Pages
▼
Saturday, March 7, 2009
Dunia bagaikan 'wanita tua' .
peta dunia!
Dalam peristiwa Isra' Mikraj, Rasulullah telah melihat gambaran dunia seperti wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua ini masih cantik dengan solekan, dandanan dan perhiasannya. Tetapi, dalam tubuhnya sudah bersarang pelbagai penyakit sejak lama.
Dunia ini bagaikan ibu tunggal, wanita tua yang pernah jelita digilai pemuda ketika masa muda-muda dahulu. Dia mungkin sedang terbaring nazak, sambil memerhatikan gelagat insan yang masih gila berperang di hujung nyawanya. Dunia atau wanita jelita ini menjadi semakin tua lantaran karenah anak-anaknya yang sentiasa bersengketa!
Dunia ini diwariskan kepada manusia untuk menjaganya. Disebutkan di dalam al-Qur'an: "Aku (Allah) ingin menciptakan atas bumi ini seorang Khalifah." Lihat bagaimana Allah meletak diriNya sebagai pihak pertama, dunia pihak kedua dan manusia pihak ketiga.
Jadi, siapa yang paling hampir dan rapat kepada Allah antara bumi dan manusia? Kita dapat merumuskan pendirian bahawa bumi itulah yang paling dekat kepadaNya berbanding manusia itu sendiri. Sejauh manakah kita memelihara dunia yang dilihat Rasulullah sebagai wanita tua ini?
Adakah kita memeliharanya sebagai isteri tercinta, atau wanita pelacur, wanita simpanan dan wanita jalang? Prof Dr Syed Hossein Nasr dalam sebuah karyanya yang pernah saya baca menyebutkan manusia hari ini menggunakan dunia serta sumbernya seperti melayan seorang pelacur dan bukannya isteri.
Seorang suami akan menjaganya setelah menikmati isterinya. Tapi, dunia hari ini telah dinilai sebagai wanita lacur di mana khazanahnya dipunggah untuk dinikmati dan hampas kekotoran telah disepahkan tanpa tanggungjawab.
Demikian 'hebatnya' manusia! Setiap perlakuan manusia yang buruk dapat menyebabkan porak-poranda di dunia ini. Kali terakhir nazaknya berakhir dengan kiamat di mana dunia tidak lagi dapat menanggung segala kebejatan akhlak yang timbul akibat perang manusia.
Jika manusia sakit, maka doktor, tabib, pawang dan dukun itulah yang dirujukkan sebagai sandaran penawarnya. Tetapi, jika alam buana ini menderita kesakitan, kepada siapa yang kita majukan pertolongan, bantuan dan pengharapan?
Siapakah doktor, tabib, dukun dan pawang yang dapat menyembuhkan derita sekali gus merawar 'kesihatan dunia kini?
'Rawatan alternatif' kepada dunia?
kita percaya bahawa alam ini punya roh tersendiri yang menghidupkan dan apabila ia pergi, maka kering dan gersanglah di sesebuah bumi itu dan apabila ia meninggalkan keseluruhan bumi, maka tamatlah usia bumi ini. Peristiwa ini dikenali sebagai kiamat.
Insan jahat (penghuni neraka) bagaikan virus dan bakteria yang akan berperang bersama insan kamil (ahli syurga) seumpama antibiotik dalam tubuh kita. Maka, bumi telah bersedia untuk mogok dan berpiket menantikan saat itu.
Adapun punca kenapa dunia ini bergolak adalah kerana penghuni neraka dan syurga telah berkongsi hidup yang sama di dunia ini. Sebab itu di akhirat nanti mereka akan dipisahkan antara syurga dan neraka sekali gus akan menghalang mereka daripada bertembung.
Dunia oh dunia! Dunia ini akan selamat dan berjaya diselamatkan oleh mereka yang kuat dan ikhlas bernafas, jujur menjalani kehidupannya sebagai insan kami manusia sempurna. Dunia bergolak bukan kerana ia didiami oleh haiwan, tapi ia hancur kerana perutnya telah melahirkan manusia berperangai haiwan. Bukan salah ibu mengandung.
Semoga Allah beri taufik untuk kita amal dan sampaikan.
No comments:
Post a Comment
Jika mahu memberikan komentar, silakan, berilah komentar dengan menggunakan laras bahasa yang sopan dan penuh beradab. Segala komentar yang menyelisihi laras bahasa sopan dan adab, insyallāh akan dipadam oleh team admin.