Ikuti Blog Ini

Saturday, March 21, 2015

Keluarga-keluarga Kandhala

Kawasan Kandhala, sebuah perkampungan yang melahirkan keturunan alim ulama . Gambar diakses dari google maps. Boleh diakses di sini

Kawasan Jhinjhana yang diakses menggunakan google maps. Boleh diakses di sini.

Di Kandhala, satu keluarga ternama lagi dihormati yang berketurunan Siddiqi (Keturunan Sayyidina Abu Bakar رضي الله عنه). Keturunan ini berasal dari keturunan ulama sufi yang hebat yang telah mendiami kawasan tersebut ratusan tahun dahulu. Ianya mempunyai dua keluarga iaitu satu di Kandhala dan satu lagi keluarga di Jhinjhana. Selepas beberapa abad, ianya telah dikenali sebagai keluarga yang banyak melahirkan tokoh-tokoh alim ulama dan Sufi . Keluarga ini dikenali dengan kesolehan dan akrabnya hubungan mereka dengan para Wali-wali Allah. Antara tokoh ulama terkenal yang berasal dari keluarga ini ialah seperti Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi رحمه الله تعالى  yang meninggal dunia pada tahun 1830 M dan anak saudaranya iaitu Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى yang meninggal dunia pada tahun 1866 M . [1] 

Dari keturunan Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi رحمه الله تعالى lahirlah legasi keturunan Kandhalawi sampai sekarang .

1. Maulana Abul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى  (anak kepada Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi )
2. Maulana Nur Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Abul Hasan Kandhalawi )
3. Maulana Hakim Zuhur Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Nur Ul Hasan Kandhalawi )
4. Maulana Hakim Radhi Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Hakim Zuhur Ul Hasan Kandhalawi )
5. Maulana Muhammad Ikram Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Hakim Radhi Ul Hasan Kandhalawi )
6. Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Muhammad Ikram Ul Hasan Kandhalawi )
7. Maulana Muhammad Zubair Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi )
8. Maulana Muhammad Zuhair Ul Hasan Kandhalawi حفظه الله (anak kepada Maulana Muhammad Zubair Ul Hasan Kandhalawi )

Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi [2]

Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi رحمه الله تعالى adalah merupakan murid yang disayangi oleh Shah Abd Aziz Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى  dan kemudiannya berbi’ah kepada Shah Abd Aziz Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى . Apabila Sayyid Ahmad As-Syahid رحمه الله تعالى  mengumumkan panggilan Jihad menentang orang Sikh , beliau telah menyahut panggilan jihad tersebut  dengan mengambil bi’ah dengan Sayyid Ahmad As-Syahid رحمه الله تعالى  . Dalam peperangan jihad tersebut, Sayyid Ahmad As-Shahid رحمه الله تعالى  telah meninggal dunia. Mufti Ilahi Bakhash Kandhalawi رحمه الله تعالى meninggal dunia pada tahun 1829 M pada usia 83 tahun. Keterlibatan beliau di dalam peperangan jihad tersebut menunjukan kedudukan dan hubungan istimewa beliau terhadap Sayyid Ahmad As-Syahid رحمه الله تعالى . Beliau telah mengarang lebih dari 40 buah kitab dalam pelbagai disiplin ilmu antaranya Shiyam al-Habib iaitu satu kitab mengandungi peribadi Nabi  صلى الله عليه وسلم seperti kitab Syamail Muhammadiyah yang ditulis di dalam Bahasa Arab.


Lokasi rumah Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi رحمه الله تعالى yang berada di kanan lelaki yang sedang berjalan itu, di depan rumah tersebut ada susunan kayu . Gambar ini diambil ketika saya menziarahi tempat ini sekitar tahun 2012 di Kandhala. Menurut cerita orang tempatan, guru kepada Mufti Ilahi Bakhsh رحمه الله تعالى iaitu Shah Abd Aziz Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى juga kerap mengunjungi rumah ini.

Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi [2][3]

Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  mempunyai abang yang bernama Maulana Mahmud Bakhash Kandhalawi رحمه الله تعالى  . Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  memperolehi ilmu daripada Mufti Ilahi Bakhash Kandhalawi رحمه الله تعالى  dan Shah Muhammad Ishaq Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى . Selepas kematian Mufti Ilahi Bakhash Kandhalawi رحمه الله تعالى , beliau meneruskan pengajian daripada Shah Muhammad Ishaq Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى . 

Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  yang merupakan anak saudaranya adalah merupakan murid kesayangan kepada Shah Abd Ishaq Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى .yang juga telah dianggap wali Allah di dalam keluarga mereka. Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  juga telah menjadi khalifah kepada Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi رحمه الله تعالى . Beliau juga mempunyai baik dengan Maulana Muhammad Mamluk Ali Nanotwi رحمه الله تعالى .

Satu keluarga lagi dari keluarga ini mendiami kawasan Jhinjhana , keluarga mereka ini juga mempunyai hubungan yang rapat dengan para wali-wali Allah seperti Sayyid Ahmad As-Syahid رحمه الله تعالى . Dari keluarga ini , lahirlah tokoh-tokoh seperti Maulana Muhammad Ismail Jhinjhanawi رحمه الله تعالى yang menetap di kampung Nizamuddin di Delhi. Beliau telah berkahwin dengan cucu perempuan kepada Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  dan telah mengasaskan semula hubungan keluargaan di Kandhala. 

Beliau menunaikan Haji dengan berjalan kaki dalam beberapa kali. Pada akhir kehidupan beliau, atas arahan guru beliau, beliau telah berpindah ke Madinah dan meninggal dunia di sana pada 25 Mei 1866 M. Beliau telah dikebumikan di perkuburan Baqi' berdekatan dengan Maqam Sayyidina Uthman bin Affan رضي الله عنه .

Hubungan kekeluargaan ini menjadi kuat dan utuh di mana beliau dan anak lelakinya telah dikenali sebagai Kandhalawi .Anak lelakinya adalah sebahagian daripada generasi para masyaikh Deoband. Anak lelaki beliau adalah seperti maulana Muhammad Jhinjhanawi رحمه الله تعالى  (anak dengan isteri pertama) yang meninggal pada tahun 1918 M yang menetap di kampung Nizamuddin, Delhi, Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى  (anak dari isteri kedua dari keturunan Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى ) yang meninggal dunia pada tahun 1916 M yang menetap di Gangoh dan Saharanpur. 

Melalui keturunan Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى  inilah, lahirnya generasi seperti Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى , cucu beliau Maulana Muhammad Talha Kandhalawi حفظه الله .Manakala dari Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى  (juga dari keturunan Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى ) yang juga pengasas kepada Usaha Dakwah / Tabligh telah lahirnya generasi seperti  Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى , cucu beliau Maulana Muhammad Harun Kandhalawi رحمه الله تعالى dan cicit beliau Maulana Muhammad Saad Kandhalawi  
حفظه الله [4]. Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى juga telah berkahwin dengan anak perempuan di Maulana Muhammad Rauf Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى . 

Madrasah Mazahirul Uloom Saharanpur, institusi pengajian terkenal di benua Hindustan. Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى pernah mengajar di sini . Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى pernah menuntut di sini. Maulana Muhammad Harun Kandhalawi رحمه الله تعالى pernah menuntut di sini. Legasi keluarga ini diteruskan lagi dengan kehadiran anak lelaki kepada Maulana Muhammad Saad Kandhalawi حفظه الله. iaitu Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi حفظه الله. yang menjadi penuntut ilmu di sini.[4]

Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى pernah mengajar di institusi pengajian ini manakala Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى  menjadi Syeikhul Hadith di Mazahirul Uloom di Saharanpur manakala Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى  menjadi amir kedua Usaha Dakwah / Tabligh menggantikan ayah beliau iaitu Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى  yang meninggal dunia pada tahun 1943 M . Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى  kekal menjadi amir Usaha Dakwah / Tabligh sehinggalah kematian beliau tahun 1965 M . [1]

Ummi Bi [2]

Beliau adalah anak perempuan kepada Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى . Anak perempuannya yang bernama Safiyyah رحمها الله تعالى telah berkahwin dengan Maulana Muhammad Ismail رحمه الله تعالى . Maulana Muhamamd Ismail رحمه الله تعالى  adalah bapa kepada Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى . dan datuk kepada Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi. Maulana Muhammad Saad Kandhalawi حفظه الله adalah daripada keturunan mereka ini.

Ummi Bi mengikut jejak langkah bapanya iaitu Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  dalam perwatakan dan ketakwaan. Beliau selalu menghabiskan masa dengan amalan-amalan agama.  

Bi Safiyyah [2]

Beliau ialah ibu kepada Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى. Beliau seorang hafizah. Beliau menghafal al-quran ketika menunggu kelahiran Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى (ayah kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى) dan merupakan bapa saudara kepada Maulana Muhamamd Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى. Beliau mengikuti jejak langkah ibunya menjadi seorang ibu yang penuh ketakwaan , kezuhudan dan sangat mencintai kehidupan akhirat.

Walaupun beliau sibuk dengan tugasan sebagai seorang isteri dan ibu, beliau selalu menghabiskan masa dengan membaca al-quran . Di dalam bulan ramadhan, beliau mengkhatamkan al-quran setiap hari . Dilaporkan juga bahawa beliau pernah mengkhatamkan al-quran 40 kali di dalam bulan ramadhan.

Juga bacaan tambahan 
http://wirapendang.blogspot.com/2014/02/wanita-wanita-di-kandhala.html

Rujukan :

[1]. Sawanih Hazrat Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi ,oleh Sayyid Abu Hasan Ali An-Nadwi , m/s 28.
[2]. Halat Mashaikh Kandhala oleh Maulana Ihtisham Ul Hasan Kandhalawi , m/s 84-86
[3]. Sawanih ‘Ulama’-e-Deoband (Deoband: Nawaz publications) Jilid. 1, m/s. 238
[4]. Hasil kajian dan penyelidikan sahaja. Saya berbual sendiri dengan anak lelaki kepada Maulana Muhammad Saad Kandhalawi iaitu Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi.

Friday, March 13, 2015

Kematian Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى

Perkuburan Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى di kampung halaman beliau di Gangoh, dalam daerah Saharanpur, UP.

Qutb Irsyad wa Imam Robbani Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى telah menghembus nafas yang terakhir pada hari Jumaat tahun 1323 H / 1905 M. Tarikh kematian beliau menjadi perdebatan kalangan sejarawan Ulama Deoband  kerana ada riwayat menyebut bahawa Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى meninggal dunia pada hari Jumaat ketika berusia 78 tahun . Ada dalam kalangan sejarawan berpandangan bahawa beliau meninggal dunia pada 8 (khamis) atau 9 (jumaat) Jamadil Akhir 1323 / 10 atau 11 Ogos 1905 M pada waktu semasa azan solat Jumaat. [1]

Di dalam Tarikh Mashaikh -e- Chisht , Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى ada menceritakan mengenai saat-saat kematian Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى  [2] .

Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى menghentikan pengajian hadith beliau pada tahun 1313 H / 1895 M dan pada awal tahun 1314 H / 1896 M beliau telah kehilangan penglihatan. Beliau hanya menumpukan pengajian tasawwuf sahaja pada ketika itu. Pada hari Jumaat 9 Jamadi Akhir 1323 H / 10 Ogos 1905 M pada saat azan solat Jumaat sedang dilaungkan , beliau telah meninggalkan dunia yang fana’ ini untuk bertemu dengan PenciptaNya. Di antara banyak nikmat Allah سبحانه وتعالى yang diberikan kepada beliau ialah nikmat meninggal dunia dalam keadaan (mati syahid). Beliau meninggal dunia akibat telah dipatuk oleh ular yang sangat berbisa.

Menjadi amalan harian beliau untuk mendirikan solat Tahajud, ketika sedang mengerjakan solat tahajud, dalam keadaan diselubungi kegelapan malam, tanpa beliau sedari beliau telah disengat oleh seekor ular yang sangat berbisa . Ketika beliau berangkat hendak mengerjakan solat Subuh di masjid, khadim beliau telah memerhatikan tempokan darah di kaki seluar beliau, apabila menyedarinya beliau segera menukarkan seluarnya lalu menjadi imam di dalam solat subuh.

Ketika ditanya mengenai sengatan ular , Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى berkata  "Saya tidak pernah merasa apa-apa ketika saya dipatuk ular seperti mana  saya merasa sangat sakit sekarang " .

Kejadian dipatuk oleh ular berbisa tersebut berlaku pada 12 (sabtu ) atau 13 (ahad) Jamadil Awwal 1323 H / 15  atau 16 Julai 1905 M dan beliau meninggal dunia pada 8 (khamis) atau 9 (sabtu) Jamadil Akhir 1323 H / 10 atau 11 Ogos 1905 M pada usia 78 tahun, 7 bulan 3 hari. Ada hadith yang menyatakan bahawa bahawa kematian disebabkan keracunan adalah dikira sebagai mati syahid, oleh itu mengikut pandangan aku (Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى) Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى dikira sebagai seorang yang mati syahid.

Jenazah beliau telah diimamkan oleh murid beliau iaitu Maulana Mahmud Hasan Ad-Deobandi رحمه الله تعالى atau lebih dikenali sebagai Syeikhul Hind. Sesetengah masyarakat menganggap bahawa Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى terkena sihir dan segala jenis usaha dan ikhtiar telah dilakukan. 

Enam hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau selalu menunggu kedatangan hari Jumaat . Sekali pada hari Sabtu beliau telah bertanya, “ adakah hari ini hari jumaat ? “ . Dalam keadaan serba salah, khadimnya memberitahu bahawa hari ini ialah hari sabtu , beliau sering kali bertanya adakah hari ini hari jumaat , kemudian sehingga membawa ke hari kematian beliau, beliau bertanya lagi , “ adakah hari ini hari jumaat ? “.

Apabila dikatakan bahawa hari ini hari jumaat , beliau terus berkata 

انا لله وانا اليه راجعون

Beberapa hari selepas mendengar berita kematian Haji Imdad Ullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى , seorang sahabat baik beliau telah bermimpi melihat Haji Imdad Ullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى telah menziarahi Darul Uloom Deoband. Kelihatan wajah beliau sangat bercahaya . Beliau berkata  “ saya sudah meninggal dunia dan saya datang adalah untuk menjemput Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى . Tidak lama lagi beliau akan bersama dengan saya “.

Kisah mimpi itu telah menakutkan para pelajar Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى . Apabila diketahui oleh Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى, beliau telah meredakan kesedihan dengan menafsirkan mimpi itu dengan berkata , “ apabila Haji Imdad Ullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى datang , pasti beliau akan membawa saya pergi juga “.

Di sebuah kampung dalam daerah Surat, terdapat seorang imam sebuah masjid yang bernama Imam Sulaiman Mia رحمه الله تعالى. Beliau telah bermimpi melihat seorang lelaki dalam keadaan wajah yang bercahaya sedang duduk di atas takhta. Beberapa lelaki lain sedang berdiri di bawah takhta. Imam Sulaiman Mia رحمه الله تعالى telah bertanya kepada lelaki ini “ siapakah lelaki yang sedang duduk di atas takhta itu ? “ . Lalu lelaki yang sedang berdiri itu menjawab bahawa lelaki yang sedang duduk di atas takhta itu ialah Rasulullah صلى الله عليه وسلم  dan yang lain ialah Maulana Rashid Ahmad Rangohi رحمه الله تعالى dan Maulana Ahmad Sa’id Buzrug رحمه الله تعالى iaitu bekas mudir Jamiah Islamiyyah, Dhabel “ .Imam Sulaiman Mia رحمه الله تعالى menceritakan mimpi ini kepada Maulana Ahmad رحمه الله تعالى dan beliau telah bertanya kepada Imam Sulaiman Mia رحمه الله تعالى “ bila tuan bermimpi ? “  maka Imam Sulaiman Mia رحمه الله تعالى berkata “ kira-kira pada 8 (khamis) atau 9 (jumaat) Jamadil Akhir 1323 H / 10 atau 11 Ogos 1905 M “ . Pada tarikh itulah Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى telah pergi buat selama-lamanya. 

Nota kaki 
_______________

[1]. Barbara Daly Metcalf, Islamic Revival in British India: Deoband, 1860-1900, (Princeton, New Jersey: Princeton University Press, 1982) m/s 108.
[2]. Maulana Muḥammad Zakariyyya Kandhalawi (1973) , Tarikh Masha’ikh-i Chisht (Urdu). Biharabad, Karachi: Maktabatush-Shaikh, m/s  293-295.

Saturday, March 7, 2015

Kisah Masyaikh Pembimbing Usaha Dakwah Dan Tabligh


Bilik yang pernah digunakan oleh Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى sewaktu belajar di Mazahirul Uloom Saharanpur.

Maulana Syed Sulaiman An-Nadwi رحمه الله تعالى adalah seorang Muhadith ,Mufassir , Mu’arikh dan juga seorang Da’i illallah yang sejati. Beliau telah menulis di dalam muqaddimah dalam satu buku mengenai Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى iaitu Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi Aur Unki Deeni Dawat.

Beliau berkata [1] :

" Datuk kepada Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى iaitu Maulana Muzaffar Hussain Kandhalawi رحمه الله تعالى adalah murid khas kepada Shah Muhammad Ishaq Muhadith Dehlawi رحمه الله تعالى dan juga khalifah kepada Maulana Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi رحمه الله تعالى.

Bapa saudara kepada Maulana Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى iaitu Mufti Ilahi Baksh Kandhalawi رحمه الله تعالى adalah antara murid kesayangan kepada Shah Abdul Aziz Muhadith Dehlawi رحمه الله تعالى dan beliau juga dikenali sebagai seorang murid yang sangat ikhlas dan mencintai ilmu. Beliau telah berbi’ah kepada Sayyid Ahmad As-syahid رحمه الله تعالى. Kedua-dua mereka memang terkenal dengan kezuhudan dan ketakwaan. Keluarga ini merupakan keluarga yang sangat barakah .


Lokasi rumah Mufti Ilahi Baksh Kandhalawi رحمه الله تعالى yang berada di kanan lelaki yang sedang berjalan itu, di depan rumah tersebut ada susunan kayu . Gambar ini diambil ketika saya menziarahi tempat ini sekitar tahun 2012 di Kandhala. Menurut cerita orang tempatan, guru kepada Mufti Ilahi Baksh رحمه الله تعالى iaitu Shah Abd Aziz Muhadith Dehlawi رحمه الله تعالى juga kerap mengunjungi rumah ini.

Bapa kepada Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى dan kedua-dua abangnya adalah merupakan Wali Allah yang makbul doanya dan pendakwah yang sejati. Bapa kepada Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى adalah merupakan individu yang bertanggungjawab dalam melakukan usaha dakwah terhadap masyarakat Mewat.  Selepas kematian bapa mereka,  Maulana Muhammad Yahya Kandhalawiرحمه الله تعالى  [2] dan abang sulong tirinya (Maulana Muhammad رحمه الله تعالى  [3] yang ketika itu sedang sakit dan berada diatas kerusi) tidak jemu-jemu mendakwahkan masyarakat Mewat kepada agama " .

Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى telah membawa ketiga-tiga kerja kenabian ini di dalam satu jalan yang telah diwariskan kepada beliau. Beliau telah membawa maqasid kerja kenabian ini secara keseluruhan dalam kehidupannya. Di sebalik kerja dakwah yang begitu mendapat perhatian dari beliau, beliau juga adalah seorang guru yang mengajar ilmu dan hikmah yang dirujuk sebagai Tazkiyah Nafs. 

Dalam hal ini Maulana Syed Abul Hasan Ali An- Nadwi رحمه الله تعالى telah menulis :

“ Secara umumnya, Qutb Irsyad Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى tidak akan mengambil bi’ah daripada kanak-kanak atau para pelajar. Hanya selepas tamat belajar, mereka akan diberikan keizinan untuk melakukannya, akan tetapi setelah memerhatikan keadaan luar biasa Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى ,beliau telah dipertimbangkan untuk mengambil bi’ah. Kecintaan dan ketakwaan telah terpancar secara semulajadi dari zaman ketika Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى masih kecil lagi sehinggakan Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى merasa resah tanpa kehadiran beliau di sisinya " .

Beliau juga telah menceritakan bahawa pada satu hari, beliau telah bangun pada satu malam untuk melihatkan kelibat Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى dan setelah melihatnya, beliau kembali menyambung tidurnya. Ketika itu Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى merasakan bahawa Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى telah menunjukan kesungguhan dalam berkhidmat untuk dirinya. Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى juga telah menunjukan perasaan yang sama terhadap beliau. Sekali beliau telah meminta abangnya (Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى) jika Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى membenarkan beliau untuk belajar berdekatan dengan Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى ? Maka abangnya (Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى menyampaikan permintaan adiknya itu kepada Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى . Mendengar permintaan itu , Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى berkata “ Tiada masalah !, kehadiran Ilyas (Maulana muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى ) tidak akan menggangu aku “. 

Kisah Kehidupan Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى

Selepas itu, Hadrat Ji kedua Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى juga membawa ketiga-tiga kerja kenabian ini berada di atas satu jalan. Beliau seorang yang sangat hebat di dalam dakwah, juga sangat alim di dalam ilmu al-quran dan hadith ketika mengajar di madrasah dan seorang yang selalu membiasakan diri dengan amalan Tazkiyah Nafs. Hal yang demikian telah dijelaskan oleh Maulana Muhammad Shahid Saharanpuri حفظه الله seperti berikut :

“ Pada tahun 1354 H / 1935 M , Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى telah melakukan bi’ah di tangan bapanya sendiri iaitu Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى dan amalan yang barokah ini juga telah mendapat restu dari Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى .

Selepas berbi’ah, bapanya telah mengajar beliau zikir Pa’s Anfas dan menasihatnya supaya membaca 3000 kali Zikr Ism’ Za’t (Allah). Selepas hubungan kerohanian ini, keazaman beliau untuk mengikuti sunnah dari hari ke hari semakin meningkat.

Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى telah berkata dan hal ini telah diterangkan oleh Maulana Syed Abul Hasan Ali An-Nadwi رحمه الله تعالى bahawasanya  :

“ Dalam kalangan mereka yang berkumpul di sini, Yusuf (Maulana Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى ) telah menunjukan keupayaan yang tinggi ”.

Kisah Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى

Kemudiannya , Syaikh dan  Murabbi saya , Hadrat Ji ketiga Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى juga meneruskan legasi dengan menyatukan ketiga-ketiga kerja kenabian ini. Setiap hari dan setiap malam, beliau berdakwah kepada Allah سبحانه وتعالى , melakukan ta’lim , mengkaji kitab-kitab dan hikmah (tazkiah nafs) dalam kehidupannya. [2]

Maulana Muhammad Shahid Saharanpuri حفظه الله menulis :

“ Sekali ketika waktu menulis “ Lamiud Ad-Darari “ Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى tiba di Saharanpur, Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى telah menunjuk kepada Maulana Muhammad Aqil Saharanpuri حفظه الله : “ Keraguan yang telah kamu ada , akan diperjelas dan diperbetulkan oleh Maulana Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى “ .

Ketika Maulana Muhammad Aqil Saharanpuri حفظه الله mengiringi Maulana Muhammad Inam Ul Hasan kandhalawi رحمه الله تعالى untuk datang berjumpa dengan Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى di bilik, kemudian Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى telah bertanya “ sekarang, beritahu saya, apa yang telah meragukan kamu ? apabila beliau menceritakannya, maka Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى telah memperjelaskannya satu persatu dengan terperincinya. Kemudiannya, setelah itu Maulana Muhammad Shahid Saharanpuri حفظه الله telah menulis bahawa :

Pengasasan Daurah Al-Hadith 

“ Madrasah Kashif Ul Uloom , adalah sebuah madrasah di dalam markaz yang sangat aktif berkhidmat dalam menyebarkan ilmu agama. Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى telah menjadi Mohtamim (Naib Canselor) ketika di zaman Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى. Madrasah ini mengguna pakai kurikulum Dars Nizami termasuklah pengajian kitab Tafsir Jalalain dan Kitab Misykat Masobih. Sebenarnya ini merupakan keinginan daripada Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى sendiri untuk memulakan pengajian bersistemkan Daurah Al-Hadith.

Dengan restu daripada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى sendiri , bermula dari bulan Rabi’ul Awwal 1375 H / 1955 M , sistem pengajian bersistemkan Daurah Al-Hadith telah mula diperkenalkan di madrasah ini. Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى , Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى dan Maulana Ubaid Ullah Balya’wi رحمه الله تعالى telah dipilih sebagai guru-guru untuk mengajar Sahih Sittah.

Ketika berbincang dengan Maulana Mufti Aziz Ur Rahman Bijnori رحمه الله تعالى mengenai usaha pengajaran dan mencari rujukan untuk pengajaran Sahih Al-Bukhari, Maulana Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى mendedahkan bahawa “ sudah lima kali aku membaca (Umdat Ul Qari dan Fath Ul Bari [4]), demikian juga sudah dua kali aku lengkap membaca Fatawa Alamgiri [5] dan tiga kali membacanya separuh “ .Sepanjang tempoh pengajaran Sahih Al-Bukhari beliau, guru-guru hadith dari pelbagai tempat madrasah akan hadir ke pengajiannya dan akan mencatatkan nota-nota penting pengajaran hadith dari beliau.

Hadrat Ji Ketiga ini Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى juga berkeadaan sedemikian sehingga ke akhir hayat beliau dalam usaha mengabungkan ketiga-tiga kerja Kenabian ini. 

Maulana Muhammad Shahid Saharanpuri حفظه الله menulis bahawa :

“ Menurut dalam pengetahuan Maulana Mufti Aziz Ur Rahman Bijnori رحمه الله تعالى, peristiwa bi’ah berlaku pada tahun 1354 H / 1935 M dimana selepas mengambil bi’ah, Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى telah memberikan nasihat kepada mereka berdua. Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى telah diberi keizinan untuk berzikir dengan “zikr Ism’ Zat (Allah) untuk 3000 kali dan Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى telah diberikan keizinan untuk berzikir “zikr Ism' Zat (Allah) sebanyak 12 000 kali disamping itu juga , mereka dinasihatkan untuk membaca “Hizb Ul A’zam dan Hisnul Hasin.

Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى telah mula membaca zikir sebanyak 12 000 kemudiannya bertambah kepada 70 000 kali sehari. Untuk tempoh masa yang lama, ianya telah menjadi amalan rutin harian beliau untuk bersuluk di Makam Humayun (dekat dengan Masjid Banglawali markaz) . Amalan zikir harian beliau ini memakan masa selama lebih kurang tujuh jam dalam sehari.


Makam Humayun (Urdu dikenali sebagai Humayun Maqbarah ) terletak di timur kampung Nizamuddin, Delhi. Ianya dibina di zaman empayar Mughal pada tahun 1533 M. [6]

Amalan zikir ini dilanjut dan akan dihabiskan dalam keadaan zikir Pa’s Anfas dan zikir  Khafi. Beliau menulis lagi "Selepas melalui pelbagai peringkat tazkiyah dan tarbiyah, Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى menegaskan keyakinan beliau sambil berkata. 

' Jika Haji Imdad ul llah Muhajir Makki رحمه الله تعالى mempunyai Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى dan Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى, saya juga mempunyai Yusof (Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى ) dan Inam Ul Hasan (Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى) ‘ .

Kaifiat dari zikir yang telah digambarkan daripada Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi ~ boleh diketahui dengan membaca maktubat (surat-surat) yang dihantar kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى dan Maulana Abdur Qadir Raipuri رحمه الله تعالى. Oleh hal yang sedemikian,  apabila kerja kenabian ini disatukan seperti yang dicontoh dan ditunjukan secara umum oleh Para Masyaikh Jemaah Dakwah / Tabligh, maka ianya , insyallah akan menyatukan kembali umat ini. Semoga Allah سبحانه وتعالى permudahkan segala urusan dan usaha untuk mengabungkan tiga kerja kenabian ini. 

Nota Kaki :

[1]. Dukaan e Ishq ,Maulana Dr Abdus salam , dikumpulkan oleh Maulana Usman Madani,m/s 14-16.
[2]. Beliau adalah ayah kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi dan abang kepada Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi.
[3]. Maulana Muhammad bin Maulana Muhammad Ismail adalah abang tiri kepada Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi dan Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi hasil perkongsian Maulana Muhammad Ismail dengan isteri pertama beliau. Beliau dilahirkan di pekan Jhinjhana , daerah Shamli dalam negeri Uttar Pradesh, India.
[4]. Kitab syarah kepada Sahih Al-Bukhari.
[5]. Kitab Fatawa Alamgiri (juga dikenali sebagai Fatawa-i-Hindiya ) adalah himpunan fatwa-fatwa yang dibuat atas kehendak Maharaja Mughal Aurangzeb (yang juga dikenali sebagai Alamgir). Fatwa-fatwa ini disusun mengikut mazhab Hanafi.
[6]. Diambil dari laman sesawang rasmi kerajaan India (http://india.gov.in/knowindia/humayunstomb.php)

Monday, March 2, 2015

Ijazah Musnid Al-Dunya Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى Kepada Maulana Mufti Muhammad Taqi Uthmani حفظه الله

                                           
Al-Fayd-Al-Rahmani,Thabat’ Mufti Muhammad Taqi Uthmani  حفظه الله oleh Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى. Boleh download kitab ini di sini 

Musnid Al-Dunya (tempat berhimpun sanad-sanad seluruh dunia) Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى telah mengijazahkan sanad khusus bagi ulama-ulama yang berwibawa berdasarkan pemerhatian beliau , khusus itu dalam erti kata tidak dimiliki oleh orang lain, dan setiap satu-satu ijazah itu pula memiliki ciri-ciri yang tidak ada pada ijazah yang lain.

Hal ini seperti contoh, ijazah Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى kepada Syeikh Muhammad Riyad al-Malih  حفظه الله yang berjudul al-Rawd al-Fa'ih, di mana Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى menghimpunkan dalam kitab tersebut secara khusus semua guru beliau yang berasal dari Syam (yakni Syiria, Lubnan, Palestin, dan Jordan sekarang) sahaja yang berjumlah 101 orang Syeikh serta kesemua sanad-sanad mereka. 

Perkara yang sama juga turut disusun oleh Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى untuk para ulama seperti Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki رحمه الله تعالى, Syeikh Mahmud Sa'id Mamduh  حفظه الله,Syeikh Zakaria Bila رحمه الله تعالى, Sayyid Muhammad al-Hashimi رحمه الله تعالى, Sheikh Muhammad Riyad al-Malih  حفظه الله dan lain-lainnya. 

Antara ulama yang telah berjaya mendapat perhatian khusus daripada Syeikh Muhammad Yasin Al Fadani رحمه الله تعالى ialah Mufti Muhammad Taqi Uthmani  حفظه الله . Sebagaimana yang dikhususkan kepada para ulama lain, maka Mufti Muhammad Taqi Uthmani  حفظه الله juga telah mendapat ijazah tersebut. Beliau telah mengijazahkan sanad khusus seperti yang terkandung di dalam al-Fayd al-Rahmani. 

Dalam pengenalan kitab ini,Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى memuji kedua-dua anak-beranak iaitu Mufti Muhammad Taqi Uthmani  حفظه الله dan bapanya Mufti Muhammad Shafi' Uthmani رحمه الله تعالى dengan pujian yang tinggi. Menariknya dalam kitab ini juga Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى menyata bahawa beliau banyak berguru dan menerima ijazah daripada 'ulama-ulama dari India dan Pakistan termasuklah ayah kepada Mufti Muhammad Taqi Uthmani  حفظه الله sendiri iaitu Mufti Muhammad Shafi' Uthmani رحمه الله تعالى. Selain itu Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى juga ada menerima riwayat daripada ramai 'ulama-ulama besar India yang lain, antaranya:

1- Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى
2- Hakimul Ummah Maulana Ashraf 'Ali Thanwi رحمه الله تعالى
3- Maulana 'Ubaidullah al-Sindi رحمه الله تعالى
4. Maulana Muhammad Shabbir Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى
6. Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى
7- Syeikhah Amatullah رحمها الله تعالى Bintu Shah Abd Ghani Dehlawi al-Mujadidi (anak perempuan kepada Shah Abd Ghani Al-Mujadidi رحمه الله تعالى)

Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى juga ada memberikan ijazah khusus untuk ulama-ulama aliran Deoband seperti berikut : 

1. Mufti Muhammad Rafi' Uthmani  حفظه الله (Mufti besar Negara Pakistan)
2. Maulana Sajjan @ Subha'n Mahmud  حفظه الله.
3. Maulana Shams al-Haq Afghani رحمه الله تعالى
4. Mufti Wali Hasan Tonki رحمه الله تعالى
5. Maulana Abdul Rashid Nu'mani رحمه الله تعالى
6. Maulana Saleemullah Khan  حفظه الله
7. Mufti Rashid Ahmad Ludiyanwi رحمه الله تعالى

Manakala di dalam kitab Bulugh Al-Amani, disebutkan juga bahawa Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani رحمه الله تعالى juga ada menerima ijazah hadith daripada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى, Maulana Zafar Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى (pengarang kitab I'la al-Sunan) , Maulana Abd Rahman al-Mubarakfuri رحمه الله تعالى (pengarang kitab Tuhfatul Ahwazi ) dan ramai lagi.


Embedded image permalink

Mufti Muhammad Taqi Uthmani  حفظه الله bersama dengan Musnid Al-Dunya di zaman in iaitu Syeikh Abd Rahman Al-Katani  حفظه الله dari Maghribi.

Scan Ijazah dari Syaikhah Amatullah رحمها الله تعالى Bintu al-Syeikh Abdul Ghaniy al-Dehlawiyyah رحمه الله تعالى (anak perempuan kepada Shah Abd Ghani Al-Mujadidi رحمه الله تعالى) dipercayai tulisan tangan beliau kepada Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadaniرحمه الله تعالى [2].


Rujukan 

[1]. Lihat keseluruhannya di dalam Al-Fayd-Al-Rahmani
[2]. Scan ijazah ini hasil sumbangan Syeikh Mohammad Daniel Muhajir al-Dimishqi حفظه الله kepada saya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini