Sebelum ini kita telah mengetahui bagaimana institusi pengajian Dār al-ʿUlūm, Deoband diasaskan iaitu bermula dengan seorang guru dan seorang pelajar di mana pengajian awal hanya bermula di bawah sebatang pokok Delima. Institusi pengajian terulung di Benua Kecil India ini lama kelamaan telah berkembang dan berjaya menarik perhatian daripada ramai masyarakat Islām. Antara pelajar awal yang telah mendaftar masuk untuk mengikuti pengajian di Dār al-ʿUlūm,Deoband ini selain datang dari sekitar pekan Sahāranfūr sendiri, ianya juga datang dari kampung di sekitar Varanasi (masih lagi dalam negeri UP tetapi berjarak 926 KM dari Deoband). Ada juga pelajar yang mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian di institusi ini datang dari negeri Punjab (304KM dari Deoband). Ada beberapa pelajar yang paling jauh telah berjaya mendaftarkan diri untuk mengikut pengajian di Dār al-ʿUlūm, Deoband di mana pelajar ini datang dari Afghanistan. Pada bulan Julai 1866M (Dār al-ʿUlūm, Deoband telah diasaskan pada 31 Mei 1866M), jumlah pelajar di Dār al-ʿUlūm telah berjaya direkodkan sebanyak 21orang manakala pada penghujung April 1867, jumlah pelajar direkodkan sebanyak 78 orang. Daripada jumlah itu, seramai 58 orang adalah terdiri daripada pelajar yang datang dari luar Sahāranfūr.
Gambar sekitar Dār al-‘Ulūm, Deoband pada tahun 1950
Dār al-ʿUlūm, Deoband juga telah menjalankan satu polisi di mana tiada sebarang yuran dikenakan terhadap para pelajar ini. Para pelajar ini juga diberikan tempat tinggal dan makanan. Ada juga para pelajar telah diberikan makanan oleh masyarakat Islām di sekitar Dār al-ʿUlūm, Deoband. Segala kelengkapan para pelajar ditanggung oleh Dār al-ʿUlūm, Deoband sendiri hasil dana sumbangan dari masyarakat Islām tempatan. Dana-dana hasil sumbangan masyarakat Islām tempatan ini telah berjaya dikumpul dan pada setiap tahun telah diaudit untuk memastikan ketelusan pengurusan dana tersebut. Pada tahun 1867M iaitu tahun pertama selepas penubuhan Dār al-ʿUlūm, Deoband, dana hasil sumbangan masyarakat Islām tempatan telah berjaya dikumpulkan sebanyak 649 rupee. Para pentadbir Dār al-ʿUlūm, Deoband telah telah menggunakan dana ini dengan sebaik yang mungkin iaitu mereka telah membelanjakan untuk kegunaan kelengkapan para pelajar, bayaran gaji guru, bayaran gaji para pekerjanya. Walau bagaimanapun, dana tersebut tidak habis digunakan sehingga perhujung tahun 1867M, dana masih lagi berbaki 255 rupee. Hal ini adalah kerana perbelajaan Dār al-ʿUlūm,Deoband pada ketika itu adalah kecil, iaitu hanya seorang guru, dan dua orang pekerja awam. Namun begitu, selepas, berlaku penambahan pelajar, maka perbelajaan Dār al-ʿUlūm, Deoband telah meningkat hasil daripada penambahan bilangan pelajar, guru dan pekerja tetapi perbelanjaan pengurusan institusi ini tidak melebihi 700 rupee setahun.
Pada tahun 1873M, telah diadakan satu majlis ihtifal buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan Dār al-ʿUlūm, Deoband ini. Seramai 9 orang pelajar telah berjaya menamatkan pengajian mereka, di antaranya ialah Maulānā Ahmad Hasan al-Amruhī rah, Maulānā Khalīl Ahmad al-Sahāranfūrī rah, Maulānā Fakhrul Hasan al-Ganguhī rah, Maulānā ʿAbd Allāh Ansarī al-Ambathewī rah, Maulānā Fateh Muhammad al-Thānwī rah,Maulānā Fadhil al-Futhī rah, Maulānā Ahmad Hasan al-Deobandī rah, Qārī Jamal al-Dīn rah dan Maulānā ʿAbd Allāh al-Jalalabadī rah. Masyallāh, kesemua nama-nama di atas ini telah membesar menjadi ʿulamā hebat dan terkenal dalam bidang masing-masing. [1]
Nota Kaki
[1]. Sayyid Mahbood al-Rizvī, Tarikh Dar al-Ulum Deoband, Idara-E Ihtemam, Dār al-‘Ulūm, Deoband, U.P, India, 1980, jilid 1, hlm 121-127
0 Komen kat sini:
Post a Comment
Jika mahu memberikan komentar, silakan, berilah komentar dengan menggunakan laras bahasa yang sopan dan penuh beradab. Segala komentar yang menyelisihi laras bahasa sopan dan adab, insyallāh akan dipadam oleh team admin.