Pages

Tuesday, September 25, 2012

Para Sahabat R.hum Generasi Mulia

                               Perkuburan baqi menempatan 10 000 sahabat-sahabat r.hum

Para sahabat sudah diangkat martabat mereka kepada satu tahap yang sangat tinggi. Mereka benar-benar mengikuti apa jalan yang Nabi SAW ajarkan pada mereka berdasarkan al-Quran dan al-Hadis. Martabat mereka bukan sahaja ditinggikan kerana akhlak, perjuangan, serta ilmu mereka sahaja, bahkan al-Quran dan al-Hadis telah mengiktiraf para sahabat ini, maka kita tidak perlu risau dalam masalah khilaf di antara sahabat kerana walaupun mereka berbeza, mereka akan tetap mengikut jalan al-Quran dan as-Sunnah dalam berijtihad.Allah Swt berfirman

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَمَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُواوَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.” (Surah Al-Fath: 29)
“orang-orang yang bersama dengannya” yang disebut dalam ayat di atas, telah ditafsirkan oleh ahli mufasirin (ulama tafsir) sebagai membawa maksud "para sahabat Baginda saw", (An-Nasafi,Tafsir An-Nasafi, jil.4,hlm.163)
Ayat tersebut merangkumi "semua sahabat Nabi saw" tanpa kecuali seperti yang ditafsirkan oleh al-Imam al-Razi iaitu “Semua mereka. (Ar-Razi, mafatih al-Ghayb, jil. 28, hlm. 107).
Allah swt berfirman:
لَا يَسْتَوِي مِنْكُمْ مَنْ أَنْفَقَ مِنْ قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ أُولَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ أَنْفَقُوا مِنْ بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hadid: 10)
Ayat di atas sangat jelas menafikan persamaan martabat antara para sahabat yang berjuang dan berbelanja sebelum Pembukaan Kota Makkah dengan mereka yang berbelanja dan berjuang selepas daripada peristiwa itu.Namun begitu Allah swt menjanjikan kepada kedua-dua golongan iaitu para sahabat yang masuk Islam sebelum Pembukaan Kota Makkah dan selepasnya dengan balasan yang baik iaitu syurga.Hal ini bererti kesemua mereka adalah ahli syurga.
Hal ini dikuatkan lagi dengan pentafsiran al-Imam al-Qurtubi mengenai ayat ini,beliau mengatakan: Firman-Nya: “Kesemua mereka Allah janjikan syurga” membawa maksud para sahabat yang awal dan yang terkemudian yang Allah janjikan kepada mereka semua syurga walaupun berbeza dari segi darjat.” (Lihat: Al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jil. 17, hlm, 241)
Demikian juga al-Imam Ibnu Hazam yang mengatakan perkara yang sama iaitu "Para sahabat Rasulullah saw adalah ahli syurga". (Lihat: al-Wahibi, I’tiqod Ahl al-Sunnah fi as-Sahabah, hlm. 18).
Allah swt berfirman 
لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.” (Surah Al-Fath: 18)
Ayat di atas merakamkan mengenai peristiwa Bai’ah al-Ridhwan (Perjanjian Setia al-Ridhwan) yang berlaku di antara para sahabat r.hum dengan Baginda saw.Maka dalam masa yang sama,Allah swt telah menyatakan betapa Allah swt telah meredhai mereka."Sesiapa yang Allah redhainya di dalam al-Quran,tidak mungkin dia mati di dalam kekufuran.Tidak mungkin Allah swt meredhai seseorang melainkan diketahui matinya dalam Islam.Sesiapa yang diketahui matinya dalam kekufuran tidak mungkin untuk Allah memberitahu bahawa Allah meredhainya".(Lihat: Ibnu Hajar al-Haithami al-Makki, al-Sawa’iq al-Muhriqah, hlm, 243)
Demikian juga hal ini dikuatkan lagi dimana Imam al-Bukhari di dalam sahihnya meriwayatkan hadis daripada Jabir ibn Abdullah r.ha.
قَالَ قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَوْمَ الْحُدَيْبِيَةِ « أَنْتُمْ خَيْرُ أَهْلِ الأَرْضِ » . وَكُنَّا أَلْفًا وَأَرْبَعَمِائَةٍ ، وَلَوْ كُنْتُ أُبْصِرُ الْيَوْمَ لأَرَيْتُكُمْ مَكَانَالشَّجَرَةِ . تَابَعَهُ الأَعْمَشُ سَمِعَ سَالِمًا سَمِعَ جَابِرًا أَلْفًا وَأَرْبَعَمِائَةٍ
“Bersabda Rasulullah kepada kami pada hari Hudaibiyah (ketika Bai’ah al-Ridhwan): “Kamu semua adalah sebaik-baik penghuni bumi.” Ketika itu kami berjumlah seribu empat ratus orang. (Riwayat Bukhari, No 4154)
Allah Memberi Jaminan Syurga Kepada orang-orang Muhajirin dan Ansar,seperti mana yang difirmankan Allah swt.
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَاأَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 100)
 Al-Imam Ibnu Kathir tatkala ketika mentafsirkan ayat ini,beliau telah memberikan komentar yang sangat baik mengenai ayat ini,katanya:
Alangkah celaka sesiapa yang membenci dan mencerca mereka (para sahabat), atau pun mencerca dan membenci sebahagian mereka.Lebih-lebih lagi (membenci) penghulu para sahabat selepas wafatnya Rasul, yang paling baik dan paling afdhal di kalangan mereka iaitu al-Siddiq al-Akbar lagi khalifah yang agung,beliau ialah Abu Bakar ibnu Abi Quhafah RA.Sesungguhnya golongan yang hina daripada kalangan Rafidah (Syiah) memusuhi sebaik-baik  para sahabat serta membenci dan mencaci mereka – pohon perlindungan dengan Allah daripada yang demikian itu.Hal ini menunjukkan bahawa akal mereka terbalik dan hati mereka songsang.Di manakah keimanan mereka terhadap al-Quran apabila mereka mencerca sesiapa yang Allah dan Rasul cerca, mengangkat orang yang diangkat oleh Allah,memusuhi orang yang dimusuhi oleh Allah. Mereka itu (Ahl al-Sunnah) adalah pengikut,bukan pembid’ah,mencontohi bukan mereka-rekakan.Justeru, mereka hamaba-hama yang beriman. (Lihat: Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-Adzim, jil. 2, hlm. 398)
Jasa dan pengurbanan mereka terhadap agama Islam adalah tersangat besar.Mereka telah membawa cahaya-cahaya Islam menerangi alam,Mereka telah menunjukan contoh yang terbaik buat kita dalam kehidupan beragama.Perjuangan mereka dalam agama memang tiada tolok bandingannya.Walaupun,memang di akui ada diantara mereka,ada yang berselisih pendapat,tetapi perselisihan itu dianggap sebagai keluasan yang ada di dalam Islam.Rahmat bagi sekalian alam,tetapi hal itu tidak menjadikan kita semua untuk tidak memulia dan mengikuti mereka.Ya Allah jadikan kami seperti mereka.



5 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. ya,Allah jadikan kami seperti mereka

    ReplyDelete
  3. Semoga kita bisa menjadikan para sahabat ini sebagai idola. Untuk permulaan marilah kita mengenali profil 10 sahabat. Pilihlah 10 sahabat dari kalangan 240,000 sahabat itu. Biar kita kenal dan dapat bercerita kpd orang lain pula. Tunjukkan kecintaan kita kpd para sahabat, bukan setakat cakap2 kosong. Pilih 10. Just Do It !!

    ReplyDelete

Jika mahu memberikan komentar, silakan, berilah komentar dengan menggunakan laras bahasa yang sopan dan penuh beradab. Segala komentar yang menyelisihi laras bahasa sopan dan adab, insyallāh akan dipadam oleh team admin.