Maka saya menjawab, bahawasanya saya juga pernah bertanya kepada Ust Hazim al-Mazahirī mengenai persoalan di atas? Dibawah ini adalah jawapan yang saya dapat daripada beliau.[1]
Daurah al-Hadīth ialah pengajian kitab-kitab Hadīth utama yang wajib dipelajari secara Riwayah dan Dirayah terutamanya Sahih Sittah dan lainnya termasuk Muwatta Imam Malik riwayat Yahya bin Yahya dan Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani, Syamail Tirmizi, Misykat al-Masabih dan lain-lain lagi kepada para pelajar tahun akhir pengajian. Sukatan pengajian kitab-kitab berkenaan menjadi syarat utama bagi para pelajar pengajian Hadīth yang berteraskan metodologi Dars Nizami (pengajian di India & Pakistan). Seseorang tidak diperakui menjadi ulama sehingga mempelajari keseluruhan kitab-kitab berkenaan.
Pengajian dengan sistem begini boleh didapati terutamanya di India dan Pakistan di mana terdapat banyak sekali pusat-pusat pengajian Hadīth yang ditubuhkan yang menjalankan sistem pengajian sebegini. Di bawah ini saya terangkan serba sedikit mengenai kaedah pengajian ini.
1.Kebiasanya seorang Syaikh /guru akan mengajar dua buah kitab. Maka senang untuk memberi hak pada sesuatu hadith untuk disyarahkan sama ada panjang atau pendek kerana perulangan Hadīth pasti akan berlaku.
2. Pengajian Daurah al-Hadīth adalah selepas penguasaan pelbagai ilmu alat dan ilmu islam yang lain (Tahun 1-6). Maka pelajar tidak perlu lagi untuk diperkenalkan dengan pelbagai istilah dan permasalah fiqh yang pelbagai. Di sini, masa tidak akan terbuang. Kebanyakan fawaid Hadīth telah diterangkan semasa di dalam kelas Misykat al-Masabih iaitu pengajian tahun 6. Oleh itu, pengajian Daurah al-Hadīth hanya bermula pada tahun ke 7 -8 (2 tahun). Kebanyakan madrasah yang besar-besar) pengajian Daurah al-Hadīth mereka hanya mengambil masa setahun sahaja seperti mana yang dipraktis oleh Darul Ulum Deoband, Mazahir al-Ulum, Saharanfur dan sebagainya.
3. Dalam pengajian Tahun 6 iaitu pengajian Misykat al-Masabih, ada 6 ribu lebih Hadīth dibahaskan dan dalil-dalil dari empat mazhab dan segala aqwal imam akan disentuh. Di sini, berlaku pentarjihan mazhab, jika di India & Pakistan, dalil mazhab Hanafi akan ditarjihkan. Jika di Malaysia, dalil-dalil mazhab Shafi'i akan ditarjihkan. Pengajian ini hanya mengambil tempoh masa selama setahun sahaja. Kebiasaanya dalam pengajian Misykat al-Masabih ini, ada Hadīth-Hadīth yang terkandung dalam Sahih Sittah, jadi Syaikh/guru yang mengajar Daurah al-Hadīth akan "skip" Hadīth -Hadīth yang telah dibahaskan di dalam pengajian Misykat al-Masabih (Tahun 6).
4. Biasanya, pelajar-pelajar yang berjaya lulus dalam peperiksaan kelas tahun 6 akan berjaya diterima masuk ke pengajian peringkat Daurah al-Hadīth.
5. Selepas berjaya menamatkan pengajian Daurah al-Hadīth, maka para pelajar ini boleh memilih untuk melanjutkan pembelajaran ke peringkat Takhasus dalam mana-mana disiplin ilmu yang mereka mahu seperti dalam bidang Fiqh,Hadīth ,Tafsir dan sebagainya.
6. Kebiasaanya, mana-mana individu yang menamatkan pengajian peringkat Daurah al-Hadīth akan diberikan gelaran " Maulānā" dan yang menamatkan pengajian diperingkat Takhasus dalam disiplin Fiqh akan diberikan gelaran "Muftī". Perlu diperingatkan bahawasanya gelaran "Muftī" ini hanya gelaran secara istilah akan tetapi gelaran " Muftī" yang sebenar ialah individu yang berkecimpung dalam bidang Fatwa dan seumpamanya.
P/s : Mungkin ada kesilapan dalam catatan penulisan saya ini, jadi boleh diperbetulkan melalui ruang komen di bawah. Khair, Insyallah ☺
[1]. Catatan ini dicatat pada 12 April 2014 ketika saya menziarahi Ust Hazim al-Mazahirī di pejabat beliau di Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling (MUSP). Manakala gambar ini diambil ketika saya hadir dalam pengajian Misykat al-Masabih (Tahun 6) di MUSP pada tahun 2014
No comments:
Post a Comment
Jika mahu memberikan komentar, silakan, berilah komentar dengan menggunakan laras bahasa yang sopan dan penuh beradab. Segala komentar yang menyelisihi laras bahasa sopan dan adab, insyallāh akan dipadam oleh team admin.