
  3. Anonymous :bab demokrasi manyak khilaf pada pandangan ulama...

    ismadiyusof: bab ini juga termasuk dlm bab fiqh muamalat...

    ReplyDelete
  4. salah satu golongan yg akan mndptkan perlindungan Allah dihari kiamat nanti adalah pemimpin yang adil....Selamat menyambut ramdhan kpd tuan punya blog ni...

    ReplyDelete
  5. bagus untuk dibaca oleh orang politik ini...
    terima kasih tuan Fuad kerana tulisan ini...

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. penulisan yang benar,boleh saudara ceritakan mengenai demokrasi dan doktrin yang busuk itu ke atas org Islam..

    ReplyDelete
  8. Tulisan sangat ilmiah,mewakili pandangan pertengahan penulis..

    ReplyDelete
  9. Anonymous 1:aduhai,saudara terlalu memuji saya,bacaan untuk semua orang.

    Anonymous 2:demokrasi itu diguna pakai kerana terdapat sedikit unsur keadilan dlam sistemnya..untuk makluman saudara,penukran sistem tampuk pemerintahan boleh di lakukan kerana ianya di datangkan berserta pakej dlm demokrasi itu sendiri..

    p/s:bab ini memang susah nk urai..huhu...

    Anonymous 3:sekadar mewakili pandangan peribadi saya..

    ReplyDelete
  10. Alhamdulillah, hujah yg bagus....kita kena menghayati dan memahami konsep politik dlm islam (siasah syariah) tapi malangnya tak ramai umat islam mengetahui apa itu siasah syariah apatah lagi sistem Islam yg lain spt munakahat, hudud, muamalat dlll....

    ReplyDelete
  11. qanaahguy : benar,ilmu tentang siasah syariah penting,tapi hal berkaitan maqosid al-syariah..juga penting..dlm berlakunya kepincangan dalam masyarakt org Islam.

    ReplyDelete

Jika mahu memberikan komentar, silakan, berilah komentar dengan menggunakan laras bahasa yang sopan dan penuh beradab. Segala komentar yang menyelisihi laras bahasa sopan dan adab, insyallāh akan dipadam oleh team admin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini